#424 Mahram Perempuan Dengan Bapa Tiri

Soalan

Adakah perempuan dengan bapa tirinya dikira mahram?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. ( Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Nisa’: 23)

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

Berdasarkan persoalan di atas mengenai mahram, batasan aurat dan isu khalwat, bapa tiri adalah mahram mu`abbad (selamanya) kepada anak tiri, apabila sudah berlaku persetubuhan antara bapa tiri itu dan ibu mereka selepas mereka sah berkahwin. Ini berdalilkan firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ

Maksudnya: “Dan (juga perempuan-perempuan yang diharamkan kamu berkahwin dengan mereka ialah) anak-anak perempuan tiri kamu yang telah kami setubuhi ibu-ibu mereka.”

(Surah al-Nisa:23)

Justeru, aurat antara rabibah (anak perempuan tiri) dengan bapa tiri mereka adalah sama batasan auratnya antara mereka dan bapa kandung mereka iaitu antara pusat dan lutut, sekiranya tidak membawa kepada fitnah dan syahwat.  Sebahagian ulama mazhab Syafie mengehadkan pada anggota yang zahir ketika bekerja iaitu aurat mereka seluruh tubuh melainkan kepala, leher dan tengkuk, tangan sehingga pangkal lengan, dan kaki sehingga lutut. Begitu juga, tidak timbul isu khalwat jika mereka berada dalam satu rumah yang sama, seperti mahram yang lain juga.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan: “Aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Ini bererti mereka harus mendedahkan seluruh anggota badannya yang lain di hadapan mahramnya dengan syarat terhindar daripada berlaku fitnah. Jika ada kemungkinan berlaku fitnah hukumnya tetap haram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/125)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ

Maksudnya“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam.

(Surah al-Nur: 31)

Perkataan perhiasan di dalam ayat itu bermaksud tempat perhiasan tersebut, iaitu bahagian anggota atas pusat dan bawah lutut.”

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *