#36: Huraian Maksud Zuhud

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan maksud zuhud sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Daripada Abu Abbas Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi RA, dia berkata : Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW, lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda SAW pun bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّك اللهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّك النَّاسُ

Maksudnya“Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.” [1]

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Antaranya:

Pertama: Hadis ini di mana datangnya seorang lelaki tanpa dinyatakan nama dan nasabnya kerana yang lebih penting adalah persoalan yang diajukan kepada Baginda SAW iaitu untuk mendapatkan dua perkara; cinta Allah dan kasih sayang manusia.

Kedua: Pengertian Zuhud. Menurut bahasa, zuhud ialah berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada sesuatu kerana tiada mutu atau nilainya. Manakala menurut syarak, zuhud ialah mengambil sekadar yang perlu daripada sesuatu yang diyakini halalnya.

Disebut dalam al-Mu’jam al-Wasit, ‘زَهِدَ فِيْهِ وَ عَنْهُ – يَزْهَدُ – زُهْدًا, وَ زَهَادَةً’, iaitu seseorang melakukan zuhud atau zahadah. Ertinya, dia berpaling daripadanya dan meninggalkannya kerana dia meremehkannya, atau menghindari kesusahan daripadanya, atau kerana sedikitnya.

Huraian makna zuhud menurut istilah dapat digambarkan sebagaimana berikut:

  • Benci kepada dunia dan berpaling daripadanya.
  • Meninggalkan kesenangan dunia kerana memilih kesenangan akhirat.
  • Hati tidak terpikat daripada sesuatu yang dikosongkan oleh tangan (yang tiada di tangan atau yang tidak dipunyai).
  • Menghindarkan duka atas yang tiada dan menghilangkan gembira dengan yang ada.

Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata: “Zuhud adalah istilah berpalingnya keinginan daripada sesuatu menuju yang lain, yang lebih baik daripadanya. Dan syarat hal yang ditinggalkan keinginannya itu, juga disukai pada sebahagian sisinya. Maka sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang zatnya tidak disukai dan tidak dicari, dia tidaklah dinamakan zahid (orang yang zuhud). [2]

Abu Sulaiman berkata: “Orang yang zuhud bukanlah orang yang meninggalkan kelelahan dunia dan beristirahat daripadanya. Akan tetapi, orang yang zuhud ialah orang yang meninggalkan dunia, dan bersusah-susah di dunia untuk akhirat. [3]

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Maksud zuhud di dunia adalah mengosongkan hati daripada menyibukkan diri dengan dunia, sehingga orang itu dapat menumpukan perhatian untuk mencari (redha) Allah, mengenal-Nya, dekat kepada-Nya, merasa tenang dengan-Nya dan rindu menghadap-Nya. [4]

Menurut Imam Ahmad, zuhud itu ada tiga bentuk. Pertama, meninggalkan yang haram. Inilah zuhud orang-orang awam. Kedua, meninggalkan yang berlebih-lebihan daripada yang halal. Inilah zuhud orang-orang khusus. Ketiga, meninggalkan semua perkara yang menyibukkan diri daripada Allah. Inilah zuhud orang-orang ‘arif (orang-orang yang faham terhadap Allah). [5]

Ibn al-Qayyim menukilkan daripada gurunya yang berkata: “Zuhud adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk akhirat. Manakala wara’ adalah meninggalkan sesuatu yang membawa mudarat di akhirat.” Kemudian Ibn al-Qayyim berkata: “Itulah pengertian zuhud dan wara’ yang paling bagus dan paling menyeluruh.” [6]

Abu Muslim al-Khaulani berkata: “Zuhud terhadap dunia tidak dengan mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta. Namun zuhud terhadap dunia ialah engkau lebih yakin kepada yang ada di tangan Allah Azza wa Jalla daripada apa yang ada di tanganmu, dan jika engkau diuji dengan musibah, maka engkau lebih senang dengan pahalanya hingga engkau berharap seandainya musibah tersebut tetap terjadi padamu. [7]

Abu Sulaiman berkata: “Janganlah kamu bersaksi untuk seseorang bahawa dia orang zuhud, kerana zuhud itu letaknya di hati.” [8]

Al-Hasan al-Basri berkata: “Seseorang disebut zuhud jika dia melihat yang orang lain, selalu dia katakan, “Dia lebih baik dariku.” Ibn Rajab berkata, yang dimaksudkan dengan perkataan al-Hasan adalah pengungkapan zuhud yang tidak mahu dirinya sendiri dipuji.

Wahib bin al-Warad pula berkata: “Zuhud adalah tidak berputus asa dengan sesuatu yang hilang dan tidak merasa bangga dengan sesuatu yang diperoleh.” [9]

Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Prinsip zuhud ialah redha kepada Allah SWT.” Beliau turut berkata: “Qana’ah adalah zuhud dan itulah kekayaan (merasa cukup).” [10]

Al-Hasan al-Basri berkata: “Engkau sentiasa menjadi mulia di mata manusia atau manusia sentiasa memuliakanmu jika engkau tidak mengambil apa yang ada di tangan manusia. Jika engkau mengambil apa yang ada di tangan manusia, mereka akan meremehkanmu, membenci perkataanmu dan benci kepadamu.” [11]

Syeikh Mustafa al-Bugha dalam kitabnya al-Wafi (hlm. 231) menyatakan bahawa pada dasarnya zuhud dapat disimpulkan dalam tiga perkara:

  • Lebih meyakini apa yang ada di sisi Allah daripada yang ada pada dirinya. Sikap ini lahir dari keyakinan yang benar dan penuh kemantapan bahawa Allah akan sentiasa menjamin rezeki hamba-Nya.
  • Apabila mendapat musibah dalam urusan dunia, seperti kehilangan harta, maka dia lebih berharap akan mendapat pahala atas musibah tersebut. Sikap ini lahir dari keimanan yang sempurna dan menunjukkan zuhudnya terhadap dunia. Ibn Umar RA berkata, Rasulullah SAW dalam doanya menyebut:

اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا تَحُولُ بِهِ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ ، وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ ، وَمِنَ الْيَقِينِ مَا تُهَوِّنُ عَلَيْنَا مَصَائِبَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kepada kami rasa takut kepada-Mu sebagai penghalang berbuat maksiat kepada-Mu, ketaatan kami kepada-Mu sebagai jalan yang menyampaikan kami ke syurga-Mu, dan keyakinan kami kepada-Mu sebagai penenang bagi kami atas musibah dunia yang menimpa.”

  • Pujian dan celaan tidak mempengaruhi dirinya dalam berpegang teguh pada kebenaran. [12]

Dalam erti kata lain, pujian dan celaan daripada orang tidak memberi pengaruh dan kesan terhadap hamba yang zuhud selama mana dia dalam kebenaran. Ini juga petanda zuhudnya terhadap dunia, menganggapnya rendah dan tidak bercita-cita kepadanya. Ini kerana, orang yang mengagungkan dunia, maka dia akan mencintai pujian dan membenci celaan. Ada kemungkinan, sikap mencintai pujian dan membenci celaan ini mendorongnya meninggalkan banyak kebenaran kerana khuatir dicela, serta melakukan pelbagai perbuatan batil kerana mengharapkan pujian. Jadi, orang yang menilai pujian dan celaan manusia baginya itu sama selama dia dalam kebenaran, menunjukkan kedudukan seluruh makhluk telah runtuh daripada hatinya. Hatinya penuh dengan kecintaan kepada kebenaran, dan redha kepada Rabb-nya. Allah SWT memuji orang yang berjihad di jalan Allah SWT dan tidak takut celaan.

يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ

Maksudnya: “Mereka berjihad di jalan Allah dan tidak takut celaan orang yang mencela.”

Bertitik tolak daripada definisi bahawa orang yang zuhud sejati ialah orang yang tidak memuji dirinya dan tidak pula mengagungkannya. Yusuf bin al-Asbat berkata: “Zuhud terhadap kekuasaan itu lebih berat daripada zuhud terhadap dunia.” [13]

Ketiga: Zuhud terhadap perkara keduniaan. Zuhud pada dunia dibahagikan kepada tiga perkara:

  • Percaya kepada sesuatu yang ada pada Allah lebih daripada percaya kepada sesuatu yang ada pada diri sendiri.
  • Gemar mendapat ganjaran daripada kesusahan dunia kerana kehilangan harta benda, ahli keluarga atau lain-lain lebih daripada kegemaran mendapat kesukaan pada ketika tiada kesusahan tersebut. Sesiapa yang zuhud pada dunia, mudahlah baginya segala kesusahan yang menimpa ke atasnya.
  • Perasaan dan sikap seseorang itu sama sahaja ketika dia dipuji dan ketika dia dikeji atau dicela kerana kebenaran yang dilakukannya. Orang yang membesarkan kemegahan dunia akan memilih pujian daripada celaan. Orang ini selalu meninggalkan kebenaran yang tidak disukai orang kerana mengharapkan orang tidak mencelanya.

 

Keempat: Kalam ulama berkaitan zuhud, antaranya:

  • Ali bin Abi Talib RA berkata: “Zuhud itu adalah jangan terlalu gembira apabila memperoleh keuntungan, dan jangan terlalu bersedih apabila memperoleh kerugian.”
  • Abu Idris al-Khaulani RA berkata, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Zuhud terhadap dunia bukanlah bermakna mengharamkan yang halal dan membuang harta benda, tetapi zuhud terhadap dunia ialah kamu yakin terhadap apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada apa yang ada di sisi kamu. Apabila kamu ditimpa musibah, kamu amat mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya dan juga apa yang disediakan kepadamu (di akhirat nanti), sekalipun musibah itu kekal bersama kamu.”
  • Hasan al-Basri berkata: “Seorang yang zuhud adalah jika ia melihat orang lain ia berkata: ‘Ia lebih baik dariku.’”
  • Wahb bin al-Ward berkata: “Zuhud terhadap dunia ialah kamu tidak berputus asa terhadap yang hilang daripadamu (kenikmatan dunia) dan tidak pula bergembira dengan apa yang kamu perolehi (kenikmatan dunia).”
  • Al-Zuhri berkata: Ketika ditanya tentang zuhud, beliau menjawab: “Zuhud ialah mereka yang tidak hilang kesabarannya ketika berhadapan dengan perkara-perkara haram dan perkara-perkara halal tidak menghalangnya dari bersyukur.”
  • Sufyan bin Uyainah berkata: “Seseorang yang zuhud adalah jika mendapat nikmat ia bersyukur, dan jika ditimpa musibah ia sabar.”
  • Rabi’ah berkata: “Kemuncak zuhud yang paling utama adalah mengumpulkan sesuatu dengan cara yang sebenar dan meletakkannya pada tempat yang sepatutnya.”
  • Sufyan al-Tsauri berkata: “Zuhud terhadap dunia adalah pendek angan-angan. Bukan dengan memakan makanan yang tidak enak dan memakai pakaian yang buruk.”
  • Imam Ahmad berkata: “Zuhud adalah pendek angan-angan dan tidak mengharapkan harta yang dimiliki orang lain.”
  • Imam Nawawi menyebut: “Zuhud adalah meninggalkan urusan dunia yang tidak diperlukan, sekalipun perkara itu halal serta mencukupkan diri dengan perkara yang perlu sahaja.”
  • Pujangga berkata: “Dunia ini hanyalah bekalan yang dapat digunakan oleh orang baik dan juga orang jahat. Dunia ini dibenci oleh orang yang mencintai Allah, dunia hanya diambil sekadar keperluannya tanpa merosakkan agamanya.”

 

Kelima: Pembahagian salaf tentang zuhud:

Sebahagian para salaf membahagikan zuhud kepada tiga jenis:

  • Zuhud terhadap kemusyrikan dan peribadatan selain dari Allah SWT.
  • Zuhud terhadap perkara-perkara haram dan maksiat.
  • Zuhud terhadap perkara-perkara yang halal.

Zuhud pada bahagian pertama dan kedua adalah wajib, manakala pada bahagian ketiga tidaklah wajib.

Ibn al-Mubarak berkata: Bahawa Ma’la bin Abi Muthi’ berkata: “Zuhud ada tiga jenis:

  • Mengikhlaskan perbuatan dan perkataan hanya kerana Allah SWT dan tidak mengharapkan daripada kedua-duanya habuan dunia.
  • Meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan kebaikan dan melaksanakan dengan perkara yang mendatangkan kebaikan.
  • Zuhud terhadap perkara yang halal. Hukumnya sunat dan ia adalah peringkat yang paling rendah.

Ibrahim bin Adham berkata: “Zuhud ada tiga jenis: zuhud wajib, zuhud keutamaan, dan zuhud keselamatan. Zuhud wajib adalah zuhud terhadap hal-hal yang dilarang. Zuhud keutamaan adalah zuhud terhadap halhal yang dibolehkan. Sedangkan zuhud keselamatan adalah zuhud terhadap hal-hal yang syubhat.”

Imam Ahmad berkata: “Zuhud ada tiga jenis:

  • Meninggalkan yang haram. Ini adalah zuhudnya orang-orang awam.
  • Meninggalkan berlebihan daripada perkara-perkara yang halal, ini sebegini adalah zuhud orang-orang yang khowas (alim).
  • Meninggalkan sesuatu yang menyibukkan diri dari mengingat Allah. Ini adalah zuhudnya ‘arifin (orang-orang yang memahami ajaran Islam dengan sempurna).” [14]

Keenam: Kezuhudan Nabi SAW

Rasulullah SAW merupakan insan atau makhluk Allah yang paling mulia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain. Selain itu, Rasulullah SAW hidupnya adalah sederhana walaupun Baginda SAW seorang rasul dan juga pemimpin pada waktu itu. Misalnya, hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadith daripada Aisyah R.anha, katanya:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ طَعَامِ الْبُرِّ ثَلَاثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ

Maksudnya: “Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda SAW wafat, keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.” [15]

Hadith ini menunjukkan kepada kita akan kezuhudan Nabi SAW dalam menolak kebaikan dunia bagi mendapatkan kebaikan kehidupan yang kekal abadi (Akhirat). Imam Ibn Battal ada menyatakan bahawa kezuhudan Nabi SAW ini bukanlah dalil bagi menyatakan bahawa kelebihan orang yang miskin berbanding orang yang kaya. Akan tetapi, ini menunjukkan akan kelebihan sikap keyakinan (pada rezeki), berpada dan tidak berlebih dalam perkara yang berkaitan dengan kelazatan dunia. [16]

Penutup

Semoga Allah menjadikan kita termasuk golongan yang zuhud mengikut apa yang disabdakan oleh Rasul SAW dan penjelasan oleh salafus soleh. Kami tutup dengan doa:

اللهم اجْعَلِ الدُنْيَا فِى اَيْدِيْنَا وَلَا تَجْعَلْهَا فِى قُلُوْبِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah dunia pada tangan-tangan kami (milik kami) tetapi jangan jadikan dunia pada hati-hati kami yang membawa kepada cinta dunia.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan. Hadis hasan

[2] Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 410-411

[3] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/198

[4] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/198

[5] Lihat Madarij al-Salikin, 2/9

[6] Lihat Madarij al-Salikin, 2/10

[7] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/179

[8] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/180

[9] Lihat Jami’ al-‘Ulum, 2/183

[10] Lihat Jami’ al-‘Ulum, 2/180-181

[11] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/205

[12] Lihat al-Wafi, hlm. 231

[13] Lihat Hilyah al-Auliya’, 8/261

[14] Sila rujuk buku kami al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 289-295

[15] Riwayat al-Bukhari (5416) dan Muslim (2970)

[16] Lihat Fath al-Mu’in, 8/239

One thought on “#36: Huraian Maksud Zuhud

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *