#361 Suami Isteri Bercumbuan di Media Sosial

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya, suami dan isteri bermesraan secara berlebihan seperti bercumbuan di khalayak ramai atau menayangkan gambar di media sosial perbuatan berciuman atau bercumbuan bagi menzahirkan kemesraan mereka? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”[1]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. Sesungguhnya apa yang telah disebutkan itu, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah SWT bagi mereka yang mahu berfikir mengenai ciptaan-Nya, pengaturan-Nya, kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya.[2]

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bermesraan ialah bergaul atau bersahabat dengan ramah mesra antara satu sama lain.[3] Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia merupakan anugerah Allah SWT kepada para hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah suatu perkara biasa.

Namun, Islam amat menitik beratkan soal kehormatan dan maruah suami isteri. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya:Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang dan malu itu merupakan salah satu cabang daripada iman.”[4]

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika mengulas hadith ini, menyebutkan bahawa malu itu ialah satu sifat yang ada dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.[5]

Selain itu, malu ini terbahagi kepada dua:

  • Berkaitan dengan hak Allah, seperti, kita merasa malu Allah melihat kita melanggar perintah-Nya atau melakukan larangan-Nya.
  • Malu dengan hak makhluk, seperti, seseorang itu memelihara diri dari melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah dan akhlak.[6]

Hebatnya sifat malu ini, sehinggakan dalam sebuah hadith disebutkan bahawa jika Allah SWT benci pada seseorang, akan dicabut daripadanya sifat malu. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا أَبْغَضَ اللهُ عَبْدًا نزَعَ مِنْهُ الحَيَاءَ

Maksudnya:Jika Allah membenci seorang hamba nescaya dicabut padanya perasaan malu.[7]

Lebih-lebih lagi, malu ialah landasan akhlak mulia yang bermuara kepada kebaikan. Siapa yang banyak malunya lebih banyak kebaikannya, siapa yang sedikit rasa malu sedikit kebaikannya. Rasa malu adalah perilaku yang dapat dibentuk. Setiap orang yang memiliki tanggungjawab perlulah membentuk rasa malu ke atas mereka yang menjadi tanggungjawabnya.

Seseorang yang mempunyai sifat malu, mampu menjaga diri dan maruah dirinya daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan norma-norma kehidupan dan bercanggah dengan syariat Allah SWT. Justeru, apabila seseorang telah hilang sifat malu dalam dirinya, maka segala keburukan dan kejahatan akan berhimpun dalam dirinya.

Rosaknya budaya barat dan pincangnya nilai dan adab mereka tatkala malu telah dipecat dalam kehidupan mereka. Menghidupkan semula sifat malu mengikut acuan syariah adalah amat penting dalam kehidupan kita.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, budaya bermesraan secara berlebihan seperti bercumbuan dan seumpamanya di hadapan khalayak ramai atau menayangkan perbuatan tersebut di media sosial bukanlah sesuatu yang elok. Bahkah ia jauh sama sekali daripada akhlak seorang Muslim yang diperintahkan untuk bersikap malu dan boleh menjatuhkan maruah mereka. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi ada menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai.[8]

Kerisauan ia akan menjadi budaya dalam masyarakat

Selain itu, turut menjadi kebimbangan sekiranya budaya menayangkan aksi-aksi mesra yang berlebihan di media sosial akan menjadi ikutan anak-anak muda sehingga akhirnya ia dianggap sebagai perkara biasa. Malah, apa yang lebih membimbangkan lagi ia akan mencetuskan kepada perkara yang lebih parah seperti mendedahkan aurat, menaikkan nafsu syahwat dan lain-lain, yang mana sepatutnya semua itu menjadi rahsia di antara suami isteri dan bukannya perlu dipertontonkan kepada orang lain.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كانَ عليه وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَن عَمِلَ بهَا مِن بَعْدِهِ بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء‏

Maksudnya:Sesiapa yang memulakan suatu perlakuan jahat dalam Islam sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia mendapat dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan itu selepasnya, tanpa dikurangkan daripada dosa mereka sedikit pun.”[9]

Al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran, maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat. Dalam erti kata lain, balasan dosa itu akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya.[10] Ibn Hajar al-‘Asqalani menambah mengenai perkara ini dengan menyatakan bahawa orang tersebut menanggung dosa yang diajarinya atau ditunjukkan olehnya itu selagi mana dia belum bertaubat di atas dosanya itu.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan suami isteri bermesraan secara berlebih-lebihan seperti bercumbuan dan seumpamanya di khalayak umum mahupun di media sosial hendaklah dielakkan dan dijauhkan sama sekali kerana ia tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.

Namun, jika kemesraan antara suami isteri yang ditunjukkan itu tidak melampaui batas, seperti sekadar berjalan berpimpin tangan, maka ia tidak mengapa. Kami akhiri dengan sebuah hadith Nabi SAW, Baginda bersabda:

الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya:Rasa malu tidak mendatangkan apa-apa melainkan hanyalah kebaikan.”[12]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Rum: 21

[2] Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bermesraan.

[4] Riwayat al-Bukhari (9); Muslim (35) tetapi dengan lafaz, “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang…”

[5] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/11.

[6] Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40 oleh Dr. Zulkifli al-Bakri, hlm. 191-192.

[7] Riwayat al-Baihaqi (7724) dalam Syu‘ab al-Iman.

[8] Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 345.

[9] Riwayat Muslim (1017)

[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/226-227.

[11] Lihat Fath al-Bari, 12/193.

[12] Riwayat al-Bukhari (6117)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *