Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah perintah Rasulullah SAW kepada Hindun untuk mengambil wang suaminya itu satu fatwa yang terpakai kepada sesiapa sahaja yang sama keadaan dengan Hindun R.A, atau keputusan Rasulullah SAW sebagai hakim yang mengadili masalah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu hadith tersebut, yang diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ، فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا؟ قَالَ: خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hindun Ummu Mu‘awiyah mengadu kepada Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya Abu Sufyan merupakan seorang lelaki yang sangat kedekut, maka adakah aku berdosa jika aku mengambil hartanya secara senyap-senyap?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Ambillah untuk kamu dan anakmu secukupnya dengan cara yang sewajarnya’.”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (1714)

Perintah Rasulullah SAW ke atas Hindun Ummu Mu‘awiyah R.A untuk mengambil harta suaminya tanpa keizinan telah menjadi perbincangan di kalangan fuqaha’, sama ada ia merupakan satu fatwa yang terpakai kepada sesiapa sahaja yang sama keadaan dengan Hindun, atau keputusan Rasulullah SAW sebagai hakim yang mengadili masalah.

Mengapa permasalahan ini penting untuk dibincangkan? Kerana kedua-duanya akan menatijahkan 2 kesimpulan yang berbeza dari sudut hukum.

Pertama:

Sekiranya kisah Hindun R.A ini merupakan satu hukum yang diputuskan oleh Rasulullah SAW sebagai hakim yang mengadili masalah, maka sepatutnya Hindun perlu membawa saksi bagi mengesahkan dakwaannya itu.

Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya diberikan kepada manusia itu semata dengan mengikut dakwaan-dakwaan mereka, nescaya orang ramai akan mendakwa darah dan harta orang lain (sebagai milik mereka). Akan tetapi sumpah itu adalah ke atas mereka yang dituduh.”

Riwayat Muslim (1711)

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّنَةِ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syara‘. Ini menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan dakwaan itu perlu kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/4)

Kedua:

Sekiranya kisah Hindun R.A ini merupakan satu fatwa yang terpakai kepada sesiapa sahaja yang sama keadaan dengannya, maka tidak ada keperluan untuk orang yang menghadapi masalah yang sama untuk membawa saksi bagi mengesahkan dakwaannya itu.

Imam al-Nawawi menyebutkan 2 pandangan dalam Mazhab Syafi‘i:

  • Pandangan yang lebih tepat, perintah Rasulullah SAW itu merupakan fatwa dan ianya terpakai pada semua wanita yang sama keadaannya dengan Hindun R.A. Maka, mereka boleh untuk mengambil harta suami sekadar keperluan tanpa menunggu keizinan dari qadi hakim.
  • Pandangan kedua, perintah tersebut merupakan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah SAW. Maka, wanita yang sama keadaannya dengan Hindun R.A tidak boleh mengambil harta suami sekadar keperluan kecuali dengan keizinan atau kebenaran dari qadi hakim. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/9)

Ini juga pandangan yang disokong oleh Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam, ketika beliau menukilkan kalam ulama: “Kisah ini menimbulkan tanda tanya sama ada ianya fatwa atau hukum yang diputuskan oleh Rasulullah SAW. Dan ia lebih dekat kepada fatwa, kerana Rasulullah SAW tidak menuntut bukti daripada Hindun R.A, dan tidak pula menyuruhnya bersumpah, sedangkan Abu Sufyan berada di dalam negeri dan tidak jauh daripada Baginda SAW. Hukum juga tidak boleh diputuskan melainkan masalah ini diadili dengan kehadiran kedua-dua pihak yang bergaduh.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/36)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa perintah Rasulullah SAW kepada Hindun R.A tersebut atas dasar fatwa. Ini kerana Baginda SAW tidak menuntut Hindun R.A untuk mendatangkan saksi, atau bukti, dan tidak juga memintanya untuk bersumpah.

Oleh itu, jika seseorang wanita ditimpa dengan masalah yang sama, iaitu suaminya enggan memberikan nafkah yang secukupnya berdasarkan hukum syara‘, maka dibolehkan untuk mengambil harta suami sekadar memenuhi keperluannya dan anak sahaja, tanpa perlu kepada kebenaran qadi hakim terlebih dahulu.

Semoga perbincangan ringkas ini memberikan kita kefahaman yang baru kepada masyarakat Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply