Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat perbezaan antara jihad dan qital dan bagaimana hendak menangkis mereka yang mengatakan agama islam adalah agama keganasan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ (٣٩)  وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَوْلَىٰكُمْ ۚ نِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ

Maksudnya: Dan perangilah mereka sehingga tidak berlaku lagi sebarang penindasan terhadap orang yang beriman dan juga sehingga seluruh ketaatan dan ibadah adalah untuk Allah semata. Sekiranya orang kafir itu berhenti daripada kekufuran dan juga menyakiti orang beriman, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang mereka lakukan dan akan memberikan balasan selayaknya kepada mereka. Namun jika mereka berpaling dan enggan beriman, maka ketahuilah bahawa Allah itulah Pelindung kamu; Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

(Surah al-Anfal: 39-40)

Jihad adalah syariat yang tinggi dan tidak ada amalan yang mampu menandinginya, sebagaimana nas telah menyebutkannya dengan jelas. Namun, dari sudut bahasa, kata jihad dan qital ada perbezaan yang signifikan kerana makna jihad mencakupi seluruh makna bersungguh-sungguh, sedangkan qital sebagaimana disebutkan dalam Kamus al-Maurid al-Wasit, adalah bertemunya dua pasukan di medan pertempuran. Perbezaannya yang lain dalam dilihat sepertimana berikut:

  • Jihad secara umumnya mencakupi seluruh usaha menegakkan kalimah Allah, manakala Qital pula adalah sebahagian daripada usaha menegakkan kalimah Allah.
  • Jihad tidak semestinya dengan pertempuran (secara fizikal), sebaliknya Qital, intinya adalah pertempuran.

Berdasarkan kepada ayat-ayat jihad dan qital, terdapat kritikan daripada beberapa pihak yang menuduh bahawa Islam merupakan agama yang berunsurkan keganasan. Namun pada hakikatnya, Islam mensyariatkan jihad untuk mencapai tujuan tertentu iaitu menyebarkan dakwah Islamiyyah tanpa sebarang pemaksaan kepada sesiapapun untuk memeluknya. Tambahan pula, jihad juga disyariatkan untuk menentang sebarang kezaliman dan penindasan. Justeru, ia merupakan satu tindak balas terhadap penindasan dan bukannya dilakukan tanpa sebarang sebab.

Sesiapa yang mengkaji agama Islam, pasti akan mendapati bahawa ia berasaskan kepada keamanan dan keharmonian, dan bukannya keganasan dan kacau bilau. Bahkan ia juga bukanlah sebuah agama yang berasaskan kepada bangsa, tetapi sebaliknya adalah untuk seluruh umat manusia. Selain itu, keamanan Islam bukan hanya dilihat dari segi dalamannya semata-semata, malah ia juga dituntut dalam hubungan yang merentas agama, di mana umat Islam diwajibkan untuk berlaku adil dan saksama sesama manusia sekalipun berlainan bangsa dan agama.

Selain daripada itu, Islam merupakan agama yang mempunyai adab yang tinggi, sehinggakan ketika mana jihad peperangan diperlukan, adab-adab ini masih lagi terpakai. Ini dapat dilihat sebelum permulaan suatu peperangan, pihak musuh diberi tiga pilihan iaitu; Islam, perjanjian atau peperangan. Mana-mana pilihan yang dibuat, maka tentera Islam akan menghormatinya. Terdapat satu peristiwa di mana tentera Islam telah menyerang daerah Samarqand tanpa memberi tiga pilihan terlebih dahulu, lalu mereka menguasai bandar tersebut. Setelah itu, penduduk Samarqand telah melaporkan perkara tersebut kepada Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dengan mendakwa bahawa mereka telah dizalimi. Umar bin ‘Abd al-‘Aziz meminta agar kes mereka diserahkan kepada mahkamah untuk diadili. Mahkamah mendapati bahawa tentera Islam tidak berlaku adil, maka hakim memutuskan  dengan memerintahkan agar tentera Islam keluar dari daerah Samarqand. Mereka pun keluar darinya. Semasa peperangan pula, Islam meletakkan beberapa larangan yang perlu dipatuhi oleh tentera Islam iaitu antaranya ialah larangan membunuh anak-anak kecil, ahli agama, kaum wanita, dan lain-lain.

Selain itu, sejarah juga telah menyaksikan bagaimana negara yang diperintah oleh umat Islam berlaku adil pada semua rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama. Keamanan yang mereka nikmati adalah hasil didikan agama Islam dan ia merupakan cerminan kepada keamanan yang dianjurkan dalam al-Quran dan Sunnah.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/167-168)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kita hendaklah memainkan peranan penting dalam membetulkan persepsi sebahagian masyarakat yang menyangka bahawa agama Islam merupakan agama yang berunsurkan keganasan disebabkan oleh pensyariatan jihad dan peperangan. Peperangan diharuskan kepada umat Islam dengan tujuan mempertahankan kesucian Islam, membela umat Islam daripada pencerobohan dan kezaliman musuh-musuh Islam, bukannya kerana hawa nafsu mahupun tanpa sebarang sebab.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply