#42: Raihanah; Hamba atau Isteri Nabi

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Raihanah binti Syam‘un termasuk dalam kalangan para isteri Nabi SAW ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

Maksudnya:Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka.”[1]

Ayat di atas bermaksud Nabi Muhammad SAW adalah lebih utama kepada orang-orang beriman dan lebih dekat bagi mereka berbanding diri mereka sendiri dalam urusan agama dan dunia. Begitu juga kehormatan isteri-isteri Nabi SAW atas umatnya adalah seperti kehormatan ibu-ibu mereka. Justeru, tidak boleh untuk menikahi isteri-isteri Nabi SAW sesudah Baginda wafat.[2]

Ini jelas menunjukkan bahawa Ummahat al-Mukminin mempunyai hukum yang khusus, iaitu apabila Nabi SAW telah menikahi mereka dan bersama dengan mereka, kemudian Baginda wafat, maka isteri Baginda itu tidak boleh dinikahi oleh mana-mana lelaki lain. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَن تَنكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِن بَعْدِهِ أَبَدًا

Maksudnya:Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.”[3]

Pada asasnya, para ulama berselisih pendapat berkenaan bilangan isteri Nabi SAW, sama ada sebelas orang ataupun dua belas orang. Perselisihan ini adalah disebabkan seorang yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama, iaitu Raihanah binti Syam‘un.

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Beliau ialah Raihanah binti Syam‘un bin Zaid bin Quthamah daripada Bani Quraizah. Namun ada pendapat menyatakan, daripada Bani al-Nadhir. Akan tetapi pendapat pertama adalah lebih banyak (kuat) sebagaimana disebutkan oleh Abu Umar.

Manakala Ibn Ishaq pula berpendapat, namanya ialah Raihanah binti ‘Amr bin Khunafah, salah seorang wanita daripada Bani ‘Amr bin Quraizah.

Raihanah meninggal dunia sebelum kewafatan Nabi SAW. Dikatakan beliau meninggal dunia pada tahun 10 Hijrah, ketika mana kembalinya Rasulullah SAW daripada Hajjatul Wada‘.[4]

Terdapat riwayat bahawa Rasulullah SAW mengambil salah seorang wanita daripada tawanan Bani Quraizah yang bernama Raihanah binti ‘Amr bin Khunafah, salah seorang wanita daripada Bani ‘Amr bin Quraizah. Raihanah menjadi hamba kepada Rasulullah SAW sehinggalah Baginda wafat. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah menawarkan kepada Raihanah untuk memperisterikannya dan memakaikannya hijab. Akan tetapi beliau menolaknya dengan berkata:

 يَا رَسُولَ اللَّهِ، بَلْ تَتْرُكَنِي فِي مِلْكِكَ فَهُوَ أَخَفُّ عَلَيَّ وَعَلَيْكَ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, biarkan sahaja aku terus menjadi hambamu, kerana ia lebih mudah bagiku dan bagimu.

Maka, Rasulullah pun menuruti kemahuannya itu. Diceritakan juga bahawa ketika berada dalam tahanan Rasulullah SAW, beliau adalah seorang yang sangat sukar untuk memeluk agama Islam (yakni tidak menunjukkan minatnya kepada agama Islam) dan tetap mahu berpegang dengan agama asalnya iaitu agama Yahudi. Maka Baginda mengasingkannya kerana berasa sedih tentang hal tersebut. Namun, pada suatu hari, ketika Baginda bersama para sahabatnya, tiba-tiba Baginda mendengar bunyi tapak kasut di belakangnya (dan Baginda mengenali bunyi tapak tersebut), lalu bersabda: “Sesungguhnya ini ialah Tha‘labah bin Sa‘yah. Dia menyampaikan kepadaku berita gembira mengenai keislaman Raihanah.” Lalu Tha‘labah datang bertemu Baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Raihanah telah memeluk Islam.” Maka hal tersebut telah membuatkan Baginda berasa sangat gembira.[5]

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa Raihanah binti Zaid al-Nadhiriyyah termasuk dalam kalangan isteri Nabi SAW. Ada pendapat menyatakan, al-Quraziyyah. Beliau ditawan pada peperangan Bani Quraizah. Beliau telah diambil oleh Rasulullah SAW dalam kalangan tawanan tersebut, kemudian Baginda memerdekakannya dan mengahwininya. Beberapa lama kemudian Baginda menjatuhkan kepadanya talak satu, kemudian Baginda merujuknya kembali.

Sebahagian ulama pula berpendapat, beliau ialah hamba perempuan milik Rasulullah SAW dan Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba sehinggalah beliau meninggal dunia. Justeru, beliau dikira atau termasuk dalam kalangan hamba-hamba Baginda dan bukannya dalam kalangan para isteri Baginda.

Pendapat pertama merupakan pendapat yang dipilih oleh al-Waqidi, dan dipersetujui oleh Syarafuddin al-Dimyati, dan dia berkata: “Ia adalah pendapat yang paling sabit (kuat) di sisi ahli ilmu.” Namun, menurut Ibn al-Qayyim, apa yang disebutkannya itu perlu diteliti semula. Hal ini kerana sebagaimana yang sudah diketahui bahawasanya beliau termasuk dalam kalangan hamba-hamba perempuan Baginda.[6]

Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim yang menukilkan daripada Abu ‘Ubaidah bahawa Nabi SAW memiliki empat orang hamba iaitu Mariah yang merupakan ibu kepada anaknya, Ibrahim, Raihanah, seorang hamba perempuan yang cantik yang diperoleh dalam sebahagian tawanan, dan seorang lagi hamba perempuan yang dihadiahkan oleh Zainab binti Jahsy kepada Baginda.[7]

Selain daripada itu, Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari juga ada menyebutkan, Rasulullah SAW telah memilih Raihanah daripada tawanan Bani Quraizah untuk dirinya sendiri, dan ini merupakan pendapat Ibn Ishaq dan Ibn Sa‘ad serta ramai dalam kalangan ulama. Manakala al-Waqidi dan mereka yang berpendapat seumpamanya pula menyatakan, sesungguhnya Baginda SAW telah menikahinya. Namun, pendapat yang lebih tepat ialah pendapat pertama.[8]

Tambahan lagi, pendapat yang masyhur dalam kalangan ahli sirah ini dikuatkan dengan riwayat hadith Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدُورُ عَلَى نِسَائِهِ فِي السَّاعَةِ الوَاحِدَةِ، مِنَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَهُنَّ إِحْدَى عَشْرَةَ

Maksudnya:Nabi SAWpernah menyetubuhi kesemua isteri Baginda pada masa yang sama pada waktu malam dan siang, dan para isteri Nabi SAW adalah seramai sebelas orang.”[9]

Akan tetapi jumlah isteri yang berkumpul pada sisi Baginda SAW dalam satu masa adalah seramai sembilan orang dan tidak lebih daripada itu. Dalam riwayat yang lain daripada Anas R.A, katanya:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعُ نِسْوَةٍ. فَكَانَ إِذَا قَسَمَ بَيْنَهُنَّ لَا يَنْتَهِي إِلَى الْمَرْأَةِ الْأُولَى إِلَّا فِي تِسْعٍ

Maksudnya:Nabi SAW mempunyai sembilan orang isteri, dan Baginda membahagikan giliran antara mereka. Maka, Baginda tidak akan kembali ke isteri yang pertama (dari segi giliran) melainkan setelah giliran hari bagi isteri yang kesembilan.”[10]

Menurut Imam al-Nawawi, perkataan, “تِسْعُ نِسْوَةٍ” (sembilan isteri) adalah merujuk kepada isteri-isterinya yang berpisah dengan Baginda SAW kerana kewafatan Baginda SAW. Mereka ialah Aisyah, Hafsah, Saudah, Zainab, Ummu Salamah, Ummu Habibah, Maimunah, Juwairiyyah dan Safiyyah R.Anhunna.[11]

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan berkenaan maksud sebelas orang dalam riwayat al-Bukhari di atas menyatakan, maknanya adalah Baginda SAW mengelilingi (yakni bergilir-gilir mengikut giliran) menyetubuhi kesemua sembilan orang yang disebutkan dan dua orang hambanya iaitu Mariah dan Raihanah.[12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa Raihanah binti Syam‘un termasuk dalam kalangan hamba-hamba perempuan milik Rasulullah SAW dan bukannya dalam kalangan para isteri Baginda sebagaimana pendapat Ibn al-Qayyim dan ramai ulama sirah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Surah al-Ahzab: 6

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 418.

[3] Surah al-Ahzab: 6

[4] Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 7/121; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1847.

[5] Lihat Tarikh al-Tabari, 2/592; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 7/121.

[6] Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/110.

[7] Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/114.

[8] Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, 1/316.

[9] Riwayat al-Bukhari (268)

[10] Riwayat Muslim (1462)

[11] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/47.

[12] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/203.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *