Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Wanita yang mati direjam kerana perbuatan zina, adakah perlu disolatkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asasnya, zina termasuk dalam salah satu jenayah yang telah ditentukan hukumannya oleh syarak. Ini kerana di sana terdapat hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak, yang dikenali atau dipanggil sebagai hudud. Hukuman ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ia melibatkan enam jenis jenayah iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman yang memabukkan, merompak (hirabah) dan murtad. (Lihat al-Tasyri‘ al-Jina’i al-Islami, 1/79).

Hukuman kepada penzina terbahagi kepada muhsan dan bukan muhsan. Muhsan bererti lelaki atau perempuan itu telah berkahwin atau pernah berkahwin dengan akad yang sah dan telah melakukan persetubuhan, manakala bukan muhsan pula ialah lelaki atau perempuan yang belum pernah berkahwin. (Lihat al-Tasyri‘ al-Jina’i al-Islami, 2/322).

Hukuman bagi penzina muhsan dan bukan muhsan adalah berbeza. Bagi penzina yang memenuhi ciri-ciri muhsan iaitu baligh, berakal, merdeka dan pernah bersetubuh dalam akad nikah yang sah, maka dia tertakluk kepada hukuman penzina muhsan iaitu direjam dengan batu hingga mati. (Lihat al-Tasyri‘ al-Jina’i al-Islami, 2/322-324).

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

فَقَدِمْنَا المَدِينَةَ فِي عُقْبِ ذِي الحَجَّةِ، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ الجُمُعَةِ عَجَّلْتُ الرَّوَاحَ حِينَ زَاغَتِ الشَّمْسُ، حَتَّى أَجِدَ سَعِيدَ بْنَ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ جَالِسًا إِلَى رُكْنِ المِنْبَرِ، فَجَلَسْتُ حَوْلَهُ تَمَسُّ رُكْبَتِي رُكْبَتَهُ، فَلَمْ أَنْشَبْ أَنْ خَرَجَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ، فَلَمَّا رَأَيْتُهُ مُقْبِلًا، قُلْتُ لِسَعِيدِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ: لَيَقُولَنَّ العَشِيَّةَ مَقَالَةً لَمْ يَقُلْهَا مُنْذُ اسْتُخْلِفَ، فَأَنْكَرَ عَلَيَّ وَقَالَ: مَا عَسَيْتُ أَنْ يَقُولَ مَا لَمْ يَقُلْ قَبْلَهُ، فَجَلَسَ عُمَرُ عَلَى المِنْبَرِ، فَلَمَّا سَكَتَ المُؤَذِّنُونَ قَامَ، فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي قَائِلٌ لَكُمْ مَقَالَةً قَدْ قُدِّرَ لِي أَنْ أَقُولَهَا، لاَ أَدْرِي لَعَلَّهَا بَيْنَ يَدَيْ أَجَلِي، فَمَنْ عَقَلَهَا وَوَعَاهَا فَلْيُحَدِّثْ بِهَا حَيْثُ انْتَهَتْ بِهِ رَاحِلَتُهُ، وَمَنْ خَشِيَ أَنْ لاَ يَعْقِلَهَا فَلاَ أُحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يَكْذِبَ عَلَيَّ: إِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الكِتَابَ، فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا، رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ: وَاللَّهِ مَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، وَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أُحْصِنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ البَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ الحَبَلُ أَوِ الِاعْتِرَافُ

Maksudnya: “Kami kemudian tiba di Madinah pada hujung bulan Zulhijjah. Pada hari Jumaat aku segera berangkat ketika matahari tergelincir, lalu aku mendapati Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail sedang duduk di salah satu sudut mimbar dan aku duduk berhampirannya sehingga lututku menyentuh lututnya. Tidak lama selepas itu Umar bin al-Khattab muncul. Ketika aku melihatnya datang, aku berkata kepada Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail: “Hari ini ini beliau pasti akan menyampaikan sesuatu ucapan yang tidak pernah diucapkannya semenjak menjadi khalifah.” Akan tetapi Sa‘id tidak mempercayaiku dan dia berkata: “Aku tidak jangka bahawa beliau akan mengucapkan sesuatu yang tidak pernah diucapkan.” Kemudian Umar duduk di atas mimbar. Setelah para muazzin selesai mengumandangkan azan, Umar berdiri lalu memanjatkan pujian kepada Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungan-Nya, kemudian beliau berkata: Amma ba’d. Sesungguhnya aku akan menyampaikan kepada kamu suatu ucapan yang telah ditakdirkan untukku mengucapkannya. Aku tidak tahu, barangkali ucapan ini adalah ucapan yang dibuat hampir dengan ajalku. Sesiapa yang memahaminya dan menghafalnya, maka hendaklah dia menyampaikannya sejauh mana tunggangannya boleh sampai. Sementara bagi yang risau tidak memahaminya, maka aku tidak membenarkan seorang pun untuk berdusta atas namaku; Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad SAW dengan kebenaran dan menurunkan al-Kitab kepada Baginda. Dan antara yang diturunkan oleh Allah adalah ayat rejam (terhadap lelaki dan wanita yang sudah berkahwin yang melakukan zina). Kami telah pun membacanya, memahaminya dan menghafalnya. Rasulullah SAW telah melakukan rejam dan kami juga turut melaksanakannya setelah Baginda. Maka aku khuatir apabila suatu tempoh masa berlalu, akan ada orang yang mengatakan: “Demi Allah, kami tidak menemukan ayat rejam dalam Kitab Allah,” sehingga mereka menjadi sesat kerana meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah. Hukuman rejam dalam Kitab Allah adalah benar. Ia dilaksanakan terhadap orang yang berzina selepas berkahwin baik lelaki mahupun perempuan, jika terdapat saksi atau kehamilan atau pengakuan.”

Riwayat al-Bukhari (6830) dan Muslim (1961)

Manakala sekiranya seseorang itu berzina dan dia bukan muhsan, dia akan dihukum dengan 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Hukuman 100 kali sebatan telah dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 2)

Hukuman buang negeri selama setahun pula adalah sabit berdasarkan hadith Rasulullah SAW. Di antaranya riwayat daripada Zaid bin Khalid R.A daripada Rasulullah SAW bahawa:

أَنَّهُ أَمَرَ فِيمَنْ زَنَى، وَلَمْ يُحْصَنْ بِجَلْدِ مِائَةٍ، وَتَغْرِيبِ عَامٍ.

Maksudnya: “Baginda SAW memerintahkan orang yang berzina dan belum berkahwin disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun.”

Riwayat al-Bukhari (2649)

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat hadith daripada riwayat Buraidah R.A mengenai kisah seorang wanita al-Ghamidi yang akan direjam dengan batu atas perintah Nabi SAW disebabkan oleh perbuatan zina, katanya:

 ثُمَّ أمَرَ بِهَا فَصُلِّيَ عَلَيْهَا وَدُفِنَتْ

Maksudnya: “Kemudian Baginda SAW memberi perintah mengenainya (dan setelah kematiannya) dia disolatkan jenazahnya dan kemudiannya dikebumikan.

Riwayat Muslim (1695)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menjelaskan lagi kisah al-Ghamidiyyah itu di mana dia telah datang menemui Nabi SAW dan membuat pengakuan ke atas dirinya bahawa dia mengandung anak zina. Selepas dia melahirkan anak tersebut dan menyusukannya (cukup dua tahun), maka dia pun direjam. Rejam di sini maksudnya adalah perbuatan membaling batu ke atas seseorang sehingga dia meninggal dunia.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah ke atas orang yang meninggal dunia kerana hukuman hudud. Ini kerana Nabi SAW memerintahkan para sahabatnya untuk mendirikan solat jenazah ke atas wanita al-Ghamidi itu dan mengebumikannya di tanah perkuburan bersama kaum Muslimin yang lain. Selain itu, terdapat riwayat lain menyebutkan bahawa Nabi SAW sendiri telah mendirikan solat jenazah ke atas wanita tersebut.

Begitu juga di antara faedah lain yang dapat diperoleh daripada hadith ini adalah solat jenazah merupakan fardhu kifayah secara ijma‘ ulama, dan kefardhuannya tergugur apabila adanya orang daripada kalangan mukallaf yang telah melakukannya, tidak kira lelaki atau wanita di sisi para imam yang empat. Riwayat solat jenazah bahawa ia termasuk dalam perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW juga adalah mutawatir dan telah disepakati oleh kaum Muslimin mengenainya. Malah, solah jenazah termasuk di antara ibadah yang agung dan sesiapa yang menunaikannya diberi ganjaran pahala yang banyak. Al-Fakihi menyebutkan, solat ke atas mayat (yakni solat jenazah) termasuk dalam perkara khusus (istimewa) yang diberikan kepada umat ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/183-184).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang yang meninggal dunia akibat hukum rejam atau hudud perlu disolatkan jenazah ke atasnya sebagaimana jenazah-jenazah yang lain. Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang sahih yang menyebutkan mengenainya sebagaimana perintah Nabi SAW agar jenazah wanita al-Ghamidi yang mati akibat direjam.

Ini kerana perbuatan dosanya kerana zina itu tidak ada kaitannya dengan kewajipan fardhu kifayah ke atas kita untuk mendirikan solat jenazah ke atas setiap orang Islam yang meninggal dunia. Dalam erti kata lain, dari segi menggugurkan haknya ke atas kita untuk mensolatkannya. Apatah lagi, perbuatan dosanya itu telah pun dihukum atau mendapat hukumannya di dunia dan terlangsai sebagaimana dikehendaki oleh syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply