Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibenarkan untuk jual beli pemain bola sepak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ijarah merujuk kepada bayaran yang diberikan kepada orang yang melakukan sesuatu kerja sebagai ganjaran kepada apa yang dilakukannya. Ia juga disebutkan sebagai ajr atau ujrah. ‘Ajjarahu’ atau ‘aajarahu’ bermaksud memberi upah kerana kerja yang dilakukan. Perkataan ini hanya digunakan bagi merujuk kepada sesuatu yang memberikan keuntungan dan tidak digunakan untuk sesuatu yang merugikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137)

Maksud kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) ialah memindahkan hak milik khidmat (manfaat) tersebut. Ini dinyatakan oleh sesetengah pengertian sebagai pemindahan hak milik suatu khidmat (manfaat) dan dibayar dengan suatu barangan.

Umat Islam sependapat bahawa kontrak ijarah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Ini berdasarkan kitab al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.

(Surah al-Talaq: 6)

Ibn Kathir berkata: Jika isteri-isteri itu melahirkan anaknya selepas diceraikan suaminya maka sempurnalah talaq ba’in dengan berakhirnya masa iddah mereka. Pada saat itu dia berhak menyusui anaknya atau menolak untuk menyusui anaknya. Jika isterinya itu menyusui anaknya, maka dia berhak mendapat upah yang setimpal. (Lihat Tafsir Ibn al-Quran al-’Azim, 8/153)

Allah SWT memerintahkan para bapa supaya memberikan ganjaran sebagai upah kepada penyusuan anak mereka. Berdasarkan ayat ini, upah menjadi hak penyusu dan sudah tentu mereka tidak berhak menerima upah ini melainkan melalui kontrak tertentu. Ini kerana jika mereka menyusukan anak tanpa sebarang kontrak, perbuatan mereka dianggap sebagai sukarela. Orang yang melakukan sesuatu secara sukarela tidak berhak mendapat apa-apa bayaran. Dengan ini, ayat ini menjadi dalil bahawa kontrak ini bertepatan dengan syara’.

Aisyah R.Anha berkata:

اسْتَأْجَرَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ رَجُلاً مِنْ بَنِى الدِّيلِ ثُمَّ مِنْ بَنِى عَبْدِ بْنِ عَدِىٍّ هَادِيًا خِرِّيتًا الْخِرِّيتُ الْمَاهِرُ بِالْهِدَايَةِ ، وَهْوَ عَلَى دِينِ كُفَّارِ قُرَيْشٍ، فَأَمِنَاهُ فَدَفَعَا إِلَيْهِ رَاحِلَتَيْهِمَا، وَوَعَدَاهُ غَارَ ثَوْرٍ بَعْدَ ثَلاَثِ لَيَالٍ، فَأَتَاهُمَا بِرَاحِلَتَيْهِمَا، صَبِيحَةَ لَيَالٍ ثَلاَثٍ، فَارْتَحَلاَ

Maksudnya:Nabi SAW dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki Bani al-Dail daripada Bani Abd bin Addi, seorang penunjuk jalan yang mahir dan masih menganut agama kafir Quraisy. Nabi SAW dan Abu Bakar mempercayainya dan menyerahkan dua ekor unta tunggangan mereka kepadanya. Mereka berjanji untuk bertemu dengannya di Gua Thur selepas tiga hari. Pada pagi hari ketiga, lelaki itu datang bersama unta tunggangan mereka dan mereka berangkat.

Riwayat al-Bukhari (2144)

Rukun dan Syarat Sewa

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (6/138), kontrak sewa mempunyai empat rukun iaitu dua pihak yang berkontrak, sighah, perkhidmatan (manfaat) yang diberikan dan bayaran sewa atau upah:

  1. Dua pihak yang berkontrak iaitu pemilik perkhidmatan (manfaat) dan penyewa.
  2. Sighah kontrak iaitu penawaran dan persetujuan.
  3. Perkhidmatan (manfaat).
  4. Bayaran Sewa atau Upah.

Khidmat yang Dinilai Berdasarkan Penggunaan Masa

Ia melibatkan semua perkhidmatan yang hanya boleh dinilai berdasarkan masa penggunaan sama ada sedikit atau banyak, lama atau sekejap. Contohnya penyewaan rumah kediaman.

Penggunaan rumah mungkin memakan masa yang lama dan mungkin sekejap. Begitu juga dengan upah penyusuan misalnya, susu yang diminum oleh bayi mungkin banyak dan mungkin sedikit. Begitu juga dengan upah menampal simen dinding, penampalan ini mungkin nipis dan mungkin tebal. Dengan ini, semua perkhidmatan ini hanya dapat dinilai mengikut masa yang digunakan kerana kaedah penilaian lain tidak dapat memberikan ukuran yang tepat. Atas dasar ini al-Quran menyebut kata-kata Nabi Syuaib AS:

عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ

Maksudnya: Dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun.

(Surah al-Qasas: 27)

Nabi Syuaib menilai khidmat Nabi Musa AS berdasarkan masa. Upah ini sebenarnya untuk mengembala dan yang berkaitan dengannya. Pengembalaan hanyalah salah satu perkhidmatan yang diberikan. Bayaran sewa atau upah perlu mengikut syarat yang sama sebagaimana syarat pembayaran dalam kontrak jual beli. Ini kerana bayaran ini sebenarnya ialah bayaran kepada perkhidmatan yang ingin dimiliki melalui kontrak sewa.

Dalam persoalan ini terdapat beberapa perkara yang akan kami jelaskan tentang beberapa perkara:

Gaji pemain bola sepak

Para ulama membenarkan pemain bola sepak untuk menerima gaji kerana ia adalah hasil kerja yang sah, maka pembayaran upah untuk kepakaran adalah dibenarkan.

Sheikh Faisal Maulawi, Naib Presiden Majlis Penyelidikan dan Ifta Eropah, berkata:

“Kami berpendapat bahawa pekerjaan sebagai pemain dalam jenis sukan yang dibenarkan, jika ia tidak berkaitan dengan apa-apa jenis hukum yang dilarang, maka ia adalah pekerjaan yang dibenarkan, dan keuntungannya akan menjadi wang yang halal, tidak kira berapa banyak gajinya.”[1]

Profesionalisme Permainan:

Para ulama telah membenarkan pekerjaan seseorang dalam permainan bola sepak, dengan syarat yang disebutkan oleh Syeikh Al-Qaradawi, katanya:

Hal ini mengikut maslahat umum bagi rakyat dan negara. Jika terdapat daripada ahli yang pengalaman dan berkebijaksanaan yang berpandangan bahawa perkara ini perlu kepada kemajuan permainan, meningkatkan tahapnya, meneruskannya daripada generasi ke generasi, dan meningkatkan permainan dalam negara ke tahap persaingan dengan negara lain, maka tidak ada larangan terhadap profesionalisme sebagai pemain bola sepak ini.” (Lihat Fiqh al-Lahwi wa al-Tarwih, 2/74)

Membeli Dan Menjual Pemain Bola Sepak

Penggunaan perkataan “menjual pemain” untuk merujuk kepada perjanjian pertukaran, sebahagian ulama menolaknya kerana ia menyerupai perhambaan yang diamalkan pada zaman dahulu, dan sebahagian ulama’, ada yang membenarkannya dengan hujjah ia sebagai adat bola sepak yang kebiasaannya menukar pemain untuk mencari bakat yang lebih baik, dan sebahagian daripada mereka membelanjakannya untuk menjual hak kontrak,dan bukan dengan menjual pemain, dan prinsip ini di dalam urus niaga adalah dibenarkan.

Antara Pandangan ulama’ mengenai isu ini:

  • Dr Rajab Abu Malih berkata:

“Pada asasnya, Tidak menjadi kesalahan untuk membeli atau menjual hak kontrak dengan pemain sukan, dan prinsip dalam urus niaga adalah dibenarkan melainkan terdapat dalil yang mengharamkannya, dan menjadi kebiasaan sekarang bahawa profesionalisme sukan merupakan salah satu pekerjaan yang mana pekerja layak mendapat upah seperti pekerjaan yang lain.”[2]

Dr. Sheikh Abdul Azim Al-Muta’ni, seorang profesor di Universiti Al-Azhar, berkata:

“Bagi penggunaan perkataan “jual” atau perkataan “beli,” maka dikatakan bahawa dia menjual dirinya kepada kelab itu, atau kelab itu membeli dia, ini tidak sesuai dalam hak manusia, dan ini adalah adat dalam dunia bola sepak. Adalah Lebih baik untuk ditukar istilah kepada sesuatu yang tidak menjatuhkan maruah manusia. Dan perubahan mesti bermula oleh pemain sendiri dan mereka harus menolak untuk menggunakan frasa yang menjatuhkan maruah manusia ini. Hal ini kerana mereka yang bertanggungajawab menggunakan perkataan dalam bidang ini pertama dan akhirnya.[3]

Tawaran jualan kepada pemain yang melampau

Persaingan untuk beberapa pasukan yang besar telah mencapai tahap sehingga mereka sanggup membayar berjuta-juta dolar untuk membuat kontrak dengan pemain tertentu, dan keterlaluan yang melampau dalam perjanjian ini menjadikan Para ulama’ bersepakat menfatwakan bahawa tidak boleh melakukan pembaziran yang berlebihan dan membelanjakan wang bukan dengan tujuan syara’. Hal ini kerana harta-harta tersebut sepatutnya digunakan untuk tujuan-tujuan yang lebih penting untuk maslahah ummah.

Sheikh Abdul Aziz Alu Sheikh, Mufti Besar Arab Saudi, berkata tentang perbelanjaan yang melampau ini:

“Sesungguhnya ia adalah perbelanjaan bukan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, dan perbelanjaan ini merupakan kebatilan dan pemborosan. Perbelanjaan dengan cara ini akan menjadi bencana dan juga penyesalan bagi pemiliknya pada hari kiamat.  Hal ini kerana dia tidak membelanjakannya dengan tujuan yang syar’ie yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, dan dia membayar jumlah 20 juta dan kemudian menaikkannya kepada 42 juta riyal Sebagai pertukaran untuk penyertaan pemain dalam kelab, ia dianggap sebagai “perbelanjaan yang tidak wajar tanpa alasan yang sah.”[4]

Dr. Ahmad Omar Hashim, bekas presiden Universiti Al-Azhar, berkata:

“Terdapat keutamaan dan keperluan dalam masyarakat Islam untuk dibelanjakan kepada mereka berbanding membelanjakan berjuta-juta pound untuk membeli dan menjual pemain bola sepak. Terdapat beribu-ribu orang Islam yang tidak mendapat tempat berteduh, tidur di atas tanah dan tidur di kaki lima, dan sudah tentu mereka lebih berhak untuk menerima wang tersebut daripada berjuta-juta ini yang dibelanjakan untuk membeli pemain.”[5]

Dr. Omar Mukhtar Al-Qadi, seorang profesor di Universiti Al-Azhar, berkata:

“Membelanjakan berjuta-juta pound untuk membeli pemain pada masa dua pertiga daripada penduduk dunia berada di bawah paras kemiskinan membawa kepada kemunculan ketidak seimbangan yang melampau yang menyebabkan ketidakadilan itu berlaku . Beribu-ribu orang yang bekerja keras dan tidak mendapat apa yang setara dengan kepenatan mereka, dalam masa yang sama mereka diprovokasi dengan perbelanjaan berjuta-juta pound yang digunakan untuk membeli pemain bola sepak.”[6]

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan hujah-hujah yang kami kemukakan. kami menyimpulkan beberapa perkara:

  • Pemain bola sepak berhak untuk mendapat gaji atau upah hasil perkhidmatannya
  • Jual beli pemain sepak adalah diharuskan namun Istilah jual beli tersebut seharusnya ditukarkan kepada tawaran, pertukaran, dan penamatan kontrak bagi pemain bola sepak
  • Pembaziran dan pemborosan yang melampau di dalam mengejar dan menawarkan kontrak kepada pemain bola sepak harus dikaji balik. Hal ini kerana perbelanjaan yang sepatutnya dituju kepada perkara yang lebih utama mestilah didahulukan, seperti keperluan rakyat, mengurangkan jurang kemiskinan dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://midad.com/article/216351/صفقاتشراءوبيعلاعبيالكرة

[2] Ibid

[3] Ibid

[4] Lihat https://www.alwatanvoice.com/arabic/news/2005/07/09/24922.html

[5] Lihat https://midad.com/article/216351/صفقاتشراءوبيعلاعبيالكرة

[6] Ibid

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply