#425 Aurat Bekas Mertua Dengan Bekas Menantu

Soalan

Bagaimanakah hukum aurat diantara bekas ibu mentua dan bekas menantu lelakinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

( Surah Al-Nisa’: 23)

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

Berdasarkan persoalan di atas, apabila seorang lelaki bercerai daripada isterinya, hubungan mahram dengan ibu mertuanya tidak hilang dan terus menjadi mahram secara mu’abbad. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-23 bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu,”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Dan pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/31-32)

Justeru batas aurat antara seorang lelaki dengan bekas mertuanya ialah hukum mahram yakni antara pusat dan lutut jika aman daripada fitnah.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *