Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang habasyah bermain senjata dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا عَلَى بَابِ حُجْرَتِي، وَالحَبَشَةُ يَلْعَبُونَ فِي المَسْجِدِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتُرُنِي بِرِدَائِهِ، أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW suatu hari di hadapan pintu bilikku dan orang Habsyah sedang bermain (senjata) di masjid. Rasulullah SAW melindungiku dengan selendangnya, sedangkan aku melihat permainan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (454) dan Muslim (892)

Syeikh Abdullah al-Fauzan berkata: Hadith ini menjadi dalil bolehnya bermain dengan senjata dan peralatan perang lain dalam masjid, dan hal ini termasuk segala yang berkaitan dengannya yang menjadi sebab yang membantu jihad dan berbagai bentuk kebajikan. Ini kerana perbuatan tersebut bukanlah semata-mata permainan, tetapi adalah satu cara untuk mencapai tujuan mulia, iaitu latihan dalam keberanian dan pertempuran, termasuk dalamnya menyatukan hati, dan memperlihatkan kemuliaan Islam. Oleh kerana itu, apabila Umar R.A bercadang untuk melarangnya, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Biarkan mereka, wahai Umar,” sebagaimana yang telah thabit dalam hadith al-Bukhari dan Muslim.

Syarat bagi perbuatan ini ialah ia tidak boleh berlaku secara berterusan sehingga masjid digunakan sebagai tempat bermain, tidak menyusahkan sesiapa yang sedang solat, berzikir, atau dalam perbincangan ilmiah, dan tidak ada bunyi bising, cacian, atau perkara yang menghilangkan kemuliaan masjid. Seolah-olah Umar R.A mengambil pendekatan mengingkari perbuatan ini berdasarkan prinsip asal bagi masjid ialah kemuliaan dan penghormatannya. Nabi SAW menjelaskan kepadanya bahawa pendekatan yang lebih ringan dan lebih mudah adalah sejajar dengan kemuliaan Islam dan kemudahannya, terutamanya dalam perkara yang membawa manfaat. (Lihat Minhah al-’Allam, 2/488-489)

Syeikh Abdullah al-Bassam pula berkata: Orang-orang Habasyah gemar bermain dan berseronok. Rasulullah SAW membenarkan mereka untuk melaksanakan aktiviti ini di dalam masjid, dengan mengambil kira beberapa dasar syariah yang penting, yang dinyatakan berdasarkan kepada beberapa lafaz hadith yang lain:

  • Untuk memberitahu kaum yang belum memeluk Islam, disebabkan ketakutan merekat terhadap Islam oleh syadid dan kekasaran dengan menyatakan bahawa Islam adalah agama yang toleransi, luas, dan terbuka, terutamanya kepada golongan Yahudi, yang sering menjauhi dan melarangnya. Dalam beberapa hadith, Umar mengingkarinya, tetapi Nabi SAW berkata: “Biarkan mereka, supaya orang Yahudi tahu bahawa dalam agama kita terdapat kelonggaran dan akhlak yang baik.”
  • Permainan mereka berlaku semasa hari perayaan, dan hari perayaan adalah hari kegembiraan dan kelonggaran, yang menggalakkan perkara-perkara yang dibenarkan.
  • Permainan mereka melibatkan kekuatan, semangat, dan keberanian.

Permainan mereka dengan senjata mereka di dalam masjid adalah satu bentuk latihan dalam keberanian, keberanian, pertempuran, dan kesiapsiagaan untuk menghadapi musuh, dan ini adalah satu kepentingan umum dari segi syariah. Keterbukaan Islam dengan kesesuaian syariah yang jelas, Islam mengizinkan pelaksanaan aktiviti seperti ini di dalam Masjid Nabawi yang mulia. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/130-131)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa peristiwa orang habasyah bermain senjata dalam masjid adalah benar dan berlaku pada zaman Nabi SAW sebagaimana hadith Aisyah R.Anha ini, dan ia menjadi dalil bolehnya bermain dengan senjata dan peralatan perang lain dalam masjid, dan hal ini termasuk segala yang berkaitan dengannya yang menjadi sebab yang membantu jihad dan berbagai bentuk kebajikan, tetapi dengan syarat ia tidak boleh berlaku secara berterusan sehingga masjid digunakan sebagai tempat bermain, tidak menyusahkan sesiapa yang sedang solat, berzikir, atau dalam perbincangan ilmiah, dan tidak ada bunyi bising, cacian, atau perkara yang menghilangkan kemuliaan masjid.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply