Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah berlakunya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Safiyyah dan bagaimana kisahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pernikahan Rasulullah SAW dengan Safiyyah R.Anha berlangsung pada tahun 7 Hijrah. Dikatakan beliau ketika itu berumur 17 tahun. (Lihat Tarh al-Tathrib, 1/146).

Kisah pernikahan Rasulullah SAW dengan Safiyyah R.Anha dan pembebasan Safiyyah sebagai maharnya turut direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Bahawa Rasulullah SAW berangkat ke Khaibar untuk berperang. Kami kemudian menunaikan solat Subuh di Khaibar pada awal subuh. Selepas itu, Nabi SAW dan Abu Talhah menaiki kenderaan masing-masing. Aku pula membonceng kenderaan Abu Talhah. Nabi SAW lalu melewati jalan sempit di Khaibar.

Ketika itu lututku betul-betul menyentuh paha Nabi SAW. Kemudian Baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi SAW. Setelah masuk ke Khaibar, Baginda SAW pun mengucapkan: ‘Allahu Akbar, musnahlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila turun dalam kawasan sesuatu kaum, sudah tentu buruklah (nahaslah) hari orang-orang yang tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan.’ Nabi SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.”

Perawi berkata: “Orang ramai (penduduk Khaibar) keluar untuk melakukan kerja mereka masing-masing. Apabila menyedari mereka telah dikepung, mereka terus berkata: ‘Muhammad.’” ‘Abd al-Aziz menyebut: Sebahagian rakan-rakan kami (yang turut meriwayatkan hadith daripada Anas) berkata: “Muhammad bersama tenteranya.” Anas berkata: “Kami dapat menakluk Khaibar dengan kekerasan (peperangan). (Setelah kemenangan dicapai), maka dikumpulkanlah orang-orang tawanan.

Pada ketika itu datanglah Dihyah al-Kalbi R.A. Dia berkata kepada Nabi SAW: ‘Wahai Nabi Allah, berikanlah kepadaku seorang hamba perempuan daripada tawanan ini.’ Nabi SAW bersabda: ‘Pergilah dan ambil seorang hamba perempuan.’ Dihyah pun mengambil Safiyyah binti Huyai.  Lalu terus datang seorang lelaki kepada Nabi SAW sambil berkata: ‘Wahai Nabi Allah! Engkau telah berikan kepada Dihyah, Safiyyah binti Huyai. (Dia itu) bangsawan suku Quraizah dan suku Nadhir. Dia tidak sesuai kecuali untukmu sahaja.’

Maka Nabi SAW bersabda: ‘Panggillah Dihyah.’ Maka Dihyah pun datang membawanya. Setelah Nabi SAW melihatnya, Baginda SAW bersabda kepada Dihyah: ‘Ambillah seorang hamba perempuan yang lain daripada kalangan tawanan ini.’” Anas berkata: “Selepas itu, Nabi SAW pun memerdekakan Safiyyah dan mengahwininya. Lalu Thabit bertanya kepada Anas: ‘Wahai Abu Hamzah (Anas), apakah mas kahwin yang diberikan oleh Nabi SAW kepadanya?’ Anas menjawab: ‘Dirinya sendiri sebagai mas kahwin. Nabi SAW telah memerdekakannya dan mengahwininya.’

Dalam perjalanan pulang dari Khaibar, Ummu Sulaim telah menghias Safiyyah untuk Nabi SAW. Pada malam harinya, dia menghantarkan Safiyyah kepada Nabi SAW. Maka selesailah malam pengantin Nabi SAW. Kemudian, Baginda SAW bersabda sambil menghamparkan alas makan daripada kulit: ‘Sesiapa yang ada apa-apa (makanan), bawalah ke mari.’ Maka ada yang membawa buah tamar, ada pula yang membawa minyak sapi.” ‘Abd al-‘Aziz berkata: “Aku rasa Anas telah menyebut sawiq (tepung goreng).” Anas berkata : “Mereka pun menyediakan hais (iaitu campuran tamar, minyak sapi, keju yang diuli dan dicampur tepung goreng) hingga jadilah jamuan makanan untuk walimah Rasulullah SAW.” [Riwayat al-Bukhari (371)] (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 166-167)

Safiyyah bin Huyai bin Akhtab bin Sa‘nah[1] bin Tha‘labah bin ‘Ubaid bin Ka‘ab bin Abu Habib. Beliau berasal daripada keturunan Yahudi Bani al-Nadhir. Beliau adalah cucu kepada Lawi bin Nabi Allah Isra’il bin Ishaq bin Ibrahim A.S (iaitu Nabi Ya‘qub). Kemudian, beliau juga daripada keturunan Nabi Harun bin ‘Imran, adik-beradik kepada Nabi Musa A.S. (Lihat  al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/210; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/231).

Pada asalnya, Safiyyah R.Anha merupakan isteri kepada Salam bin Abu al-Huqaiq.[2] Setelah itu, beliau dikahwini pula oleh Kinanah bin Abu al-Huqaiq. Kedua-dua mereka adalah penyair  Yahudi pada zaman itu. Kinanah terbunuh dalam peperangan Khaibar, manakala Safiyyah pula menjadi tawanan perang dan berada di bawah tawanan Dihyah al-Kalbi. Kemudian, dikatakan kepada Nabi SAW bahawasanya Safiyyah R.Anha tidak layak berada di bawah milik sesiapapun melainkan Rasulullah SAW. Maka, Baginda SAW telah mengambilnya daripada Dihyah dan menggantikan kepadanya tujuh orang hamba. Kemudian, setelah tamat tempoh ‘iddah Safiyyah R.Anha, Baginda SAW telah berkahwin dengannya dan menjadikan pembebasannya sebagai mahar. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/231-232).

Pernikahan Rasulullah SAW dengan Safiyyah R.Anha berlangsung pada tahun 7 Hijrah. Dikatakan beliau ketika itu berumur 17 tahun. (Lihat Tarh al-Tathrib, 1/146). Kisah pernikahan Rasulullah SAW dengan Safiyyah R.Anha dan pembebasan Safiyyah sebagai maharnya turut direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزَا خَيْبَرَ، فَصَلَّيْنَا عِنْدَهَا صَلاَةَ الغَدَاةِ بِغَلَسٍ، فَرَكِبَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَكِبَ أَبُو طَلْحَةَ، وَأَنَا رَدِيفُ أَبِي طَلْحَةَ، فَأَجْرَى نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي زُقَاقِ خَيْبَرَ، وَإِنَّ رُكْبَتِي لَتَمَسُّ فَخِذَ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ حَسَرَ الإِزَارَ عَنْ فَخِذِهِ حَتَّى إِنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَيَاضِ فَخِذِ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا دَخَلَ القَرْيَةَ قَالَ: اللهُ أَكْبَرُ خَرِبَتْ خَيْبَرُ ، إِنَّا إِذَا نَزَلْنَا بِسَاحَةِ قَوْمٍ {فَسَاءَ صَبَاحُ المُنْذَرِينَ}. قَالَهَا ثَلاَثًا، قَالَ: وَخَرَجَ القَوْمُ إِلَى أَعْمَالِهِمْ، فَقَالُوا: مُحَمَّدٌ، قَالَ عَبْدُ العَزِيزِ: وَقَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا: وَالخَمِيسُ – يَعْنِي الجَيْشَ – قَالَ: فَأَصَبْنَاهَا عَنْوَةً، فَجُمِعَ السَّبْيُ، فَجَاءَ دِحْيَةُ الكَلْبِيُّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، فَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَعْطِنِي جَارِيَةً مِنَ السَّبْيِ، قَالَ: «اذْهَبْ فَخُذْ جَارِيَةً»، فَأَخَذَ صَفِيَّةَ بِنْتَ حُيَيٍّ، فَجَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَعْطَيْتَ دِحْيَةَ صَفِيَّةَ بِنْتَ حُيَيٍّ، سَيِّدَةَ قُرَيْظَةَ وَالنَّضِيرِ، لاَ تَصْلُحُ إِلَّا لَكَ، قَالَ: «ادْعُوهُ بِهَا» فَجَاءَ بِهَا، فَلَمَّا نَظَرَ إِلَيْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «خُذْ جَارِيَةً مِنَ السَّبْيِ غَيْرَهَا»، قَالَ: فَأَعْتَقَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَزَوَّجَهَا، فَقَالَ لَهُ ثَابِتٌ: يَا أَبَا حَمْزَةَ، مَا أَصْدَقَهَا؟ قَالَ: نَفْسَهَا، أَعْتَقَهَا وَتَزَوَّجَهَا، حَتَّى إِذَا كَانَ بِالطَّرِيقِ، جَهَّزَتْهَا لَهُ أُمُّ سُلَيْمٍ، فَأَهْدَتْهَا لَهُ مِنَ اللَّيْلِ، فَأَصْبَحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرُوسًا، فَقَالَ: «مَنْ كَانَ عِنْدَهُ شَيْءٌ فَلْيَجِئْ بِهِ» وَبَسَطَ نِطَعًا، فَجَعَلَ الرَّجُلُ يَجِيءُ بِالتَّمْرِ، وَجَعَلَ الرَّجُلُ يَجِيءُ بِالسَّمْنِ، قَالَ: وَأَحْسِبُهُ قَدْ ذَكَرَ السَّوِيقَ، قَالَ: فَحَاسُوا حَيْسًا، فَكَانَتْ وَلِيمَةَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya:Rasulullah SAW berangkat ke Khaibar untuk berperang. Kami kemudian menunaikan solat Subuh di Khaibar pada awal subuh. Selepas itu, Nabi SAW dan Abu Talhah menaiki kenderaan masing-masing. Aku pula membonceng kenderaan Abu Talhah. Nabi SAW lalu melewati jalan sempit di Khaibar. Ketika itu lututku betul-betul menyentuh paha Nabi SAW. Kemudian Baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi SAW. Setelah masuk ke Khaibar, Baginda SAW pun mengucapkan: ‘Allahu Akbar, musnahlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila turun dalam kawasan sesuatu kaum, sudah tentu buruklah (nahaslah) hari orang-orang yang tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan.’ Nabi SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” Perawi berkata: “Orang ramai (penduduk Khaibar) keluar untuk melakukan kerja mereka masing-masing. Apabila menyedari mereka telah dikepung, mereka terus berkata: ‘Muhammad.’” ‘Abd al-Aziz menyebut: Sebahagian rakan-rakan kami (yang turut meriwayatkan hadith daripada Anas) berkata: “Muhammad bersama tenteranya.” Anas berkata: “Kami dapat menakluk Khaibar dengan kekerasan (peperangan). (Setelah kemenangan dicapai), maka dikumpulkanlah orang-orang tawanan. Pada ketika itu datanglah Dihyah al-Kalbi R.A. Dia berkata kepada Nabi SAW: ‘Wahai Nabi Allah, berikanlah kepadaku seorang hamba perempuan daripada tawanan ini.’ Nabi SAW bersabda: ‘Pergilah dan ambil seorang hamba perempuan.’ Dihyah pun mengambil Safiyyah binti Huyai.  Lalu terus datang seorang lelaki kepada Nabi SAW sambil berkata: ‘Wahai Nabi Allah! Engkau telah berikan kepada Dihyah, Safiyyah binti Huyai. (Dia itu) bangsawan suku Quraizah dan suku Nadhir. Dia tidak sesuai kecuali untukmu sahaja.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Panggillah Dihyah.’ Maka Dihyah pun datang membawanya. Setelah Nabi SAW melihatnya, Baginda SAW bersabda kepada Dihyah: ‘Ambillah seorang hamba perempuan yang lain daripada kalangan tawanan ini.’” Anas berkata: “Selepas itu, Nabi SAW pun memerdekakan Safiyyah dan mengahwininya. Lalu Thabit bertanya kepada Anas: ‘Wahai Abu Hamzah (Anas), apakah mas kahwin yang diberikan oleh Nabi SAW kepadanya?’ Anas menjawab: ‘Dirinya sendiri sebagai mas kahwin. Nabi SAW telah memerdekakannya dan mengahwininya.’ Dalam perjalanan pulang dari Khaibar, Ummu Sulaim telah menghias Safiyyah untuk Nabi SAW. Pada malam harinya, dia menghantarkan Safiyyah kepada Nabi SAW. Maka selesailah malam pengantin Nabi SAW. Kemudian, Baginda SAW bersabda sambil menghamparkan alas makan daripada kulit: ‘Sesiapa yang ada apa-apa (makanan), bawalah ke mari.’ Maka ada yang membawa buah tamar, ada pula yang membawa minyak sapi.” ‘Abd al-‘Aziz berkata: “Aku rasa Anas telah menyebut sawiq (tepung goreng).” Anas berkata : “Mereka pun menyediakan hais (iaitu campuran tamar, minyak sapi, keju yang diuli dan dicampur tepung goreng) hingga jadilah jamuan makanan untuk walimah Rasulullah SAW.

Riwayat al-Bukhari (371)

Selain daripada itu, Safiyyah R.Anha ada meriwayatkan hadith daripada Nabi SAW. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ali bin al-Husain, Ishaq bin Abdullah bin al-Harith, Kinanah iaitu maulanya, begitu juga maulanya yang lain iaitu Yazid bin Mut‘ib, dan Zain al-‘Abidin Ali bin al-Husain. (Lihat  al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/212; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/232).

Tambahan lagi, menurut Imam al-Zahabi, Safiyyah binti Huyai R.Anha adalah seorang yang mulia, cerdik, mempunyai kedudukan, memiliki kecantikan dan kuat berpegang kepada agama. Semoga Allah meredhainya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/232).

Bahkan Rasulullah SAW pernah membenarkan bahawa Safiyyah R.Anha ialah orang yang berkata benar. Hal ini dapat dilihat melalui kisah yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dengan sanad yang hasan daripada Ibn Sa‘ad, daripada Zaid bin Aslam, katanya: “Para isteri Nabi SAW berkumpul dengan Baginda ketika Baginda sakit, yang mana sakit itu akhirnya membawa kepada kewafatan Baginda. Kemudian, Safiyyah binti Huyai R.Anha berkata: ‘Sesungguhnya aku, demi Allah, wahai Nabi Allah, berharap dapat menanggung kesakitan yang ditanggung olehmu.’ Maka isteri-isteri Baginda yang lain seolah-olah memperlekeh Safiyyah dan Baginda nampak perbuatan mereka itu. Lalu Baginda bersabda: ‘Kamu berkumurlah.’ Mereka (para isteri nabi) bertanya: ‘Kena berkumur disebabkan oleh apa?’ Baginda menjawab: ‘Kerana kutukan kamu terhadapnya (Safiyyah). Demi Allah, sesungguhnya Safiyyah bercakap benar.’” (Lihat  al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/212).

Selain daripada itu, di antara kelebihan Safiyyah R.Anha juga ialah beliau memiliki nasab yang mulia dan berasal daripada keturunan nabi. Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

بلغَ صفيَّةَ أنَّ حفصةَ قالت: بنتُ يهودِيٍّ فبكت فدخلَ عليها النَّبيُّ ﷺ وهيَ تبكي فقالَ: ما يبكيكِ قالتْ: قالتْ لي حفصةُ: إنِّي بنتُ يهوديٍّ فقالَ النَّبيُّ ﷺ: وإنَّكِ لابنةُ نَبِيٍّ وإنَّ عمَّكِ لنبيٌّ وإنَّكِ لتحتَ نبيٍّ ففيمَ تفخرُ عليكِ ثمَّ قالَ: اتَّقي اللَّهَ يا حفصةُ

Maksudnya: Telah sampai khabar kepada Safiyyah bahawa Hafsah berkata: ‘Safiyyah itu anak perempuan berketurunan Yahudi.’ Maka Safiyyah pun menangis. Lalu Nabi SAW masuk menemuinya dan ketika itu beliau sedang menangis. Baginda pun bertanya: ‘Apa yang membuatmu menangis?’ Beliau menjawab: ‘Hafsah berkata kepadaku bahawasanya sesungguhnya aku anak perempuan Yahudi.’ Nabi SAW pun bersabda: ‘Sesungguhnya kamu anak seorang Nabi, ayah saudaramu juga seorang nabi, dan kamu juga isteri seorang nabi. Jadi, apa yang dia hendak banggakan ke atasmu?’ Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Bertakwalah kepada Allah, wahai Hafsah.’

Riwayat al-Tirmizi (3894); Ahmad (12415); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8919) dengan sedikit perbezaan lafaz. Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini, hasan sahih gharib.

Para ulama berbeza pendapat mengenai tarikh kewafatan Ummul Mukminin Safiyyah binti Huyai R.Anha. Ada yang berpendapat, beliau  meninggal dunia pada tahun 36 Hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Hibban dan Ibn Mandah. Ada juga yang berpendapat, beliau wafat pada tahun 50 Hijrah. Ini merupakan pendapat al-Waqidi dan al-Hafiz Ibn Hajar cenderung kepada pendapat ini. Begitu juga Ibn ‘Abd al-Bar menyatakan, Safiyyah R.Anha meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 50 Hijrah, semasa pemerintahan Mu‘awiyah. Jenazah beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah.

Ibn Sa‘ad ada membawakan satu hadith daripada Umayyah[3] binti Abu Qais al-Ghifariyyah dengan sanad yang terdapat di dalamnya perawi yang bernama al-Waqidi, katanya: “Aku mendengar Safiyyah berkata: ‘Aku belum lagi berusia 17 tahun ketika aku berkahwin dengan Rasulullah SAW.” Dia (al-Waqidi) berkata: “Safiyyah meninggal dunia pada tahun 52 Hijrah pada zaman pemerintahan Mu‘awiyah.” (Lihat  al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/212; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/237-238; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1872; Tarh al-Tathrib, 1/146).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

[1] Sebahagian ulama menamakannya sebagai Sa‘yah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/231; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 7/168)

[2] Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan namanya ialah Salam bin Misykam. (Lihat  al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/210).

[3] Dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/237) menyebutkan ia adalah riwayat daripada Aminah binti Abu Qais.

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *