#433 Memakan Daging Zonkey atau Zeedonk

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Kita mengetahui bahawa daging zebra adalah halal dimakan. Oleh itu, apakah hukum haiwan hasil kacukan antara zebra dan keldai, yang biasa dikenali sebagai zeedonk atau zonkey? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Mukadimah

Keldai liar merupakan salah satu daripada haiwan buruan yang halal dimakan. Malah para ulama telah menukilkan ijmak akan keharusan memakan dagingnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9, Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/203 dan Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/496).

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada riwayat Abu Qatadah, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَالمَدِينَةِ وَهُمْ مُحْرِمُونَ، وَأَنَا رَجُلٌ حِلٌّ عَلَى فَرَسٍ، وَكُنْتُ رَقَّاءً عَلَى الجِبَالِ. فَبَيْنَا أَنَا عَلَى ذَلِكَ، إِذْ رَأَيْتُ النَّاسَ مُتَشَوِّفِينَ لِشَيْءٍ، فَذَهَبْتُ أَنْظُرُ، فَإِذَا هُوَ حِمَارُ وَحْشٍ. فَقُلْتُ لَهُمْ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: لاَ نَدْرِي. قُلْتُ: هُوَ حِمَارٌ وَحْشِيٌّ. فَقَالُوا: هُوَ مَا رَأَيْتَ. وَكُنْتُ نَسِيتُ سَوْطِي، فَقُلْتُ لَهُمْ: نَاوِلُونِي سَوْطِي. فَقَالُوا: لاَ نُعِينُكَ عَلَيْهِ. فَنَزَلْتُ فَأَخَذْتُهُ. ثُمَّ ضَرَبْتُ فِي أَثَرِهِ، فَلَمْ يَكُنْ إِلَّا ذَاكَ حَتَّى عَقَرْتُهُ. فَأَتَيْتُ إِلَيْهِمْ، فَقُلْتُ لَهُمْ: قُومُوا فَاحْتَمِلُوا. قَالُوا: لاَ نَمَسُّهُ. فَحَمَلْتُهُ حَتَّى جِئْتُهُمْ بِهِ، فَأَبَى بَعْضُهُمْ، وَأَكَلَ بَعْضُهُمْ. فَقُلْتُ لَهُمْ: أَنَا أَسْتَوْقِفُ لَكُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَدْرَكْتُهُ فَحَدَّثْتُهُ الحَدِيثَ. فَقَالَ لِي: «أَبَقِيَ مَعَكُمْ شَيْءٌ مِنْهُ؟» قُلْتُ: نَعَمْ. فَقَالَ: كُلُوا، فَهُوَ طُعْمٌ أَطْعَمَكُمُوهُ اللَّهُ

Maksudnya:Aku bersama Nabi SAW di satu tempat di antara Makkah dan Madinah dan mereka sedang dalam keadaan berihram sedangkan aku tidak berada dalam keadaan berihram (dan aku sedang berada) di atas kuda serta (pada ketika itu) aku sedang mendaki gunung. Ketika aku sedang mendaki gunung, aku mendapati orang ramai sedang memerhatikan sesuatu, lalu aku pergi untuk melihatnya dan ternyata ia adalah keldai liar. Maka, aku bertanya kepada mereka: ‘Apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu.’ Aku berkata: ‘Ini ialah keldai liar.’ Mereka pun berkata: ‘Ia sebagaimana yang kamu lihat.’ Pada ketika itu, aku lupa (untuk mengambil) cemetiku, lalu aku pun berkata kepada mereka: ‘Berikan kepadaku cemetiku.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan membantumu untuk menangkapnya.’ Lalu aku turun dan mengambilnya (cemeti tersebut). Kemudian aku pergi menjejakinya dan terus (mengejarnya) sehinggalah aku berjaya (menangkapnya dan) menyembelihnya. Kemudian aku datang bertemu mereka dan aku berkata: ‘Bangunlah dan angkatlah ia.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan menyentuhnya.’ Lalu aku telah mengangkatnya sehinggalah aku membawanya kepada mereka. Sebahagian daripada mereka enggan (untuk memakannya) manakala sebahagian yang lain pula telah memakannya. Lalu aku berkata kepada mereka: ‘Aku akan meminta penjelasan untuk kamu daripada Nabi SAW.’ Setelah itu, aku telah bertemu dengan Baginda dan menyampaikan kepadanya mengenai kejadian itu. Baginda SAW bertanya kepadaku: ‘Adakah masih terdapat bersama kamu sesuatu daripadanya (lebihan daging tersebut)?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Baginda SAW bersabda: ‘Makanlah kerana ia adalah makanan yang Allah kurniakan kepada kamu semua.’

Riwayat al-Bukhari (5492)

Oleh itu, tidak ada syak lagi mengenai keharusan memakan daging keldai liar dan zebra termasuk dalam jenis keldai liar tersebut. Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk artikel kami dalam Tashih Mafahim yang bertajuk: #14 Maksud Keldai Liar.[1]

Begitu juga majoriti ulama berpendapat bahawa daging keldai jinak adalah haram untuk dimakan.(Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/6.) Malah, Ibn Qudamah ada menukilkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama Muslimin pada hari ini akan keharaman daging keldai jinak. Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan sahabat yang meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan pengharaman daging itu seperti Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin ‘Amr, Jabir, al-Bara’, Abdullah bin Abu Aufa, Anas dan Zahir al-Aslami dengan sanad-sanad yang sahih lagi baik. (Lihat al-Mughni, 9/407.)

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #420 Memakan Daging Keldai.[2]

Begitu juga mengenai keharusan memakan daging kuda. Imam al-Nawawi telah menyenaraikan sejumlah nama-nama ulama yang bersetuju dengan pendapat bahawa daging kuda adalah halal untuk dimakan serta tidak makruh memakannya. Antaranya ialah Abdullah bin al-Zubair, Fadhalah bin ‘Ubaid, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakar, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha‘i, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Daud dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/4.)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهى يَومَ خَيْبَرَ عن لُحُومِ الحُمُرِ الأهْلِيَّةِ، وَأَذِنَ في لُحُومِ الخَيْلِ

Maksudnya:Rasulullah SAW semasa perang Khaibar telah melarang daripada (memakan) daging keldai jinak, dan mengizinkan untuk memakan daging kuda.”

Riwayat Muslim (1941)

Definisi zonkey dan ciri-cirinya

Zonkey atau ia dikenali juga sebagai zeedonk (atau dieja zedonk), zebras, zebronkey, zebadonk, zenkey atau deebra ialah kacukan antara zebra dan keldai.[3] Zonkey ialah haiwan kacukan yang dihasilkan melalui pembiakan silang antara dua spesies yang berbeza tetapi berada dalam satu kumpulan genetik yang sama. Secara teknikalnya, individu haiwan tersebut hanya diklasifikasikan sebagai zonkey sekiranya benih jantan berasal daripada zebra dan benih betina pula berasal daripada keldai. Namun, jika benih jantan berasal daripada keldai, manakala benih betina pula berasal daripada zebra, ia dikenali sebagai zedonk.

Keldai dan zebra ialah haiwan yang saling berkait rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya tergolong dalam famili kuda. Oleh itu, kedua-dua spesies ini mempunyai sebilangan ciri-ciri yang hampir sama (serupa) termasuklah ukuran saiznya. Sekalipun zonkey cenderung untuk memiliki ukuran saiz yang sama dengan kedua-dua haiwan ini, tetapi penampilannya dilihat lebih cenderung kepada rupa keldai dengan corak garisan-garisan unik pada bulu mereka yang diwarisi daripada ibubapa kuda belang mereka. Zonkey biasanya berwarna coklat atau kelabu di bahagian bawah badannya dan pada beberapa bahagian badan yang lebih ringan seperti kaki dan perutnya di mana garis-garis gelap zonkey paling menonjol. Ia juga mempunyai bulu panjang berwarna hitam di sepanjang bahagian belakang atas badannya sehingga ke bahagian ekor. Zonkey juga mempunyai kepala dan telinga yang besar, menyebabkan ianya lebih menyerupai keldai berbanding zebra.[4]

Hukum daging zonkey atau zeedonk

Jika diteliti, sebenarnya perbahasan mengenai zonkey ini berkait rapat dengan perbahasan para ulama mengenai hukum daging baghal. Hal ini kerana baghal ialah binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan.[5] Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa daging baghal adalah haram di sisi ulama mazhab Syafi‘i, dan ini juga merupakan pendapat seluruh ulama melainkan al-Hasan al-Basri yang berpendapat daging baghal adalah harus — untuk dimakan. ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/8.)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata:

ذَبَحْنَا يَوْمَ خَيْبَرَ الْخَيْلَ، وَالْبِغَالَ، وَالْحَمِيرَ، فَنَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ البِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَلَمْ يَنْهَنَا عَنِ الْخَيْلِ

Maksudnya: “Pada waktu perang Khaibar, kami menyembelih kuda, baghal dan keldai jinak. Lalu Rasulullah SAW telah melarang kami daripada memakan daging baghal dan keldai jinak, tetapi tidak melarang kami daripada memakan daging kuda.”

Riwayat Abu Daud (3789)

Selain itu, Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa baghal haram dimakan kerana ia merupakan haiwan — yakni spesies — yang lahir daripada pengawanan antara haiwan yang halal dengan haiwan yang haram untuk dimakan. Jika haiwan itu lahir, hasil daripada pengawanan antara kuda dengan keldai liar, maka dagingnya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Tambahan lagi, disandarkan juga hukum baghal dari segi pengharaman (memakan dagingnya) bagi setiap haiwan yang lahir daripada hasil pengawanan antara haiwan yang boleh dimakan dengan tidak boleh dimakan seperti al-Sim‘u (السِّمْعُ).[6] Demikianlah juga hukumnya bagi keldai yang lahir, hasil daripada pengawanan antara keldai liar dengan keldai jinak, sama ada haiwan yang halal dimakan itu jantan ataupun betina. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/547-548.)

Tambahan pula, hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” ( Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400.)

Pendapat yang mengharamkan daging baghal juga merupakan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanbali. Ibn Qudamah menyebutkan bahawa baghal adalah haram untuk dimakan di sisi mereka yang mengharamkan daging keldai jinak kerana ia lahir daripadanya, dan apa yang lahir daripada sesuatu yang haram akan mengambil hukum haram tersebut. (Lihat al-Mughni, 9/326.)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa hukum baghal bergantung kepada hukum ibunya. Jika ibunya adalah keldai betina jinak, maka hukum dagingnya adalah makruh tahrim — yakni haram — kerana mengikut hukum ibunya. Namun, jika ibunya ialah kuda betina, maka terdapat perbezaan pendapat mengenainya sebagaimana pada hukum kuda iaitu Abu Hanifah berpendapat hukumnya adalah makruh, manakala dua murid kanannya pula — yakni Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan berpendapat hukumnya adalah harus. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/145.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami nyatakan bahawa hukum daging zonkey atau zeedonk ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

  • Jika ia lahir hasil daripada kacukan silang antara zebra dan keldai liar, maka kami berpendapat bahawa dagingnya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf kerana kedua-duanya berasal daripada haiwan yang halal untuk dimakan.
  • Namun, jika ia merupakan hasil kacukan pembiakan silang antara zebra dan keldai jinak, maka kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa dagingnya adalah haram untuk dimakan. Ini adalah pendapat yang lebih selamat dan berhati-hati.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/14-maksud-keldai-liar/.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/420-memakan-daging-keldai/.

[3] Lihat https://www.sciencedaily.com/terms/zeedonk.htm. Lihat juga  http://edition.cnn.com/2010/US/09/23/what.is.zedonk/index.html.

[4] Lihat https://a-z-animals.com/animals/zonkey/.

[5] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=baghal.

[6] Al-Sim‘u ialah haiwan yang lahir daripada pengawanan antara serigala dengan dubuk dan hukumnya adalah haram  untuk dimakan. (Lihat al-Mughni, 9/407-408)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *