#404 Tawaf Wada‘ bagi Jemaah yang Ingin ke Taif

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum tawaf wada‘ bagi jemaah umrah yang hendak menziarahi Taif? Harap dapat memberi pencerahan.

Jawapan:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437.)

Tawaf Wada‘

Berkenaan dengan tawaf wada‘, terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya:Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79.)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402.)

Jemaah menziarahi Taif dari Makkah

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, terdapat pendapat daripada al-Baghawi bahawa tawaf wada‘ wajib buat mereka yang ingin keluar meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat. Adapun jarak yang kurang daripada itu, tidak wajib melakukan tawaf wada‘. Namun menurut al-Nawawi, pendapat yang sahih dan masyhur ialah sesiapa yang mahu meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat (2 marhalah) atau kurang daripada itu, sama ada dekat, mahupun jauh, wajib melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/256.)

Sekalipun begitu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa tidak wajib ke atas orang yang sedang bermukim di Makkah, apabila hendak keluar ke Tan‘im melakukan tawaf wada‘ serta tiada dam dikenakan ke atas mereka sekiranya meninggalkan tawaf tersebut. Dalilnya adalah berdasarkan perintah Nabi SAW yang mengarahkan ‘Abd al-Rahman menemani Aisyah untuk keluar berihram di Tan‘im dan tidak meminta mereka untuk melakukan tawaf wada‘ terlebih dahulu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/257.)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari mengulas perkara ini dengan menyatakan, ini adalah pada sesiapa yang keluar kerana sesuatu hajat (keperluan) dan akan pulang semula. Manakala apa yang disebutkan dalam kitab al-Majmu‘ — yakni wajib tawaf wada‘ bagi sesiapa yang ingin keluar dari Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat atau kurang daripada itu — adalah pada sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah pada jarak kurang dari dua marhalah untuk pulang ke rumahnya atau ke tempat dia bermukim. (Lihat Asna al-Matalib, 1/499-500.)

Bahkan Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sesiapa yang telah keluar meninggalkan Makkah tanpa melakukan tawaf wada‘, maka dia telah berdosa dan wajib ke atasnya untuk berpatah balik bagi melakukan tawaf tersebut. Sekiranya dia berpatah balik sebelum melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat lalu melakukan tawaf, maka dia tidak dikenakan dam. Akan tetapi, sekiranya dia telah melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat, wajib ke atasnya dam sekalipun dia telah berpatah balik untuk melakukan tawaf wada‘. Demikianlah juga hukumnya bagi sesiapa yang terlupa untuk melakukan tawaf wada‘ dan telah keluar meninggalkan Makkah, dia hendaklah berpatah balik untuk melakukannya. Sekiranya jaraknya kurang daripada jarak yang mengharuskan qasar solat, maka tiada dam dikenakan ke atasnya dan jika tidak — yakni melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat — maka diwajibkan dam ke atasnya sekalipun dia telah melakukan tawaf wada‘. ( Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402.)

Secara ringkasnya, golongan yang diwajibkan melakukan tawaf wada‘ ialah:

  • Orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskannya qasar solat iaitu dalam kadar dua marhalah.
  • Orang yang akan meninggalkan Makkah dan bermukim di luar Tanah Haram, sekalipun jaraknya kurang dari dua marhalah.

Oleh itu, sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah bagi tujuan menziarahi Taif (melalui mana-mana laluan) hendaklah melakukan tawaf wada‘ kerana jarak perjalanannya melebihi dua marhalah. Ini juga adalah resolusi yang telah diputuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-35.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Mereka yang wajib melakukan tawaf wada‘ terbahagi kepada dua golongan, iaitu; orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskannya qasar solat iaitu dalam kadar dua marhalah seperti hendak pulang ke Madinah atau negara masing-masing. Manakala golongan yang kedua pula ialah orang yang akan meninggalkan Makkah dan bermukim di luar Tanah Haram, sekalipun jaraknya kurang dari dua marhalah seperti kembali ke rumah di Jeddah dan seumpamanya.
  • Adapun mereka yang mahu keluar meninggalkan Makkah pada jarak kurang dari dua marhalah dan akan pulang segera kerana ada sesuatu hajat atau keperluan seperti ke Tan‘im bagi berniat ihram atau seumpamanya, maka tidak wajib melakukan tawaf wada‘ serta tidak dikenakan dam meninggalkannya.
  • Sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah bagi tujuan menziarahi Taif (melalui mana-mana laluan) wajib melakukan tawaf wada‘ kerana jarak perjalanannya melebihi dua marhalah. Hal ini juga adalah sebagaimana resolusi yang telah diputuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-35.
  • Pada masa kini dalam suasana pandemik Covid-19, dan SOP yang ketat. Kami berpendapat jemaah umrah yang ingin ke Taif dan akan pulang semula ke Makkah diberi pilihan sama ada ingin melakukan tawaf wada‘ atau tidak. Ini adalah berdasarkan kepada situasi semasa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 5 Februari 2022 bersamaan 3 Rejab 1443H

2 thoughts on “#404 Tawaf Wada‘ bagi Jemaah yang Ingin ke Taif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *