#1118: Sifat Pemurah Rasulullah SAW

Soalan:

Boleh ustaz ceritakan betapa pemurahnya Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya merujuk kepada buku kami yang terbaru iaitu Mereka Yang Paling Pemurah.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏. ‏

Maksudnya: “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”

Riwayat al-Bukhari (6), (1902), (3220), (3554) dan (4997)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Maksud ‘أَجْوَدَ النَّاسِ’ adalah orang yang paling murah hati, kerana murah hati adalah salah satu sifat terpuji. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, daripada Sa’d, Nabi bersabda, ‘إِنَّ اللَّهَ جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ’ (“Sesungguhnya Allah Maha Pemurah hati, maka Dia sangat kasih kepada orang yang bermurah hati.”) Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Nabi bersabda: ‘أَنَا أَجْوَدُ وَلَدِ آدَمَ وَأَجْوَدُهُمْ بَعْدِي رَجُلٌ عَلِمَ عِلْمًا فَنَشَرَ عِلْمَهُ وَرَجُلٌ جَادَ بِنَفْسِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ’ (“Aku adalah keturunan anak Adam yang paling bermurah hati (dermawan), dan orang yang paling bermurah hati setelahku adalah seorang yang mempunyai ilmu dan menyebarkan ilmunya, serta orang yang menyerahkan dirinya untuk berjuang di jalan Allah.”) Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Anas, ‘كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ’ (“Nabi SAW adalah orang yang paling berani dan paling murah hati.”) [1]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar lagi: Titik persamaan diserupakan kedermawanan Nabi SAW dengan kedermawanan angin yang berhembus adalah bahawa yang dimaksudkan dengan ‘angin’ di sini adalah pembawa rahmat, yang dikirim Allah untuk menurunkan hujan bagi tanah yang tandus atau tanah yang lain. Yakni, kebaikan Baginda SAW terhadap orang-orang yang fakir dan memerlukan adalah lebih merata dibandingkan dengan air hujan yang turun secara merata kerana tiupan angin. [2]

Al-Qastalani berkata: Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. [3]

  • Pemurahnya Rasulullah SAW Ketika Peristiwa Perang Hunain

Perang Hunain atau dikenali juga dengan peperangan Hawazin berlaku pada 10 Syawal Tahun ke-8 Hijrah (hari ke-19 Rasulullah memasuki kota Makkah). Peperangan berakhir dengan kemenangan besar berpihak kepada tentera Islam. Tentera Islam berjaya merampas harta benda, senjata dan kenderaan yang digunakan oleh pihak musuh.

Ketika itu, rampasan yang diperoleh dalam peperangan ini terdiri daripada 6000 tawanan, 24,000 ekor unta, lebih 40,000 ekor kambing serta 4000 uqiyah (satu uqiyah bersamaan 40 dirham) perak. Rasulullah SAW mengarahkan ke semua harta rampasan itu dikumpulkan, kemudian Baginda menahan harta rampasan itu di Ji’ranah. Mas’ud bin ‘Amr al-Ghifari dilantik untuk menjaga harta tersebut. Baginda SAW tidak membahagikan harta itu melainkan setelah selesai peperangan.

Pembahagian harta rampasan ini dilakukan selepas pengepungan di Ta’if. Baginda SAW berhenti di Ji’ranah lebih daripada 10 malam untuk membahagikan harta rampasan. Baginda sengaja melewat-lewatkan pembahagian harta tersebut dengan harapan ada utusan daripada Hawazin yang datang bertaubat. Dengan itu, Baginda akan mengembalikan harta tersebut kepada mereka. Tetapi tidak ada seorang pun datang. Justeru, Nabi SAW membahagi-bahagikan harta tersebut.

Golongan pertama yang diberikan harta rampasan ialah orang yang dijinakkan hati mereka kerana baru memeluk Islam. Mereka mendapat peruntukan yang banyak daripada harta rampasan itu. Baginda memberikan kepada Abu Sufyan bin Harb 40 uqiyah dan 100 ekor unta, lalu Abu Sufyan meminta lagi dengan berkata, “Untuk anakku Yazid?” Lantas Rasulullah SAW memberikan sebanyak itu lagi. Abu Sufyan terus meminta, “Untuk anakku Mu’awiyah?” Lalu Rasulullah SAW memberikan sebanyak itu juga. Hakim bin Hizam pula diberikan 100 ekor unta. Kemudian dia meminta 100 ekor lagi, lalu Rasulullah SAW memberikannya. Safwan bin Umayyah pada mulanya diberikan 100 ekor unta, kemudian ditambah 100, dan 100 lagi seperti yang disebut dalam kitab al-Syifa. Al-Harith bin Kaladah[4] diberikan 100 ekor unta. Rasulullah SAW terus memberikan kepada beberapa orang pembesar Quraisy dan pembesar-pembesar lain setiap seorang 100 ekor unta. Sementara orang lain, ada yang diberikan 50, 40 ekor.

Akhirnya, tersebarlah berita dalam kalangan manusia bahawa Muhammad bermurah hati memberikan kurniaan yang tidak dibimbangi kefakiran lagi. Lantaran itu, orang Arab yang lain berasak-asak meminta harta daripada Rasulullah SAW sehingga Baginda tersandar ke sebatang pokok. Mereka menarik kain selendang Rasulullah SAW sehingga Baginda berkata:

أَيُّهَا النَّاسُ، رَدُّوا عَلَيَّ رِدَائِي، فَوَالَّذِي نَفْسِي فِي يَدِهِ لَوْ كَانَ لَكُمْ عِنْدِي عَدَدُ شَجَرِ تِهَامَةَ نَعَمًا لَقَسَمْتُهُ عَلَيْكُمْ، ثُمَّ مَا أَلْفَيْتُمُونِي بَخِيلًا وَلَا جَبَانًا وَلَا كَذَّابًا

Maksudnya: “Hai manusia! Kembalikan kain selendangku. Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, kalau aku memiliki binatang ternakan sebanyak bilangan pokok-pokok yang ada di Tihamah, dan kemudian kamu akan dapati aku bukan seorang yang bakhil, pengecut dan pembohong!” [5]

Kemudian Rasulullah SAW berdiri berdekatan untanya lalu diambil sehelai bulu unta dari bonggolnya dan diselitkan di antara dua jarinya. Baginda mengangkatnya dan berkata:

أَيّهَا النّاسُ، وَاَللهِ مَالِي مِنْ فَيْئِكُمْ وَلَا هَذِهِ الْوَبَرَةُ إلّا الْخُمُسُ، وَالْخُمُسُ مَرْدُودٌ عَلَيْكُمْ.

Maksudnya: “Hai manusia! Demi Allah, aku tidak menyimpan sisa baki dari harta bendamu dan tidak juga bulu ini melainkan sekadar satu perlima sahaja, dan satu perlima itu pun aku serahkan kepadamu juga!” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/405)

Selepas memberikan harta rampasan tersebut kepada orang yang dijinakkan hatinya kepada Islam, Rasulullah SAW mengarahkan Zaid bin Thabit membawa baki harta rampasan dan mengumpulkan orang ramai. Kemudian Baginda SAW membahagi-bahagikan harta itu kepada mereka. Setiap orang daripada mereka mendapat empat ekor unta dan 40 ekor kambing. Anggota tentera yang menunggang kuda diberikan 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.

Pembahagian ini adalah berdasarkan satu polisi yang bijaksana. Ini kerana, di dunia ini, terdapat bermacam jenis manusia yang hanya boleh dibawa kepada kebenaran dengan cara mengisi perut mereka, bukannya dengan akal fikiran, sebagaimana binatang yang diarahkan menuju ke suatu jalan. Untuk memungkinkan ia sampai ke kemuncak jalan tersebut, diletakkan gugusan daun di sepanjang jalan sehingga akhirnya binatang itu selamat sampai ke kandangnya. Begitulah juga jenis-jenis manusia ini, perlu dilakukan strategi dan pemujukan yang pelbagai sehingga akhirnya mereka benar-benar berjinak dengan iman. [6]

  • Pemurahnya Rasulullah SAW kepada Seorang Pengemis

Diriwayatkan suatu hari ada seorang pengemis mengetuk pintu rumah Rasulullah SAW. Pengemis itu berkata: “Saya pengemis ingin meminta sedekah dari Rasulullah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Wahai Aisyah berikan baju itu kepada pengemis itu.”

Sayyidatina Aisyah pun melaksanakan perintah Nabi SAW. Pengemis itu amat gembira, menerima pemberian Baginda SAW dan terus pergi ke pasar serta menyampaikan kepada orang ramai di pasar:

“Siapa yang mahu membeli baju Rasulullah?” Maka ramai orang segera berpusu-pusu datang kepadanya semua ingin membelinya. Kemudian ada seorang yang kaya tetapi buta yang mendengar pengumuman tersebut, lalu menyuruh hambanya agar membelinya walau berapa pun harga yang diminta, dan dia berkata kepada hambanya : “Jika kamu berhasil mendapatkannya, maka kamu akan aku merdekakan.”

Akhirnya hamba itu pun bergegas pergi dan akhirnya berjaya membeli baju Rasulullah SAW tersebut. Dan kemudian diserahkanlah baju itu pada tuannya yang buta tadi. Alangkah gembiranya si buta tersebut, dengan memegang baju Rasulullah itu, orang buta tersebut kemudian berdoa dan berkata :  “Ya Rabb dengan hak Rasulullah dan berkat baju yang suci ini, kembalikanlah pandanganku”. Kemudian Maha Suci Allah dan Kekuasaannya dengan izin Allah, orang tersebut terus dapat melihat kembali.

Keesokan harinya, dia pun pergi menghadap Rasulullah SAW dengan penuh gembira dan berkata: “Wahai Rasulullah, pandanganku sudah kembali dan aku kembalikan baju anda sebagai hadiah dariku”. Sebelumnya orang itu menceritakan kejadiannya sehingga Rasulullah pun tertawa hingga tampak gigi gerahamnya, padahal biasanya Rasulullah jarang sekali tertawa.

Kemudian Rasulullah bersabda kepada Saidatina Aisyah: “Perhatikanlah baju itu wahai Aisyah, dengan izin dan berkat-Nya, ia telah mengkayakan orang yang miskin, menyembuhkan yang buta, memerdekakan budak dan kembali lagi kepada kita.”

 

  • Rasulullah SAW Bersedekah Semua Hartanya Sebelum Wafat

Dikatakan bahawa Rasulullah SAW sehari sebelum wafat iaitu pada bulan Rabiul Awwal tahun kesebelas Hijrah, telah memerdekakan semua hamba sahaya miliknya dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Begitu juga Baginda SAW memberikan senjata-senjata miliknya kepada orang-orang Islam. Ini bermakna, Rasulullah SAW menemui Ilahi dalam keadaan tidak ada harta, bahkan harta miliknya diinfakkan fi sabilillah. [7]

Cukuplah gesaan seorang Badwi atau sahabat yang diberikan kepadanya oleh Rasulullah SAW selembah kambing. Lantas, beliau berkata,

 يَا قَوْمِ أَسْلِمُوا، فَإِنَّ مُحَمَّدًا يُعْطِي عَطَاءً مَنْ لا يَخْشَى الْفَاقَةَ.

Maksudnya: “Hai kaum, masuk Islamlah kamu semua kerana sesungguhnya Muhammad memberi tanpa merasa takut akan kemiskinan.”

Riwayat Muslim (2312) dan Ibn Hibban (6374)

Maka, benarlah firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ‎

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.

(Surah al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya. [8]

Justeru, Rasulullah SAW lah sebagai uswah dan qudwah yang terbaik dalam membentuk keperipadian kita, sifat dan sikap kita termasuk dalam kita berinteraksi dan menguruskan harta kita. Semoga dengan ini kita memperolehi kebahagiaan dalam hidup.

[1] Lihat Fath al-Bari, 1/30

[2] Lihat Fath al-Bari, 11/36

[3] Lihat Irsyad al-Sari, 1/72

[4] Beliau ialah al-Harith bin Kaladah bin Amru bin ‘Ilaj bin Abi Salamah bin Abd al-Uzza bin Amr bin Auf bin Qissi al-Thaqafi. Menurut Ibn Abi Usaibiah dalam ‘Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’, al-Harith bin Kaladah dilahirkan pada pertengahan abad kelima masihi di Ta’if.

Beliau kemudian merantau ke Yaman dan Parsi, dan mendapat pendidikan kedoktoran di Jundaisabur. Beliau mempelajari ilmu perubatan di sebelah Yaman dan juga Parsi dan membuat latihan di sana. Beliau mengenali penyakit dan ubatnya. Mengambil pengalaman dari tokoh-tokoh perubatan yang terdahulu. Beliau pernah merawat orang sakit yang kaya-raya dan bangsawan. Selepas sembuh beliau dihadiahkan dengan harta yang banyak dan seorang wanita yang dinamakan Sumayyah.

Beliau digelar sebagai Tabib al-A’rab. Justeru, beliau banyak merawat orang sakit di kalangan sahabat dan lain-lain. Rasulullah SAW pernah memerintahkannya merawat Sa’d bin Abi Waqqas semasa Hajjatul Wada’ dan dengan izin Allah, dia sembuh.

Beliau kemudian kembali ke Ta’if ketika Islam mula berkembang secara meluas. Status beliau sebagai sahabat Nabi diperdebatkan oleh ulama. Ada yang menyebut bahawa beliau masuk Islam tidak lama sebelum Nabi SAW wafat, dan ada yang menyebut beliau masuk Islam selepas meninggalnya Nabi, dan ada juga yang menyatakan bahawa beliau tidak masuk Islam. Bagaimanapun, Nabi SAW dan para sahabat merujuknya dalam beberapa masalah pengubatan.

[5] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/405

[6] Lihat Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, hlm. 298; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 386

[7] Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 102

[8] Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 69

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *