#360 Status Hutang Dengan Arwah Ayah

Last Updated: January 26, 2022By

Soalan

Saya pernah berhutang dengan ayah saya, tetapi belum sempat saya membayar hutang tersebut, ayah saya meninggal dunia. Adakah saya perlu melangsaikan hutang tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 2/117; al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir (2/497): ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar.(Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/118)

Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/551)

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijma’ ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan ini cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Dalam isu ini, kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya“Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadith ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)

Berdasarkan persoalan di atas, hutang orang lain terhadap orang yang meninggal dunia adalah termasuk dalam definisi harta pusaka. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib diberikan kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikian si mati sudah beralih kepada para waris. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/344-347)

Apabila peminjam itu sendiri adalah ahli waris maka keadaannya terbahagi kepada tiga:

  • Hutang tersebut dianggap selesai jika ahli waris yang berhutang itu tersebut mewarisi sepenuhnya hutang tersebut.
  • Hutang tersebut dianggap selesai pada bahagian yang diterima oleh ahli waris yang berhutang itu.
  • Hutang itu dihalalkan oleh para waris lain.

Berdasarkan isu ini, kami bahagikan kepada beberapa keadaan:

Keadaan Pertama: Hutang tersebut dianggap selesai jika ahli waris yang berhutang itu tersebut mewarisi sepenuhnya hutang tersebut.

Sekiranya hutang waris lelaki itu dengan bapanya dalam nilai yang sama dengan jumlah harta pusaka yang diwarisinya, maka dia tidak perlu membayar apa-apa kepada waris-waris yang lain kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris selepas kematian dan penghutang tersebut adalah salah seorang daripada warisnya. Justeru, bahagian si penghutang itu boleh digunakan untuk melangsaikan hutang anak lelaki itu kepada ayahnya.

Keadaan Kedua: Hutang tersebut hanya dianggap selesai pada bahagian yang diterima oleh ahli waris yang berhutang itu.

Sekiranya hutang waris lelaki yang bertanya itu kepada bapanya ialah melebihi nilai harta yang diwarisinya, , maka lebihan nilai daripada hutang itu hendaklah dibayar untuk dibahagikan kepada para waris yang lain mengikut kiraan faraid.

Keadaan Ketiga: Hutang itu dihalalkan oleh para waris yang lain.

Harus di dalam Hukum Syarak untuk para waris melakukan takharuj dalam pembahagian harta pusaka. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I, 5/513)

Dalam konteks kes di atas, harus bagi para waris untuk melakukan sulh dengan melepaskan tuntutan pada hutang waris lelaki terbabit dengan bapanya. Dalam bahasa mudahnya, waris-waris yang lain menghalalkan sahaja hutang itu. Ini dibenarkan kerana bahagian faraid itu adalah hak para waris yang boleh diambil atau dilepaskan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa hutang dengan arwah ayah wajib dilangsaikan berdasarkan keadaan yang kami kemukakan di atas kerana ia merupakan harta pusaka yang dimiliki oleh ayahnya yang perlu untuk dibahagikan kepada ahli waris yang berhak, kecuali jika ahli waris lain menghalalkan bahagian mereka, maka terlepaslah dia daripada hutang tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

Leave A Comment