#1129: Perjalanan ke Bulan

Soalan:

Bolehkah manusia sampai ke bulan mengikut pandangan Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan takrif bulan itu sendiri dan jaraknya dengan bumi. Menurut Ensiklopedia Britannica bulan ialah satu-satunya satelit semula jadi Bumi dan badan angkasa besar terdekat. Dikenali sejak zaman prasejarah, ia adalah objek paling terang di langit selepas Matahari. Namanya dalam bahasa Inggeris, Moon, seperti nama Earth (bumi), adalah terbitan dari perkataan Jermanik dan Inggeris Lama.

Kajian awal pergerakan dan kedudukan bulan membantu penyelidik dan manusia untuk belajar dan menjangka fenomena pasang surut dan membawa kepada perkembangan kalendar berasaskan bulan. Kedudukan jarak purata bulan dari Bumi (jejari orbit) ialah sejauh 384,400 km. Jejari khatulistiwanya ialah 1,738 km (1,080 batu), dan bentuknya adalah sedikit rata sedemikian rupa sehingga ia membonjol sedikit ke arah Bumi.

Bulan tidak mempunyai medan magnet global seperti Bumi, tetapi beberapa batuan permukaannya mempunyai kemagnetan kekal, yang menunjukkan satu atau lebih tempoh aktiviti magnet pada masa lalu. Bulan pada masa ini mempunyai aktiviti seismik yang sangat sedikit dan sedikit aliran haba jauh di bawah permukaannya, menunjukkan bahawa kebanyakan aktiviti dalamannya telah lama berhenti.

Bila terjadinya isu manusia pertama pergi ke bulan, misi itu bermula pada 16 Julai 1969 apabila Amerika Syarikat menghantar ‘hero’ mereka, Armstrong, Edwin Aldrin, dan Michael Collins sebagai taruhan bersama tunggangan mereka yang dikenali sebagai “Eagle”.

Empat hari selepas itu, modul itu berjaya menyentuh permukaan bulan dan Armstrong menjadi manusia pertama meninggalkan tapak kaki di permukaan lunar bersama ungkapan keramat; “Itu adalah satu langkah kecil bagi manusia; satu lompatan gergasi bagi umat manusia.”

Ulama Islam telah berselisih kepada dua pendapat, adakah manusia boleh sampai ke bulan atau tidak? 

Pendapat pertama, tidak mungkin. Ini kerana bulan berada di langit sedangkan Rasulullah SAW ketika perjalanan Isra’ Mi’raj ketika mahu memasuki langit perlu meminta izin. Begitu juga, pandangan ini disandarkan kepada firman Allah SWT:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Maksudnya: “Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!”

Surah al-Rahman (33)

Pendapat kedua, manusia boleh sampai ke bulan. Perkara ini tidak mustahil. Mereka juga berdalil kepada dalil di atas. Iaitu surah al-Rahman ayat 33. Dengan sebab itu mereka menafsirkan (بِسُلْطَانٍ) dengan ilmu. 

Oleh kerana ayat ini menjadi perbahasan di kalangan ulama, maka saya perincikan pendapat ulama sama ada dahulu ataupun kemudian.

Al-Tabari berkata: Para ahli tafsir berbeza pandangan mengenai tafsir firman Allah SWT: ‘ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا’ [Kalau kamu dapat menembus keluar (melintasi)]. Sebahagian menyatakan bahawa ertinya adalah, jika kamu sanggup melampaui hujung langit dan bumi, maka Tuhanmu akan mengalahkanmu sehingga kamu tidak dapat melakukannya. Lampauilah ia, kerana sesungguhnya kamu tidak dapat melampauinya kecuali dengan kekuatan dari Tuhanmu. 

Firman-Nya, ‘إِلَّا بِسُلْطَانٍ’ (melainkan dengan satu kekuasaan), ertinya adalah, kecuali dengan bukti. Ahli tafsir lain menyatakan, bahawa ertinya adalah, kecuali dengan hujjah. Ahli tafsir lain menyatakan bahawa maknanya adalah, kecuali dengan kekuasaan, dan kamu tidak mempunyai kekuasaan. Pendapat yang benar adalah, yang menyatakan bahawa makna ‘إِلَّا بِسُلْطَانٍ’ adalah ‘kecuali dengan hujjah dan bukti, kerana itulah makna ‘السُّلْطَان’ dalam percakapan bahasa Arab. Kekuasaan dapat juga termasuk ke dalamnya, kerana kekuasaan merupakan hujjah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/389)

Al-Qurtubi menukilkan bahawa Ibn ‘Abbas berkata: Maksudnya, jika kamu semua mampu untuk mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, maka ketahuilah. Akan tetapi, kamu semua tidak akan dapat mengetahuinya kecuali dengan ‘السُّلْطَان’, iaitu keterangan dari Allah SWT.” Qatadah pula berkata: (Yakni), kamu semua tidak dapat menembusnya melainkan dengan kerajaan, sedangkan kamu semua tidak memiliki kerajaan.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/541)

Al-Syaukani berkata: Dikatakan ‘نَفَذَ الشَّيْءُ مِنَ الشَّيْءِ’ apabila sesuatu itu terlepas dari sesuatu yang lain, seperti terlepasnya anak panah. ‘ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ’ (Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan), yakni kamu semua tidak akan dapat mampu melintasinya kecuali dengan kekuatan, namun kamu semua tidak memiliki kekuatan dan kemampuan untuk itu. ‘السُّلْطَان’ adalah kekuatan yang dengannya pemiliknya dapat menguasai perkara. Perintah untuk melintas adalah perintah yang menunjukkan kelemahan pihak yang diperintah. (Lihat Fath al-Qadir, 5/165)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya: ‘إِلَّا بِسُلْطَانٍ’, iaitu kecuali dengan kekuatan dan kekuasaan. Yakni, wahai manusia dan jin, jika memang kamu semua mampu untuk keluar menerobos dari sisi langit dan bumi untuk lari melepaskan diri daripada qadha’ dan qadar Allah SWT, dari kuasa dan kekuasaan-Nya, maka cubalah untuk melakukan hal itu, dan selamatkan diri kamu. Kamu semua tidak akan mampu untuk menerobos dan melarikan diri dari ketetapan dan kekuasaan-Nya, sedangkan kamu semua tidak sedikit pun memiliki kekuatan dan kemampuan untuk melakukan hal itu. Oleh kerana itu, sekali-kali tidak akan mungkin bagi kamu untuk melarikan diri. Kenapa (dalam ayat ini), jin disebut terlebih dahulu? Hal itu kerana, dalam konteks menembus dan melintasi penjuru-penjuru langit dan bumi, bangsa jin adalah yang lebih layak dan sesuai jika seandainya memang mampu.” (Lhat al-Tafsir al-Munir, 14/231)

Dr. Quraisy Syihab berkata: Sehingga saat ini, terbukti bahawa betapa besarnya usaha dan tenaga yang diperlukan untuk dapat menembus ruang lingkup graviti bumi. Kejayaan eksperimen perjalanan luar angkasa selama waktu yang sangat sedikit dan terbatas jika dibandingkan dengan besarnya alam raya itu sahaja memerlukan usaha yang luar biasa dalam bidang sains dengan segala cabangnya, seperti kejuruteraan, matematik, geologi dan sebagainya. Belum lagi ditambah dengan kos dan biaya yang sangat besar. Hal ini membuktikan dengan jelas bahawa usaha menembus langit dan bumi yang berjarak jutaan tahun cahaya itu mustahil dapat dilakukan oleh jin dan manusia. 

Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau tidak menafikan bahawa wujud segelintir pihak yang menganggap pengembaraan Amstrong dan rakan-rakannya hanyalah mitos semata-mata.

Katanya, “Manusia memang menjejakkan kaki ke bulan, malah 12 manusia sudah ke sana. Saya sendiri berjumpa dengan Armstrong dan dua lagi manusia (yang pergi ke bulan), bahkan ada antara mereka yang masih hidup. Sedangkan Armstrong telah meninggal dunia pada tahun 2012 ketika berusia 82 tahun.” (Lihat Astro Awani, 20 Julai 2019)

Justeru, saya katakan dengan ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia dan high-tech dalam meneroka angkasa lepas, termasuk di dalam galaksi ini, maka tidaklah mustahil dan keharusan untuk sampai ke bulan adalah tinggi dan munasabah. 

Bukti yang dilihat secara gambar dan juga dapatan kajian mutakhir melalui pakar astronomi dan pengkaji angkasa lepas, adalah perkara yang mungkin berlaku. Sementelahan lagi, sudah ada pengakuan dan juga reka cipta baru seperti satelit dan lain-lain lagi. Ini semua menguatkan kemampuan manusia dengan ilmu untuk sampai ke bulan. 

Salah satu hujah konspirasi yang paling popular mengatakan angkasawan tidak sampai ke bulan dan ianya hanyalah dipalsukan ialah tidak ada bintang langsung di dalam semua foto misi Apollo ke bulan. Bebas daripada pencemaran, asap, jerebu dan cahaya seperti di bumi, sudah tentu ia dijangkakan untuk beribu-ribu bintang kelihatan di dalam semua imej yang diambil atau direkodkan oleh angkasawan-angkasawan ke bulan. 

Akan tetapi, hujah ini berdasarkan pada gambar-gambar yang diambil semasa malam lunar. Semua misi berawak ke bulan berlaku pada waktu siang yang cerah (di bulan). Ini bermakna cahaya bintang kalah (tidak kelihatan) dalam pertempuran melawan cahaya di permukaan bulan yang sangat terang kerana ia terlalu malap untuk kelihatan atau direkod dalam foto.

Hujah kedua bahawa pendaratan itu dipalsukan adalah berdasarkan pelbagai salah faham berkenaan peralatan NASA yang digunakan dan hukum fizik di bulan. Contoh yang terkenal ialah bendera Amerika yang diletakkan oleh Neil Armstrong dan Buzz Aldrin di bulan. Ia kelihatan berkibar ditiup angin dalam beberapa foto. Bagaimanakah ini boleh berlaku apabila di bulan tidak mempunyai angin?

Sebenarnya, ia tidak berkibar sama sekali. Batang melintang di bahagian atas tiang yang memegang bendera yang dikibarkan. Ini menjadikan ia kelihatan seperti angin menghalangnya daripada tergantung. Dan terdapat kesan berkibar kerana graviti lemah di bulan dan ia tidak cukup kuat untuk menarik atau menjatuhkankan bendera ke bawah. Selepas melambai sedikit kerana angkasawan mengibas bendera itu semasa angkasawan ingin menanam bendera ke permukaan bulan, bendera itu masih kekal dengan posisi tersebut (kerana graviti yang lemah).

Mungkin hujah yang paling meyakinkan bahawa pendaratan itu dipalsukan ada kaitan dengan sesuatu yang dipanggil tali pinggang Van Allen. Ini adalah satu kawasan mengelilingi bumi yang berbentuk seperti dua tali pinggang gergasi berbentuk donat yang mengelilingi bumi. Ia terdiri daripada zarah bercas tenaga tinggi daripada angin suria. Sesetengah orang percaya manusia tidak boleh melalui kawasan tali pinggang ini tanpa terdedah kepada dos radiasi yang tinggi yang akan mengakibatkan kematian.

Ini adalah kebimbangan yang diambil perhatian sebelum misi Apollo. Dan itulah sebabnya saintis di sebalik misi Apollo 11 perlu memastikan mereka melindungi angkasawan yang akan pergi sebaik mungkin. Mereka melindungi kapal angkasa daripada sinaran dengan cengkerang aluminium. Dan mereka memilih trajektori dari bumi ke bulan yang meminimumkan jumlah masa roket tersebut berada di kawasan tali pinggang Van Allen.

Bacaan daripada sembilan angkasawan misi Apollo yang sampai ke bulan menunjukkan purata pendedahan sinaran radiasai angkasawan ialah 0.46 dos serap sinaran (rad). Ini membuktikan NASA telah mengambil langkah yang tepat untuk melindungi angkasawan mereka daripada radiasi ini. Walaupun ia kurang daripada yang dialami oleh sesetengah pekerja di pusat tenaga nuklear, 0.46 rad adalah sekitar 10 kali lebih banyak daripada pendedahan radiasi pegawai perubatan profesional yang bekerja secara rutin dengan mesin x-ray dan radioterapi.

Antara yang membuktikan bahawa pendaratan di bulan benar-benar berlaku, hari ini, Pengorbit Lunar Reconnaissance (LRO) NASA telah berjaya mengambil gambar resolusi tinggi permukaan bulan dari orbit rendah. Semasa misinya, ia telah menangkap tapak pendaratan dan modul turunan terbengkalai serta rover dari misi Apollo pada permukaan bulan. Dan resolusinya sangat baik sehingga telah mengambil laluan berlekuk-lekuk gelap yang dibuat oleh tapak kaki angkasawan. Kapal angkasa dari China, India dan Jepun juga telah melihat tapak pendaratan ini. 

Akhir sekali, bukti yang tidak dapat disangkal ialah ketika Armstrong dan Aldrin telah menanam tatasusunan retroreflektor laser bulan di permukaan bulan ketika misi mereka pada 20 July 1969. Ia masih beroperasi hari ini, dan membolehkan kita pada hari ini memantulkan laser daripadanya dan mengukur jarak bumi ke bulan hingga ke ketepatan sentimeter. Sudah tentu ini tidak dapat dilakukan jika mereka tidak mendarat di bulan. (Lihat https://www.iop.org/explore-physics/moon/how-do-we-know-we-went-to-the-moon#gref)

Kesimpulannya

Dalam isu ini sebahagian ulama menganggap bahawa mengetahui pun bukanlah memberi manfaat dalam kehidupan dan jahil pun bukan memberi mudarat. Justeru, pendapat ulama yang menyokong dan yang tidak mempunyai asas tertentu dengan tafsiran tertentu. 

Kami berpendapat pergi dan sampai ke bulan seperti mana yang digambarkan dalam sejarah bukanlah perkara mustahil dan termasuk perkara mumkinat iaitu boleh berlaku. Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita terutamanya dalam agama kita. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 22 Mac 2023 bersamaan 29 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *