Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. benarkah akal berperanan untuk seseorang itu melawan hawa nafsu dan mujahadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memperkatakan tentang jihad al-Nafs,  yakni jihad melawan hawa nafsu. Antaranya sepertimana firman Allah SWT:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفْسَ عَنِ ٱلْهَوَىٰ (٤٠)  فَإِنَّ ٱلْجَنَّةَ هِىَ ٱلْمَأْوَىٰ

Maksudnya: “Manakala orang yang takut kepada kedudukan Tuhannya lalu dia menahan jiwanya daripada mengikut hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurga itulah tempat kediamannya.”

(Surah al-Nazi‘at: 40-41)

Menurut al-Razi dan beberapa orang ulama, mereka bersepakat menegaskan bahawa maksud ‘menahan diri daripada hawa nafsu’ ialah jihad al-Nafs. Dalam erti kata,  usaha seseorang Muslim berjuang menentang hawa nafsunya. Persoalan ini turut dijelaskan oleh Ali bin Abu Talib R.A dengan mengemukakan kebimbangannya terhadap orang yang menjadi hamba kepada hawa nafsu, katanya: “Sesungguhnya ada dua perkara yang aku takutkan terjadi ke atas kamu, iaitu bertindak mengikut hawa nafsu dan berangan-angan tinggi. Mengikut hawa nafsu akan memesongkan kamu daripada kebenaran, manakala angan-angan yang tinggi membuatkan seseorang itu lupa kepada akhirat.”  (Lihat Tafsir al-Razi, 23/72)

Jelaslah hawa nafsu merupakan punca segala-galanya; kecuaiannya mendedahkan manusia kepada bahaya hasutan syaitan dan tipu daya iblis yang sentiasa mencari jalan untuk membawa manusia ke lembah kehancuran. Malah, sejarah umat-umat terdahulu menjadi bukti yang jelas bagaimana kehancuran dan kemusnahan yang ditimpakan kepada mereka disebabkan oleh keangkuhan, kesombongan, kelalaian serta keseronokan mempertuhankan hawa nafsu tanpa menghiraukan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka, dengan membelakangi ajaran-ajaran para rasul yang diutuskan kepada mereka.

Kedudukan dan keistimewaan manusia berbanding makhluk lain adalah kerana adanya  akal fikiran yang sempurna dalam diri mereka. Oleh kerana itu, keinginan dan tindakan manusia akan lebih terkawal sehingga menyebabkan setiap perbuatan buruk dapat diatasi. Dalam hal ini, Qadhi ‘Iyad turut meletakkan akal fikiran sebagai asas bagi mendominasikan kelicinan perjalanan jihad menentang hawa nafsu kerana menurut beliau, asas tersebut akan memancarkan cahaya kebenaran untuk umat Islam melaksanakannya. Ia sebagai pengawal dan penghalang diri daripada melakukan sesuatu keburukan yang menjadi penyebab kepada azab seksa yang kekal di akhirat. (Lihat al-Syifa’, 1/216)

Tambahan pula, al-Ghazali ketika menjelaskan tentang keistimewaan manusia berbanding makhluk yang lain, katanya: “Ketahuilah, sesungguhnya akal fikiran itu sekali-kali tidak akan menjumpai jalan petunjuk jika tidak menerusi syariat, dan syariat pula tidak akan jelas dan nyata tanpa akal selaku asasnya, manakala syariat itu merupakan binaan, tidak berguna asas tersebut tanpa binaan dan binaan pula tidak akan berdiri teguh tanpa adanya asas. Akal juga umpama pemandu dan syariat itu umpama sinar cahaya, pemandangan mata tidak akan berguna kalau tidak dibantu oleh sinar cahaya dari luar dan begitulah sebaliknya sinar cahaya itu tidak akan berguna kalau tidak ada penglihatan mata. (Lihat  Ihya’ Ulum al-Din, 3/68)

Walau bagaimanapun, jihad al-Nafs tidak akan berkesan sekiranya umat Islam tidak menggabungkan di dalam diri mereka kekuatan akal dan keutuhan iman sebagai asas untuk bertindak. Hal ini kerana, akal tidak mampu menyelami kebenaran sesuatu perkara, khususnya perkara-perkara yang berkaitan metafizikal seperti ruh, hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya. Berdasarkan kepada hakikat inilah, Allah SWT mengutuskan para rasul kepada umat manusia sebagai pembimbing untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan menjelaskan kepada mereka hal-hal yang berkaitan soal ketuhanan dan keimanan yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran semata-mata.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhir dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply