Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang membela atau memelihara labi-labi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan pengenalan ringkas mengenai labi-labi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, labi-labi ialah sejenis kura-kura, dedari, Trionyx cartilagineus.[1]

Labi-labi atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Softshell turtle merupakan sejenis haiwan seperti kura-kura dalam keluarga Trionychidae. Ahli dalam keluarga ini terdapat di Afrika, Asia, Amerika Utara, dan Asia Tenggara.[2]

https://cdn.britannica.com/59/99059-050-BB601706/species-softshell-turtles-Asia-spiny-turtle-North.jpg

Secara ringkasnya, labi-labi, (famili Trionychidae), mana-mana daripada kira-kira 30 spesies penyu yang dicirikan oleh cengkerang yang pipih. Cengkerang mereka tidak mempunyai skut epidermal (sisik besar) yang biasa ditemui pada kebanyakan penyu, seperti penyu belimbing (Dermochelys coriacea), dan seni bina tulang cengkerang mereka dikurangkan.

Labi-labi mempunyai leher yang panjang dan kepala aerodinamik dengan muncung yang memanjang seperti proboscis, di mana lubang hidung terletak di hujungnya. Mereka sering tersembunyi di dalam lumpur, pasir, dan air cetek. Dengan memanjangkan kepala dan leher supaya muncung melayang di sepanjang permukaan, mereka boleh bernafas dengan cara seperti snorkel. Semua labi-labi adalah karnivor (pemakan daging). Mereka aktif mencari mangsa dan mengejarnya atau menyerang dengan menunggu. Bentuk rata/pipih mungkin kelihatan pelik untuk haiwan yang aktif, tetapi ia kelihatan sangat cekap dari sudut pandangan hidrodinamik. Didorong oleh empat kaki mereka — kedua-dua kaki hadapan dan kaki belakang berselaput yang kuat — labi-labi adalah perenang pantas.

14 genera labi-labi dibahagikan kepada dua kumpulan evolusi: subfamili Cyclanorbinae di selatan Asia, timur laut Afrika, dan sub-Sahara Afrika; dan subfamili Trionychinae di tenggara Amerika Utara, selatan Asia, dan Afrika. Labi-labi Cyclanorbine terdiri daripada dua genus Afrika (Cyclanorbis dan Cycloderma) dan satu genus (Lissemys) labi-labi India (Indian flapshell turtle) dan labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle).

Labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle).

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/17/Lissemys_scutata_2.jpg/1200px-Lissemys_scutata_2.jpg

Labi-labi Trionychine lebih pelbagai dari segi biologi. Tiga spesies labi-labi Amerika Utara (Apalone) bersaiz sederhana, dan jantan dewasa membesar kira-kira dua pertiga saiz betina. Panjang cengkerang betina dewasa adalah antara 17 cm (7 inci) dalam A. mutica dan A. spinifera hingga 63 cm (25 inci) dalam A. ferox. Labi-labi Trionychine yang terbesar ialah labi-labi bermulut sempit (narrow-headed softshellChitra indica) dan labi-labi gergasi Asia (Asian giant softshellPelochelys bibroni) di Asia Tenggara; Cengkerang kedua-dua spesies mencapai panjang melebihi 1 meter (3.3 kaki).

Labi-labi mungkin bertelur sekurang-kurangnya 2 telur, seperti pada labi-labi betina muda genus Lissemys, atau lebih daripada 100 telur, seperti dalam Trionyx triunguis berbadan besar. Tempoh perkembangan embrio berbeza-beza, antara 30 hari hingga hampir 300 hari, bergantung kepada spesies dan persekitaran di dalam sarang. Dengan menggunakan kaki belakangnya, labi-labi menggali sarang di tanah yang rapuh biasanya di kawasan berhampiran air.[3]

Memelihara labi-labi

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam tidak melarang daripada memelihara haiwan-haiwan tertentu seperti burung, ikan, kucing dan lain-lain termasuklah labi-labi. Keharusan itu adalah selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti babi dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadith Nabi SAW daripada riwayat Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ— نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، — فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – perawi berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. — Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: ‘Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?’ — iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. — Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.

Riwayat al-Bukhari (6203)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. (Lihat Fath al-Bari, 10/583).

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azra‘i. Menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna‘, 2/482).

Tambahan lagi, memelihara haiwan, sama ada kerana ia haiwan yang comel atau untuk hiasan atau untuk tujuan lain, adalah dibenarkan selagi mana ia termasuk dalam manfaat yang boleh diperoleh di sisi syarak serta haiwan itu diberi makan dan minum dengan baik, maka boleh untuk memeliharanya di dalam sangkar, akuarium dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi dalam hasyiahnya bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menahan (memelihara) haiwan walaupun sekadar untuk mendengar suaranya atau melihat kecantikannya, atau begitu juga memelihara anjing kerana suatu keperluan dengan syarat haiwan-haiwan itu diberi makan. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/95).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa memelihara labi-labi adalah diharuskan dengan syarat berbuat baik kepada mereka dengan diberi makan dan minum sebagaimana yang mereka perlukan, di samping tidak menzalimi mereka. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada hadith sahih yang menunjukkan kepada hal tersebut. Tambahan lagi,  labi-labi juga tidak termasuk dalam haiwan perosak yang diwajibkan untuk dibunuh.

Sekalipun begitu, haruslah dilihat juga adakah untuk memeliharanya memerlukan kepada surat kebenaran khas atau seumpamanya daripada badan berkuasa sesebuah negara seperti Malaysia. Sekiranya tidak ada, maka bolehlah terus memeliharanya bagi sesiapa yang berkeinginan, dan sekiranya ada, maka wajib untuk mematuhi peraturan tersebut dan mengikuti prosedur-prosedur yang telah ditetapkan bagi sesiapa yang tetap ingin memeliharanya. Kemungkinan peraturan tersebut ditetapkan bagi tujuan untuk terus menjamin kelangsungan labi-labi daripada mengalami kepupusan.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/softshell-turtle. Diakses pada 31 Oktober 2023.

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *