#1133: Bilangan Rakaat Solat Tarawih

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, soalan saya, sebenarnya berapa bilangan rakaat solat tarawih?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Ketika Rasulullah SAW masih hidup, solat ini dinamakan “Solat mendirikan malam bulan Ramadan” bukan dinamakan solat sunat Tarawih. Begitu juga di zaman Saidina Abu Bakar RA. Nama ‘Tarawih’ hanya wujud di zaman Saidina Umar RA.

Perkataan “Tarawih” berasal daripada kata “Rawwaha”, yang ertinya berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab (1/615) berkata perkataan “Tarawih” adalah kata jama’ dari “Tarwihah” yang ertinya sekali berehat. Maka dinamakan solat itu solat Tarawih kerana setiap 4 rakaat solat (iaitu dua rakaat-dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah sehingga habis bilangan rakaatnya.

Pendapat ini juga dikemukakan oleh pengarang Anis al-Fuqaha’ (hlm. 34) iaitu al-Qunawi dan al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna’ (1/117).

Terdapat pandangan yang menyatakan, ia diambil daripada kalimah marawihah yang memberi maksud berulang-ulang dalam perbuatan seperti kata Ibn Muflih.

Bilangan rakaat solat tarawih

Terdapat beberapa pendapat tentang bilangan rakaat. Kami ringkaskannya seperti berikut:

Pendapat Pertama

Jumhur ulama’ memilih dan mengatakan bahawa solat Tarawih itu dikerjakan sebanyak 20 rakaat tidak termasuk solat Witir. Ini adalah seperti yang diamalkan oleh orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar. Dalil mereka yang paling kuat ialah perbuatan Saidina Umar al-Khattab RA di dalam riwayat daripada Abdul Rahman Abdul Qariy. Di samping itu terdapat banyak lagi dalil-dalil yang lain. Antaranya ialah athar yang bermaksud:

  • Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lainnya dengan sanad yang sahih daripada al-Sa’ib bin Yazid al-Sohabi berkata : 

كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً  قَالَ:  وَكَانُوا يَقْرَءُونَ بِالْمَئِينِ، وَكَانُوا يَتَوَكَّئُونَ عَلَى عِصِيِّهِمْ فِي عَهْدِ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ مِنْ شِدَّةِ الْقِيَامِ

Maksudnya: “Adalah sahabat-sahabat mendirikan solat malam di bulan Ramadan dengan 20 rakaat dan dengan bacaan 200 ayat, mereka berpegang atas tongkat mereka pada masa Uthman (pemerintahannya) kerana terlalu lama berdiri.” (Lihat al-Sunan al-Kubra, no. 4288)

  • Apa yang dikeluarkan oleh Imam Malik (380) dalam kitab Muwatta’ daripada Yazid bin Ruman berkata:

كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فِي رَمَضَانَ، بِثَلاَثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً

Maksudnya: “Orang ramai pada zaman Umar, ketika bulan Ramadhan mendirikan solat malam sebanyak 23 rakaat.” (ulama’ mengatakan bahawa solat Tarawih 20 rakaat dan Witir 3 rakaat). (Lihat al-Mizan al-Adil li Tamyiz al-Haq Min al-Batil, hlm. 242)

  • Imam al-Tirmizi menyebut: “Sebahagian besar ulama’ berpegang pada riwayat yang berasal daripada Umar bin al-Khattab RA, Ali RA dan para sahabat Nabi lainnya, iaitu 20 rakaat. Demikian juga pendapat Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak dan al-Syafi’ie. Bahkan Imam al-Syafi’ie mengatakan: “Di negeri kita, Makkah, aku menyaksikan orang melakukan solat Tarawih 20 rakaat.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 3/160)

Banyak lagi athar, perkataan ulama’ salaf dan khalaf yang memilih solat Tarawih 20 rakaat dan 3 rakaat solat Witir kerana kekuatan dalil-dalilnya. Sesungguhnya  begitu jumhur ulama’ juga berpendapat bahawa bilangan rakaat solat Tarawih itu tidak ditentukan. Ini disebabkan terdapat berbagai bilangan rakaat yang lebih dan kurang daripada 20 rakaat dikerjakan oleh sebahagian Salaf al-Soleh.

Imam Abu Hanifah dan pengikut-pengikutnya dan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Dawud dan lain-lain ulama’ dahulu berkata begitu dan al-Imam al-Qadhi ‘Iyadh telah menaqalkan daripada kebanyakan ulama’ (al-jumhur) juga berkata begitu.

Dalam mazhab Hanbali menambah, tidak boleh kurang daripada dua puluh dan tidak mengapa jika lebih kerana ada nas.

Jika sahabat-sahabat dan para tabiin dan Imam Abu Hanifah serta pengikut-pengikutnya daripada ulama’ Hanafi, sekalian ahl al-Ra’y dan Imam Ahmad dan juga mazhab al-Syafi’ie  alh al-hadith berpegang, beramal dan bersetuju di atas bilangan rakaat solat Tarawih itu, maka menunjukkan bilangan dua puluh rakaat itu adalah betul dan hak. Umat Islam tidak akan bersekutu dan berhimpun di atas perkara yang sesat.

Pendapat Kedua

Bukan jumhur ulama’, iaitu mereka mengatakan bahawa solat Tarawih sebanyak 36 rakaat tidak termasuk solat Witir. Ini diamalkan di zaman Umar bin Abdul Aziz dan ahli Madinah. Antaranya dalil-dalil yang digunakan mereka ialah:

  • Athar yang diriwayatkan oleh Ibn Wahab daripada al-Umri daripada Nafi’ berkata: “Aku tidak mendapati manusia melainkan mereka mendirikan solat Tarawih 39 rakaat termasuk 3 rakaat solat Witir.”
  • Di dalam kitab Syarh al-Muhazzab, Nafi’ meriwayatkan sebagai berikut: ”Aku menyaksikan sendiri, ketika itu umat Islam mendirikan solat malam (solat Tarawih) di bulan Ramadan sebanyak 39 rakaat, termasuk di dalamnya 3 rakaat Witir.” 
  • Mengikut pandangan jumhur ulama’, bahawa athar-athar yang dijadikan dalil oleh ulama’ golongan yang kedua ini, tidak kuat. Oleh itu, jumhur ulama’ tidak mengambil athar-athar tersebut sebagai dalil-dalil yang menegakkan hukum.

Pendapat Ketiga

Satu kelompok daripada ulama’ mengatakan bahawa solat Tarawih itu hanya 8 rakaat dan solat Witir 3 rakaat. Antara dalil-dalil mereka ialah:

  • Hadith daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma berkata:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ ثَمَانِ رَكَعَاتٍ وَالْوِتْرَ، فَلَمَّا كَانَ مِنَ الْقَابِلَةِ اجْتَمَعْنَا فِي الْمَسْجِدِ وَرَجَوْنَا أَنْ يَخْرُجَ إِلَيْنَا، فَلَمْ نَزَلْ فِي الْمَسْجِدِ حَتَّى أَصْبَحْنَا، فَدَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْنَا لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَجَوْنَا أَنْ تَخْرُجَ إِلَيْنَا فَتُصَلِّيَ بِنَا، فَقَالَ: «كَرِهْتُ أَنْ يُكْتَبَ عَلَيْكُمُ الْوِتْرُ»

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengerjakan solat bersama kami pada bulan Ramadan (solat Tarawih) sebanyak 8 rakaat dan Witir. Maka apabila malam berikutnya, kami berhimpun di masjid dengan harapan Rasulullah datang ke masjid untuk solat bersama kami. Kami menunggu sehingga waktu pagi. Apabila Rasulullah SAW datang maka kami bertanya kepadanya: “Wahai Rasulullah, tadi malam kami berkumpul di masjid, berharap engkau akan solat bersama kami.” Maka Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku tidak menyukai – atau aku merasa bimbang – jika ia diwajibkan atas kamu witir.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1070) dalam Sahih-nya;  Ibn Hibban (2415) dalam Sahih-nya; Abu Ya ‘la (1802) dalam Musnad; dan al-Tabarani (525) dalam Mu ‘jam al-Saghir. Berkata Syeikh Muhammad Mustafa al-A’zami: Isnadnya hasan. 

  • Hadith yang maksudnya: “Telah mengkhabar kepada kami Abu Ya’la, telah mencerita kepada kami Abu al-A’la bin Hammad al-Narsi,telah mencerita kepada kami Jabir RA: 

جَاءَ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، كَانَ مِنِّي اللَّيْلَةَ شَيْءٌ فِي رَمَضَانَ ، قَالَ : ” وَمَا ذَاكَ يَا أُبَيُّ ؟ ” قَالَ : نِسْوَةٌ فِي دَارِي قُلْنَ : إِنَّا لَا نَقْرَأُ الْقُرْآنَ ، فَنُصَلِّي بِصَلَاتِكَ ، قَالَ : فَصَلَّيْتُ بِهِنَّ ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ أَوْتَرْتُ ، قَالَ : فَكَانَ شِبْهُ الرِّضَا ، وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا

Maksudnya: “Ubai bin Ka’ab datang berjumpa Nabi SAW dia berkata: “Wahai Rasulullah! Pada suatu malam bulan Ramadan berlaku kepadaku suatu perkara, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah perkara itu wahai Ubai? Berkata Ubai: “Beberapa orang perempuan di rumahku berkata: “Kami tidak pandai membaca al-Quran, sebab itu kami mengerjakan solat secara berimamkan kamu.” Ubai berkata: “Maka aku mengerjakan solat bersama beberapa orang  perempuan itu 8 rakaat, kemudian aku mengerjakan solat Witir. Berkata Jabir :  “Maka nampak seolah-olah Nabi redha, tetapi Nabi tidak berkata apa-apa.”

Riwayat Ibn Hibban (2549). Berkata Syeikh Syu‘aib al-Arnaut: Isnadnya daif, kerana lemahnya Isa bin Jariah al-Ansari al-Madini. 

  • Hadith Nabi SAW yang maksudnya: Daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah R.Anha: “Bagaimana Rasulullah SAW mengerjakan solat di bulan Ramadan?  Lalu Aisyah menjawab: 

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا، فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا

Maksudnya: “Nabi mengerjakan solat di bulan Ramadan atau lainnya tidak melebihi 11 rakaat. Baginda mengerjakan solat 4 rakaat, maka jangan kamu bertanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda mengerjakan solat 4 rakaat lagi, dan jangan kamu bertanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda mengerjakan solat 3 rakaat.” 

Aisyah berkata lagi: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu mengerjakan solat Witir?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah! Sesungguhnya kedua mata aku tidur tetapi hati aku tidak tidur.” 

Riwayat  Bukhari (2013) dan Muslim (738)

Sebelum dijadikan hadith ini sebagai dalil untuk solat Tarawih 8 rakaat dan solat Witir 3 rakaat, mestilah diteliti terlebih dahulu dari segi sanad dan matannya. (Sila rujuk kitab Sahih Ibn Hibban pada “Bab Solat Ramadan”.) Ringkasnya, ulama’-ulama’ hadith bercanggah pendapat terhadap perawi-perawi bagi dalil-dalil yang dikemukakan oleh golongan ketiga ini.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa perawi-perawi itu baik. Manakala sebahagian yang lain mengatakan perawi-perawi itu daif. Maka mengikut kaedah Mustalah hadith yang ertinya : “Dan apabila bercanggah pendapat di antara orang yang mengatakan perawi itu adil dan orang yang mengatakan perawi itu cedera atau cacat sifatnya nescaya diambil pendapat orang yang mengatakan perawi itu cedera.

Imam al-Qadhi I’yadh mengatakan: “Para ulama’ berpendapat bahawa semua hadith tersebut di atas, baik yang berasal dari Ibn Abbas, Zaid bin Khalid mahu pun yang berasal dari Aisyah RA, masing-masing mengemukakan kesaksian peribadinya sendiri. Dalam semua hadith itu tidak terdapat perbezaan tentang batas jumlah rakaat yang tidak boleh ditambah atau dikurangi (iaitu tidak menetap jumlah rakaat secara pasti). Sebab solat  malam itu adalah ibadah sunat, makin banyak dilakukan makin banyak pula pahala yang didapati orang yang melakukannya. Perbezaan yang ada pada hadith-hadith tersebut di atas hanya mengenai beberapa jumlah rakaat yang dilakukan sendiri.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim, 3/126)

Demikian pula yang dikatakan oleh Imam Al-Hafiz Ibnu Al-Iraqi dalam kitab Tarhu Tatsrib (3/406). Dia mengatakan, semua ulama’ sebulat suara bersepakat bahawa solat Tarawih tidak ada ketentuan batas jumlah rakaatnya. Perbezaan yang ada pada pelbagai riwayat hadith hanya mengenai soal berapa rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. 

Syeikh Ibn Taimiyah dalam kitabnya yang bertajuk al-Fatawa (1/148) berkata: “Yang benar ialah bahawa semuanya itu (iaitu jumlah rakaat solat Tarawih yang disebutkan oleh beberapa hadith yang berlainan) adalah tidak menetapkan jumlah rakaat solat Tarawih. Banyak dan sedikitnya jumlah rakaat itu bergantung pada lama dan singkatnya cara orang melakukan solat Tarawih.”

Berdasarkan hadith-hadith sahih dapatlah dipastikan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat malam Ramadan dalam masa yang agak lama sekali kerana dalam satu rakaat Baginda membaca surah-surah seperti al-Baqarah, Ali Imran dan al-Nisa’.

Lamanya solat yang demikian itu tidak memerlukan tambahan rakaat yang lebih banyak. Sebaliknya pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, Ubai bin Ka’ab mengimamkan solat Tarawih berjemaah dua puluh rakaat. Untuk tidak berdiri terlampau lama sehingga memberatkan makmum, maka diperbanyakkan jumlah rakaat sehingga dua kali ganda sebagai menggantikan lamanya waktu solat Tarawih yang sebelumnya.

Pendapat Keempat

Sepuluh rakaat. Ini merupakan pendapat Syafieyyah. Antaranya amalan tarikat Ahmadiah. Dalam Risalah al-Kasyf wa al-Tanfis menyebut bahawa solat Tarawih dengan empat riwayat:

  • Riwayat 11 rakaat beserta witir.
  • Riwayat 13 rakaat.
  • Riwayat 2 rakaat.
  • Riwayat 4 rakaat.

Tujuan hadith-hadith tersebut dibentangkan adalah untuk memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW melakukan qiam dan untuk membuktikan bahawa istinbat ulama’ yang mengharuskan seseorang boleh berpada (iqtisar) dengan mengerjakan beberapa rakaat Tarawih sahaja seperti pendapat yang disokong oleh al-Imam Ibn Hajar dan ulama’ yang sependapat dengannya adalah pendapat yang telah diasaskan berpandukan kepada hadith-hadith ini.

Pendapat Kelima

Bilangan rakaat sebanyak empat puluh rakaat mengikut pendapat al-Aswad bin Yazid. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/32).

Tarjih

Penulis cenderung kepada tanpa had bilangan Tarawih. Ini berdasarkan kepada hujah yang dikemukakan oleh Imam al-Suyuti yang berkata: Yang datang daripada hadith-hadith yang sahih dan hasan perintah melakukan qiam Ramadan dan menggalakkannya tanpa menentukan bilangannya dan tidak thabit bahawa Nabi SAW melakukan solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Tetapi, Baginda solat yang tidak disebut bilangan rakaatnya pada tiga malam yang pertama dan tidak keluar pada malam yang keempat kerana dibimbangi berlaku kefardhuan ke atas mereka yang akhirnya mereka lemah untuk mengerjakannya. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/417)

Ibn Hajar al-Haithami berkata: Tidak sah bahawa Nabi SAW solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat dan riwayat yang menyatakan Baginda SAW solat dua puluh rakaat adalah amat lemah. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 1/193)

Berkenaan dengan solat Tarawih dua puluh rakaat, ia berlaku pada zaman Umar RA secara berjemaah. Justeru, di terima pakai oleh jumhur fuqaha di kalangan mazhab yang empat. Antara kenyataan mereka seperti berikut:

  • Al-Kasani berkata: Umar RA menghimpunkan sahabat Rasulullah SAW pada bulan Ramadan dan menjadikan Ubay bin Ka’ab sebagai imam.
  • Al-Dusuqi berkata: Inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabiin.
  • Ali al-Sanhuri berkata: Ia menjadi amalan orang ramai sampai ke zaman kita di seluruh pelusuk.
  • Mazhab Hanbali berkata: Ia menjadi tempat yang masyhur di mana dilakukan dihadapan sahabat dan menjadi ijmak.

Akhirnya penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Majma’ Fiqh Islam di dalam persidangannya kali yang ke 10 di Makkah al-Mukarramah yang bermula pada hari Sabtu 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1987 sehingga kepada hari Rabu 18 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 memutuskan antara lain: “Perbezaan mazhab-mazhab fiqh di dalam beberapa masalah mempunyai sebab-sebab ilmiah yang mengandungi hikmah-hikmah yang besar. Antaranya menunjukkan  rahmat kepada hamba-hamba Allah SWT dan meluaskan lapangan hukum daripada nas-nas.”

Di samping itu, ia juga membentuk perbendaharaan perundangan fiqh yang sekaligus meletakkan umat Islam di kalangan keluasan agama dan syariat-Nya. Perlaksanaan syariat tidak hanya tertumpu kepada satu aspek sahaja bahkan boleh juga ditumpukan kepada aspek lain. Apabila mazhab seorang Imam tidak dapat menampung keperluan umat Islam pada waktu tertentu atau di dalam urusan tertentu, mereka akan menemui keluasan dan kemudahan di dalam mazhab imam lain pula, sama ada di dalam urusan ibadah, muamalah, keluarga, kehakiman, jenayah dan lain-lain lagi.”

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita sehingga kita dapat menjalankan ibadat solat tarawih sebaik mungkin. Amin. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *