#1182: Zakat Fitrah Pesakit Mental

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah zakat fitrah dikenakan kepada orang gila?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pada asalnya, orang gila tidak ditaklifkan. Hal ini berdasarkan adith Rasulullah SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak tercatat dosa dan pahala: orang yang tidur sehingga dia bangun tidur, kanak-kanak sehingga dia mimpi basah dan orang yang gila sehingga dia kembali berakal. 

Sunan Abu Daud (4403)

Tetapi ini terkait dengan harta. Selama mana dia seorang Islam dan berharta, mengikut pendapat jumhur ulama, wajib zakat kepada mereka, termasuklah zakat fitrah. Inilah pendapat dalam mazhab Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad. Dalil mereka berdasarkan nas al-Quran:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Taubah (103)

Justeru, walinya hendaklah mengeluarkan zakat fitrah bagi pihaknya. Melainkan, jika dia dan juga walinya miskin dan tidak ada harta untuk menunaikan zakat. 

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *