Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ ceritakan serba sedikit berkenaan ibubapa Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Abdullah merupakan anak ‘Abd al-Muttalib yang terbaik, paling sopan dan paling disayangi oleh mereka. Dia dikenali sebagai al-Zabih kerana peristiwa yang terjadi kepadanya iaitu untuk dijadikan sebagai korban bagi memenuhi nazar bapanya. Kemudian, orang-orang Quraisy terutamanya bapa-bapa saudaranya dari sebelah ibunya serta Abu Talib cuba menghalang ‘Abd al-Muttalib daripada berbuat demikian. Akhirnya dicadangkan untuk dicabut undi antara Abdullah dan sepuluh ekor unta. Setiap kali undi dicabut, nama Abdullah yang keluar sehinggalah bilangan unta mencukupi 100 ekor, barulah undi nama ‘unta’ yang keluar. Lalu unta-unta tersebut disembelih sebagai ganti Abdullah.

Isteri Abdullah bernama Aminah binti Wahb bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Pada waktu itu, Aminah dianggap wanita Quraisy yang paling mulia dari segi nasab dan kedudukan. Selepas berkahwin, Abdullah dan Aminah tinggal di Makkah. Tidak lama selepas itu, ‘Abd al-Muttalib menghantar Abdullah pergi ke Madinah untuk mendapatkan bekalan-bekalan untuk mereka. Abdullah telah meninggal dunia di sana. Dikatakan beliau telah keluar berdagang ke Syam bersama-sama rombongan perdagangan Quraisy. Beliau singgah di Madinah dan jatuh sakit di sana, lalu meninggal dunia. Usianya ketika itu ialah 25 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di. Beliau wafat sebelum Rasulullah SAW dilahirkan, dan inilah pendapat terbanyak dalam kalangan ahli sejarah. Dikatakan, beliau wafat dua bulan selepas kelahiran Rasulullah SAW. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 43-44).

Sementara ibunya pula Aminah, ketika usia Baginda SAW enam tahun, dibawanya menziarahi kota Madinah untuk menziarahi bapanya Abdullah yang bersemadi di sana. Dalam perjalanan pulang, ketika berada di Abwa’ ibunya jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka jadilah Rasulullah SAW yatim piatu. Kemudian ianya dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib sehingga datuknya juga meninggal dunia dalam usia Baginda SAW lapan tahun. Kisah ini boleh dirujuk dalam buku kami iaitu Hayat al-Rasul SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply