Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat larangan berpaling ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksdunya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah: 238)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai berpaling (menoleh) dalam solat.” Lalu Baginda SAW menjawab:

هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ العَبْدِ

Maksudnya: “Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba.”

Riwayat al-Bukhari (751)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Faedah daripada hadith ini ialah makruhnya berpaling (menoleh) ketika solat kecuali jika ada keperluan. Jika ada keperluan, seperti rasa takut atau was-was akan musuh, maka itu tidak dimakruhkan sebagaimana yang  yang diriwayatkan daripada Sahal al-Hanzaliah bahawa Rasulullah SAW solat Subuh, dan baginda melihat ke arah suku-suku bangsa (yang mungkin membahayakan), kerana baginda telah mengirim pasukan malam untuk berjaga.” Selain itu, makruh untuk melihat sekeliling jika ia hanya dengan kepala dan leher sahaja. Tetapi jika seseorang berpaling dengan sepenuh badan dan menghadap arah yang berlawanan dengan Kiblat, maka solatnya menjadi batal. Ibn Abd al-Barr berkata: Majoriti ulama bersepakat bahawa menoleh sedikit tidak membatalkan Solat.

Sebab makruhnya berpaling ketika solat ini adalah kerana ia mengurangi kekhusyukan dalam Solat, mengurangi kekhusyukan kepada Allah SWT, dan mengalihkan perhatian dari arah Kiblat yang harus dihadapkan oleh orang yang solat sepanjang solatnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/91)

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, disebutkan: “Tidak ada perbezaan pendapat di antara fuqaha’ mengenai makruhnya berpaling (menoleh) dalam solat, berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai berpaling (menoleh) dalam solat.” Lalu Baginda SAW menjawab: “Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba.” Keadaan makruh ini tertakluk kepada ketiadaan keperluan atau keuzuran. Namun, jika terdapat keperluan, seperti ketakutan terhadap diri sendiri atau harta, maka ia tidak makruh.”  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 27/109)

Al-Lajnah al-Daimah menyatakan: “Berpaling dalam solat adalah makruh dan mengurangkan pahala solat. Tetapi tidak wajib untuk mengulangi solat bagi sesiapa yang berpaling dalam solatnya, kerana terdapat hadith-hadith yang menunjukkan bolehnya berpaling jika ada keperluan. Oleh itu, kita tahu bahawa berpaling tidak membatalkan solat.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/27)

Hukum memalingkan wajah ketika solat tanpa sebarang hajat dan keperluan adalah makruh kerana ia akan menyebabkan kehilangan khusyuk dalam solat. Al-Khatib al-Syirbini berkata: Makruh memalingkan wajah ke kiri atau ke kanan kerana ia merupakan pencurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang hamba sepertimana hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan kerana ia menafikan kekhusyukan seseorang tersebut. Imam al-Azra’ie berkata: jika seseorang itu sengaja memalingkan dan menolehkan mukanya dalam keadaan dia tahu tentang hadith yang melarangnya, maka haram hukumnya dan batal solatnya sekiranya dia melakukan dengan niat bermain-main. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/421)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum memalingkan dan menolehkan muka ketika sedang solat adalah makruh jika tidak ada keperluan dan hajat. Sekiranya ada keperluan, keuzuran dan hajat, ia tidaklah menjadi makruh dan tidak juga membatalkan solat. Selain itu, hukum makruh untuk berpaling dan menoleh di sekelilingnya adalah jika ia hanya dengan kepala dan leher sahaja. Tetapi jika seseorang berpaling dengan sepenuh badan dan menghadap arah yang berlawanan dengan kiblat, maka solatnya menjadi batal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply