#358 Perempuan yang Didatangi Haid Melakukan Tawaf

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum perempuan yang didatangi haid melakukan tawaf dan adakah dia dikenakan dam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia.[2]

Syarat Sah Tawaf

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.[3] Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”[4]

Tawaf Perempuan yang Didatangi Haid

Majoriti ulama sama ada ulama terdahulu mahupun terkemudian meletakkan syarat bagi perempuan yang sedang haid dan nifas untuk suci terlebih dahulu sebelum mengerjakan ibadah tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat al-Qasim bin Muhammad yang mengatakan bahawa beliau mendengar Aisyah R.Anha berkata:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.” [5]

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith di atas menunjukkan larangan perempuan haid melakukan tawaf sehingga darahnya terhenti dan melakukan mandi wajib. Hal ini kerana suatu larangan dalam melakukan perkara ibadat menunjukkan rosaknya ibadat yang dilakukan itu. Dalam erti kata lain, tawaf dilakukan oleh perempuan haid terbatal.[6]

Al-Mahalli menyebutkan bahawa jika seseorang itu tawaf dalam keadaan telanjang atau berhadas atau terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badannya, maka tawaf yang dilakukannya adalah tidak sah. Kemudian, Qalyubi dan ‘Amirah ada menukilkan bahawa di sisi Abu Hanifah, orang yang mengerjakan tawaf dalam keadaan berhadas, tawafnya itu dikira sah tetapi bagi orang yang dalam keadaan junub dan haid dikenaan dam seekor unta, manakala bagi orang yang berhadas (kecil) pula dikenaan dam seekor kambing.[7]

Al-Kasani menyebutkan bahawa bersuci daripada hadas, junub, haid, dan nifas bukanlah syarat untuk membolehkan tawaf dan bukan juga fardhu di sisi kami (ulama dalam kalangan mazhab Hanifah) tetapi ia adalah wajib sehinggakan seseorang itu dibolehkan untuk melakukan tawaf tanpa perkara tersebut. Namun, menurut al-Syafi‘i ia adalah fardhu. Oleh itu, tidak boleh seseorang itu melakukan tawaf tanpanya (yakni suci daripada hadas, haid dan seumpamanya). Kemudian, al-Kasani menambah lagi bahawa jika suci daripada hadas itu termasuk dalam perkara wajib tawaf, maka seseorang yang melakukan tawaf tanpanya, hendaklah mengulangi semula tawafnya selagi mana dia masih berada di Makkah kerana mengulangi sesuatu daripada jenisnya sendiri (yakni tawaf) untuk menampung kekurangan yang dilakukan dalam tawaf adalah lebih utama. Justeru, jika dia mengulangi semula tawafnya pada hari al-Nahr, maka tidak dikenakan apa-apa dam ke atasnya. Akan tetapi jika dia melewatkan untuk mengulangi semula tawaf itu, maka dikenakan dam ke atasnya menurut satu pendapat Abu Hanifah. Sekiranya dia tidak mengulanginya dan terus pulang ke keluarganya (tempat asal), maka dikenakan dam ke atasnya, di mana bagi orang yang berhadas dikenakan seekor kambing, manakala bagi orang yang berjunub pula seekor unta.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat jumhur ulama yang berpandangan bahawa tawaf yang dilakukan oleh orang yang didatangi haid adalah tidak sah kerana ia adalah lebih ahwat dan selamat.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya waktu sucinya itu datang lewat, dan dalam masa yang sama, jika dia menunggu sehingga suci akan menyebabkan dia terlepas rombongan pulang atau tiket penerbangannya hangus, maka dibolehkan baginya untuk melakukan ibadah tawaf dengan bertaqlid kepada pendapat ulama mazhab Hanafi dan dia dikenakan dam seekor unta.

Ataupun dia boleh menggunakan pendapat al-Laqt dalam mazhab Syafi‘i iaitu fatrah al-Naqa’ (yakni tempoh faraj bersih daripada darah) dianggap sebagai waktu suci. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam Ahkam Syar‘iyyah Siri ke-171.[9]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Hajj: 29

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141.

[4] Riwayat al-Tirmizi (960)

[5] Riwayat al-Bukhari (294)

[6] Lihat Fath al-Bari, 3/505.

[7] Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Amirah ‘ala Kanz al-Raghibin, 2/131.

[8] Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/129.

[9] Lihat https://maktabahalbakri.com/171-kesan-darah-selepas-umrah/.

One thought on “#358 Perempuan yang Didatangi Haid Melakukan Tawaf

  1. Nana says:

    Assalamualaikum…bolehkan wanita yg sedang haid…tawaf sunat…dikawasan bukan masjid…cthnya di tingkat 2 masjidil haram…(kawasan scooters)
    mohon percerahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *