#347 Terdapat Losen atau Krim pada Anggota Wuduk

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan memakai losen, pelembap atau krim pelindung matahari? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Syarat sah wuduk

Di antara syarat sah wuduk ialah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh.[3] Begitu juga dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji[4] bahawa wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah.

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya:Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk mendirikan solat Asar. Lalu mereka berwuduk dengan tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak tersentuh air wuduk) kerana termasuk (yang dibakar) dalam api neraka. Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.’[5]

Begitu juga dalam hadith yang lain, daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya:Seorang lelaki telah berwuduk dan tertinggal basuhan pada kuku kakinya, lalu dilihat oleh Nabi SAW. Baginda pun bersabda: ‘Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna.’ Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna. Kemudian dia mendirikan solat.”[6]

Oleh itu, jelaslah bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh kerana adanya halangan atau sebagainya, sekalipun sedikit.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyebutkan bahawa jika terdapat pada sebahagian anggota — yakni anggota wajib wuduk — lilin, tepung, inai atau seumpama dengannya, yang mana ia menghalang air untuk sampai ke anggota, maka tidak sah taharahnya — yakni wuduk atau mandi wajib — tidak kira ia banyak atau sedikit. Jika berbaki pada tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya, tetapi ia tidak melekat — yakni air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan. Maka sah taharahnya.[7]

Selain itu, di antara syarat sah wuduk yang lain ialah hendaklah tiada suatu pada anggota wuduk yang mengubah air yang sampai kepadanya seperti minyak wangi dan dakwat. Ini tidak termasuk peluh sendiri dan kesan minyak wangi seperti baunya sahaja kerana kedua-dua itu kebiasaan pada manusia yang sukar dijaga.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan yang menghalang air wuduk untuk sampai ke kulit atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum memulakan basuhan pada anggota tersebut. Kegagalan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Sekalipun begitu, dimaafkan jika kesan pelembab atau krim pelindung matahari tersebut terlalu nipis sehingga tidak menghalang air untuk sampai ke kulit dan terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61

[3] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,1/70.

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/55.

[5] Riwayat Muslim (241)

[6] Riwayat Muslim (243)

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/467-468.

[8] Lihat Nail al-Raja’, hlm. 75; Kasyifah al-Saja, 108)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *