#44: Berhala Manat

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan berhala Manat? Mohon penjelasan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ ﴿١٩﴾ وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ ‎

Maksudnya:(Setelah kamu — wahai kaum musyrik Makkah — mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa al-Lat dan al-‘Uzza (19). Serta Manat yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?[1]

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, setelah Allah SWT menyebutkan petunjuk dan agama yang benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta perintah untuk beribadah kepada-Nya dan mentauhidkan-Nya, seterusnya Allah SWT menyebutkan pula kebatilan jalan orang-orang musyrik, berupa ibadah mereka kepada sesuatu yang tidak memiliki kesempurnaan sifat dan juga tidak boleh memberi sebarang manfaat mahupun mudarat. Sebaliknya ia hanyalah nama-nama yang kosong daripada sebarang makna, yang mana nama itu diberikan oleh mereka (orang musyrikin) dan nenek moyang mereka yang jahil lagi sesat. Mereka mengada-ngadakan buatnya nama-nama yang batil yang tidak sepatutnya pun untuknya, lalu menipu diri mereka sendiri dan orang lain daripada kalangan mereka yang sesat. Justeru, sembahan seperti ini tidak berhak untuk disembah walau sedikitpun.

Sekutu-sekutu Allah SWT yang mereka namakan dengan nama-nama ini, mereka mendakwa ia diambil (yakni bersumberkan) daripada sifat-sifat-Nya. Mereka menamakan sebagai “al-Lat” yang berasal daripada “al-Ilah” (merupakan nama Allah) yang berhak untuk disembah, nama “al-‘Uzza” daripada “al-‘Aziz” (yang Maha Perkasa) dan nama “Manat” daripada “al-Manan” (yang Maha Pemberi), yang jauh menyimpang dari nama-nama dan berusaha untuk menyekutukan Allah dengan nama-nama tersebut. Oleh itu, sebenarnya nama-nama ini (yang diberikan itu) tidak memiliki sebarang makna. Maka, sesiapa sahaja yang memiliki akal sekalipun sedikit pasti akan mengetahui kebatilan sifat-sifat yang terdapat padanya.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Nasafi menyatakan, Manat ialah berhala batu milik kabilah Huzail dan Khuza‘ah. Dikatakan, ia milik kabilah Thaqif. Seolah-olah ia dinamakan sebagai Manat (مناة) kerana darah-darah sembelihan haiwan korban dialirkan di sisinya.[3]

Selain daripada itu, al-Zuhaili juga ada menyatakan bahawa Manat adalah berhala batu milik kabilah Huzail, Khuza‘ah, Aus dan Khazraj. Manat terletak di Musyalal berdekatan Qudaid yang terletak di antara Makkah dan Madinah. Pada zaman Jahiliyyah, kabilah Khuza‘ah, Aus dan Khazraj mengagungkan dan memuliakannya. Mereka akan singgah menyembah berhala ini dalam perjalanan menuju ke Makkah bagi menunaikan haji. Mereka juga menyembelih haiwan korban di sisi berhala tersebut.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Surah al-Najm: 19-20

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/819.

[3] Lihat Tafsir al-Nasafi, 3/392.

[4] Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/109.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *