Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah definisi solat secara mukhtasiran dan hikmah larangannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ مُخْتَصِرًا

Maksudnya: “Nabi SAW melarang seseorang mendirikan solat  dalam keadaan bercekak pinggang.”

Riwayat al-Bukhari (1220) dan Muslim (545)

Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama’ telah berbeza pendapat dalam maknanya. Pendapat yang sahih menurut para pentahqiq dan kebanyakan ahli bahasa, orang asing, dan ahli hadith serta ulama’ dalam mazhab kami sebagaimana dalam kitab-kitab mazhab bahawa “mukhtasir” adalah seseorang yang dalam solat, tangannya diletakkan pada pinggangnya. Imam al-Harawi mengatakan “mukhtasir” adalah apabila seseorang mengambil tongkat untuk bersandar padanya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa “mukhtasir” adalah apabila seseorang memendekkan surah dalam solat dan hanya membaca satu atau dua ayat daripada bahagian akhir surah tersebut. Ada juga yang mengatakan bahawa “mukhtasir” adalah apabila seseorang mengabaikan bahagian berdiri, rukuk, sujud, dan batasan-batasan solat tersebut, sehingga hanya melakukan sebahagian daripadanya atau bahkan mengabaikannya sepenuhnya. Namun, pendapat yang sahih adalah yang pertama iaitu pendapat yang menyatakan bahawa tindakan ini dilarang kerana ia merupakan amalan orang Yahudi. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah amalan syaitan, dan adakah adalah tindakan yang serupa dengan apa yang dilakukan oleh Iblis ketika ia turun dari syurga, dan ada yang mengatakan bahawa ini adalah tindakan orang yang sombong. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/36)

Diriwayatkan daripada Masruq, daripada Aisyah R.Anha:

كَانَتْ تَكْرَهُ أَنْ يَجْعَلَ يَدَهُ فِي خَاصِرَتِهِ وَتَقُولُ: إِنَّ اليَهُودَ تَفْعَلُهُ

Maksudnya: Bahawa beliau tidak menyukai untuk seorang lelaki itu meletakkan tangannya di pinggangnya (mencekak pinggang) , dan beliau berkata: “Sesungguhnya golongan Yahudi melakukan perbuatan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (3458)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “مختصرًا” adalah kata perbuatan yang berasal daripada kata kerja “الاختصار” yang bermaksud meletakkan tangan di pinggang atau pinggul, atau meletakkan kedua-dua tangan di pinggang. Pinggang manusia terletak di antara pinggul dan bawah tulang rusuk, dan terdiri daripada dua bahagian. Dalam hadith ini, terdapat beberapa faedah:

  • Dianjurkan untuk berdiri semasa solat tanpa meletakkan tangan di pinggang, yang terletak di antara pinggul dan bawah tulang rusuk.
  • Hikmah di sebalik larangan ini adalah untuk menjauhkan diri dari meniru amalan orang Yahudi, yang meletakkan tangan mereka di pinggang semasa solat.
  • Ada pendapat yang mengatakan bahawa hikmah di sebalik larangan ini adalah untuk menghindari sikap kesombongan, yang merupakan ciri khas orang Yahudi, merendahkan orang lain, dan mereka tidak melihat ada bangsa atau kaum yang lebih baik dari mereka. Dan mereka mengatakan bahawa diri mereka sebagai bangsa terpilih oleh Allah.
  • Yang penting dalam solat adalah merendahkan diri dan tunduk kepada Allah, kerana orang yang solat berdiri di hadapan Allah, dan mesti menjauhi sifat-sifat orang yang sombong dan seumpamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/84)

Antara hikmah di sebalik larangan untuk meletakkan tangan di pinggang semasa solat:

  1. Tindakan ini bertentangan dengan khushu’ (khusyuk) dalam solat.
  2. Tindakan ini dapat menimbulkan kesan sombong (takabbur) dalam solat, yang mesti dielakkan.
  3. Tindakan ini melibatkan meninggalkan sunnah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri semasa solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply