Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah dalil pensyariatan solat jenazah ghaib? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrif berkenaan solat jenazah ghaib. Ringkasnya, solat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 385).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah ghaib ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, padanya mengandungi anjuran atau galakan (sunat) untuk memberitahu kepada ahli keluarga dan kaum kerabatnya serta mereka yang mempunyai hubungan dengannya berkenaan kematiannya itu, supaya mereka dapat datang untuk menziarahi jenazahnya, melakukan solat jenazah ke atasnya dan mengebumikannya. Ini semua adalah disunatkan.

Begitu juga hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah ghaib. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/188-189).

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah sebagaimana dimaklumi daripada kitab-kitab fiqh. Namun pendapat yang muktamad adalah diharuskan untuk solat jenazah ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. (Lihat al-Tanbih, hlm. 38; al-Umm, 1/244 dan Mughni al-Muhtaj, 1/346).

Selain itu, di sana terdapat beberapa syarat bagi membolehkan solat jenazah ghaib dilakukan. Syarat-syarat itu adalah:

  • Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  • Solat jenazah ghaib itu dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385; al-Fiqh al-Manhaji, 1/600).

Manakala dari segi pelaksanaannya pula adalah sama sahaja sebagaimana pelaksanaan solat jenazah yang biasa iaitu dengan takbir sebanyak empat kali. Secara ringkasnya adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah.

Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian membaca surah al-Fatihah.

Ketiga: Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua. Kemudian, bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.

Keempat: Bertakbir pula kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Sekurang-kurang bacaan doa adalah:

اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه

Maksudnya: “‘Ya Allah! Rahmatilah dia,’ atau ‘Ya Allah! Ampunilah dia.’” (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 1/602).

Kelima: Bertakbir buat kali keempat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.

Riwayat Abu Daud (3201)

Keenam: Memberi salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa solat jenazah ghaib adalah disyariatkan. Hal itu berdasarkan kepada hadith sahih seperti mana yang kami telah sebutkan di atas yang menceritakan berkenaan Rasulullah SAW melakukan solat jenazah ghaib ke atas Najasyi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *