#339 Bisikan Untuk Menceraikan Isteri

Soalan

Suami saya pada suatu malam menceritakan kerisauan dia selama ini, dengan berkata “ semenjak abang nikahi awak, abang terdengar bisikan untuk mentalakkan awak” Apakah jatuh talak selepas daripada penceritaan itu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sighah (bentuk) lafaz talak secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu:

  • Sighahtalak Sarih: iaitu talak yang dilafazkan dengan lafaz yang sememangnya masyhur dengan talak, seperti lafaz talak sendiri, perceraian, dan apa-apa perkataan yang sama erti dengannya.
  • Sighahtalak kinayah: setiap perkataan yang dilafazkan akan mengandungi makna talak dan makna lain.

Selain itu, para fuqaha’ tidak hanya berbincang dalam perbahasan lafaz ini daripada sudut bentuk yang dilafazkan. Turut dibincangkan tentang hal yang lebih luas seperti syarat-syarat sahnya untuk menjadi mutalliq iaitu pelafaz talak. Maka dalam hal ini dibincangkan bagaimana keadaan orang yang menyebut lafa talak. Apakah tujuan dia menyebutkan, samaada untuk pengajaran, penceritaan atau tujuan lain. Oleh itu disebutkan talak secara ikhbar atau penceritaan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili:

يُشْتَرَطُ بِالاتِّفَاقِ القَصْدُ فِي الطَّلَاقِ: وَهُوَ إِرَادَةُ التَّلَفُّظِ بِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ فِي هَذَا الرُّكْنِ إِلَّا تَحْقِيْقَ المُرَادِ بِهِ، فَلَا يَقَعُ طَلَاقُ فَقِيهٍ يُكَرِّرُهُ، وَلَا طَلَاقُ حَاكٍ عَنْ نَفْسِهِ أَو غَيْرِهِ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَقْصِدْ مَعْنَاهُ، بَلْ قَصَدَ التَّعْلِيْمَ والحِكَايَةَ، ولَا طَلَاقُ أَعْجَمِيٍّ لُقِّنَ لَفْظَ الطَّلَاقِ بِلَا فَهْمٍ مِنْهُ لِمَعْنَاهُ. وَلا يَقَعُ طَلَاقُ مَرَّ بِلِسَانِ نَائِـمٍ أَوْ مَنْ زَالَ عَقْلُهُ بِسَبَبٍ لَمْ يَعْصِ بِهِ، وَيَلْغُو

Maksudnya: Disyaratkan secara ittifaq (persepakatan para ulama’) al-qasd (niat) dalam talak. Iaitu keinginan untuk melafazkan dengan (perkataan) talak (dengan makna asal iaitu penceraian). Tidaklah disyaratkan al-qasd sebagai rukun melainkan untuk menentukan makna dari lafaz yang disebutkan itu. Tidak jatuh talak apabila seorang faqih (orang yang alim dalam fiqh) mengulang-ulang perkataan talak, dan tidak jatuh talak kepada orang yang menceritakan ke atas dirinya (kerana menceritakan semula lafaz talak orang lain) kerana tidak memaksudkan dari lafaz talak itu, pada makna asalnya, bahkan (faqih) tujuan menyebut lafaz talak untuk pengajaran, dan (orang yang menceritakan) tujuannya adalah untuk menceritakan. Tidak jatuh talak ke atas orang ajam (bukan bangsa arab) yang menyebut lafaz talak tanpa memahami maknanya. Tidak jatuh talak jika disebutkan orang yang sedang tidur, atau orang yang hilang akal (dengan sendiri) tanpa melakukan maksiat, maka (perkataan talak itu) dianggap sia-sia( tidak dijatuhkan hukum).[1]

Berdasarkan persoalan di atas, masalah bisikan untuk melakukan maksiat sebenarnya telah berlaku pada Nabi Adam AS dan isterinya Hawa yang telah dihasut oleh Iblis untuk melanggar larangan Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ ‎

Maksudnya: Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”[2]

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Iblis merasa hasad kepada mereka berdua (Adam dan Hawa) dan berusaha dengan licik, menipu, dan menimbulkan perasaan was-was untuk mengelirukan dan mengindahkannya kepada mereka berdua bahawa pada pokok itu terdapat kenikmatan dan perkara yang baik.[3]

Kami dapati masih ramai masyarakat di luar sana, yang diuji oleh Allah SWT dengan hal-hal seperti ini. Hal-hal seperti ini tidak boleh dipandang enteng dan dibiarkan berlarutan. Sesungguhnya masalah terdengar bisikan atau disebutkan di dalam bahasa arab sebagai hadith al-Nafs. Hal ini telah disebutkan di dalam hadith sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.[4]

Jelas, bahawa bisikan atau suara-suara yang didengari itu tidak memberikan apa-apa kesan dan tidak dikira selagi mana tidak dilafazkan dengan kata-kata atau perbuatan.

Para ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talaq secara sarih tidak menjatuhkan talaq:

  • Orang yang tidur
  • Orang yang gila
  • Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  • Orang yang memanggil; iaitu jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  • Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur

Sebagai kesimpulan, kami berpendapat secara hukumnya, talak tidaklah terjatuh kerana penceritaan semula. Ini kerana ketika suami yang bertanya menyebut lafaz itu dengan niat bercerita, bukanlah untuk melafazkan talak ke atas isterinya.

Untuk merawat masalah yang berkaitan dengan bisikan-bisikan, marilah kita mengamalkan amalan-amalan seperti membaca ayat suci al-Quran untuk mengelakkan dari gangguan syaitan serta bisikan-bisikan yang hadir untuk meragukan manusia. Antaranya, dengan mengamalkan surah al-Nas yang di dalamnya terdapat ayat yang memohon perlindungan daripada keraguan di dalam jiwa:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ  (2)إِلَٰهِ النَّاسِ(3)  مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ  (4)الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “(Aku berlindung) daripada kejahatan bisikan al-Khannas, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.  (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”[5]

Ibn Kathir menjelaskan: Dalam Surah al-Nas ini, terdapat tiga daripada sifat-sifat Tuhan iaitu: ‘رَبِّ النَّاسِ’ – ‘مَلِكِ النَّاسِ’ – ‘إِلَٰهِ النَّاسِ’. Inilah Allah sebagai Pemelihara, Allah sebagai Raja, dan Allah sebagai Tuhan yang berhak disembah. Dia adalah pemelihara segala sesuatu, penguasa dan Tuhan yang berhak disembah. Segala sesuatu diciptakan untuk-Nya, dikuasai oleh-Nya dan menjadi hamba-Nya.

Orang beriman yang memohon perlindungan telah diperintahkan agar memohon perlindungan kepada Allah yang mempunyai sifat-sifat ini, daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi, iaitu syaitan yang ditugaskan untuk menggoda manusia. Sesungguhnya, tidak ada seorang pun daripada keturunan Adam kecuali dia mempunyai qarin (pendamping) yang mendorongnya supaya melakukan perkara keji dan membuat khayalan padanya. Orang yang terpelihara adalah orang yang dipelihara oleh Allah SWT.[6]

Bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada.[7] 

Selain itu, kami cadangkan juga untuk membaca doa-doa sebagai memohon kebaikan dan kebahagian di dalam rumah tangga, seperti:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik segala apa yang disyariatkan Allah SWT. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Islami wadillahtuhu, 9/6886

[2] Surah al-A’raf : 20

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/397

[4] Riwayat Al-Bukhari (6664)

[5] Surah al-Nas: 1-6

[6] Lihat Tafsir al-Quran al’Azim, 6/715

[7] Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7748

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *