Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah maksud “mautakum” (مَوْتَاكُمْ) dalam hadith untuk ditalqinkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan menyebutkan terlebih dahulu hadith atau riwayatnya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id dan Abu Hurairah R.Anhuma, kedua-duanya berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ: لاَ إِلهَ إِلاَّ الله

Maksudnya: “Talqinkan mereka yang sedang menghadapi kematian dalam kalangan kamu (dengan): ‘لاَ إِلهَ إِلاَّ الله’ (Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah).

Riwayat Muslim (916); Abu Daud (3117); al-Tirmizi (976)

Perkataan laqqinu “لَقِّنُوا” adalah kata perintah daripada perkataan talqin “التلقين” yang bermaksud tazkir “التذكير” iaitu peringatan. Namun, maknanya yang dikehendaki di sini ialah seseorang menyebutkan sesuatu lalu seseorang yang lain mengikuti apa yang disebutkan olehnya itu.

Manakala perkataan mautakum “مَوْتَاكُمْ” pula merujuk kepada seseorang yang menunjukkan tanda-tanda kematian. Itulah ketika mereka sedang nazak, dan mereka dipanggil sebagai mauta “موتى” berdasarkan apa yang akan berlaku. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/141).

Begitu juga al-Mulla Ali al-Qari menyatakan bahawa perkataan mautakum “مَوْتَاكُمْ” bermaksud:

 الْمُشْرِفِينَ عَلَى الْمَوْتِ

Maksudnya: “Mereka yang berada di ambang kematian — yakni sedang nazak.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1170)

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyatakan beberapa faedah yang dapat diambil daripada hadith ini. Di antaranya, disunatkan untuk mentalqinkan orang yang sedang nazak kalimah ikhlas iaitu “لاَ إِلهَ إِلاَّ الله”. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang akhir perkataannya, ‘لاَ إِلهَ إِلاَّ الله’ (Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah) nescaya dia akan memasuki syurga.

Riwayat Abu Dawud (3116)

Selain itu, menurut al-Munawi, hadith mengenai talqin adalah mutawatir dan talqin yang disebutkan (sebagaimana hadith di atas) adalah sunnah yang mathur berdasarkan kepada hadith ini, dan kaum Muslimin bersepakat mengenainya.

Selain daripada itu, para fuqaha’ juga menyatakan bahawa ditalqinkan atau diajarkan kepada orang yang sedang nazak hanya sekali dan jangan lebih daripada itu agar ia tidak mengganggunya — bagi mengikuti semula ucapan kalimat ikhlas itu. Namun, jika selepas talqin itu dia masih ada bercakap-cakap atau berkata sesuatu, maka hendaklah diulangi talqin kepadanya agar akhir perkataannya nanti ialah kalimah “لاَ إِلهَ إِلاَّ الله” (Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah).

Begitu juga hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan kepada keagungan kalimah ini iaitu kalimah “لاَ إِلهَ إِلاَّ الله” (Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah), di samping sangat besar manfaatnya. Ini kerana mengucapkannya dengan ikhlas dan beramal dengannya menjadi sebab selamatnya seseorang itu daripada neraka dan sebab masuknya ke dalam syurga. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/141).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, maksud “mautakum” untuk ditalqinkan adalah merujuk kepada orang-orang yang sedang tenat dan nazak ketika menghadapi kematian mereka.

Justeru, kita disunatkan untuk mentalqinkan kepada mereka yang sedang nazak ini dengan bacaan kalimah tauhid (ikhlas) iaitu “لاَ إِلهَ إِلاَّ الله” (Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah), supaya perkataan atau kalimah terakhir mereka sebelum meninggal dunia ialah kalimah tersebut. Seterusnya, mudah-mudahan ia menjadi asbab kepada keselamatan mereka daripada api neraka dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply