#450 Bantu Bersihkan Rumah Ibadat Bukan Islam

Soalan

Adakah seorang Islam boleh membantu membersihkan rumah ibadah bukan Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

MaksudnyaDan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Hukum Membantu Orang Bukan Islam

Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan Islam, bantuan tersebut terbahagi kepada dua iaitu:

  • Kebajikan sosial dan Kemanusiaan

Dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.

Riwayat al-Tirmizi (1987)

Kalimah manusia di dalam hadith ini dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa, dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.

Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyebut:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah Al-Mumtahanah :8)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan berlaku baik kepada mereka serta berbuat adil terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. ( Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/90)

Daripada Asma’ binti Abi Bakar ra, katanya:

قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْتُ: وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُ أُمِّي؟ قَالَ: نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ.

Maksudnya: Ibuku datang kepadaku – dan saat itu dia masih musyrik – pada zaman Rasulullah SAW. Aku meminta fatwa kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan: “Sesungguhnya ibuku datang dan dia penuh harapan (untuk mendapatkan baktiku); apakah aku harus menyambung silaturrahim dengan ibuku?” Baginda bersabda: “Ya. Sambungkan silaturrahim dengan ibumu.”

Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim 1003

Daripada Zubair RA, katanya:

قَدِمَتْ قُتَيلة عَلَى ابْنَتِهَا أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ بِهَدَايَا: صِنَاب وَأَقِطٌ وَسَمْنٌ، وَهِيَ مُشْرِكَةٌ، فَأَبَتْ أسماء أن تقبل هديتها تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا، فَسَأَلَتْ عَائِشَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ:  (لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ) إِلَى آخِرِ الْآيَةِ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَقْبَلَ هَدِيَّتَهَا، وَأَنْ تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا

Maksudnya: “ Qutailah pernah datang menemui anak perempuannya, Asma binti Abu Bakar dengan membawa daging dhabb (biawak) dan minyak samin sebagai hadiah dan ketika itu dia wanita musyrik. Maka Asma pun menolak pemberiannya itu dan tidak memasukan ibunya ke dalam rumahnya. Kemudian Aisyah bertanya kepada Nabi SAW mengenai hal tersebut lalu Allah SWT menurunkan ayat “لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ” kemudian baginda menyuruh Asma menerima pemberian ibunya itu dan mempersilakannya masuk ke dalam rumahnya.”

Riwayat Ahmad (16111), al-Tayalisi (1744) dan al-Bazzar (2208). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (16111) menyatakan sanad hadith ini dhaif

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan islam yang tidak memerangi umat islam adalah dibenarkan di sisi syarak. Seorang muslim yang melihat orang bukan islam yang dalam kesusahan, maka dia perlu membantu orang bukan Islam tersebut. Sebagai contoh, seorang muslim melihat seorang bukan islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan islam tersebut. Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.

  • Urusan Agama Lain dan Kemaksiatan

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah menyatakan:

ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّهُ لاَ يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِ أَنْ يَعْمَل لأِهْل الذِّمَّةِ فِي الْكَنِيسَةِ نَجَّارًا أَوْ بَنَّاءً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ، لأِنَّهُ إِعَانَةٌ عَلَى الْمَعْصِيَةِ، وَمِنْ خَصَائِصِ دِينِهِمُ الْبَاطِل، وَلأِنَّهُ إِجَارَةٌ تَتَضَمَّنُ تَعْظِيمَ دِينِهِمْ وَشَعَائِرِهِمْ

Maksudnya: “Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak harus si muslim bekerja untuk orang kafir zimmi (yang ada hak tinggal dalam negara Islam) di gereja mereka sebagai tukang kayu, tukang bina atau selainnya kerana ia dikira menolong maksiat (kekufuran) bahkan asas utama agama mereka batil. Larangan itu kerana ia adalah upah yang mengandungi membesarkan agama mereka dan syiar agama mereka”. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 38/158)

Justeru, berdasarkan pendapat ini, membersihkan rumah ibadat orang bukan Islam adalah diharamkan juga sebagaimana diqiyaskan kepada pembinaan, pembaikian, pertukangan atau apa juga perlibatan kerja-kerja lain. Qiyasan tersebut berdasarkan wujudnya illah (sebab hukum) yang sama.

Dalam isu yang melibatkan amalan keagamaan agama lain, adalah tidak boleh untuk seorang yang beragama islam membantunya kerana ianya melibatkan syirik kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Janganlah kamu saling membantu di atas perkara dosa dan permusuhan.

(Surah Al-Ma’idah: 2)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Dan janganlah kamu bekerjasama dalam dosa dan permusuhan, yang merupakan hukum sesudah kejahatan, dan permusuhan, yang merupakan penindasan terhadap manusia. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/47)

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengharamkan bantuan dalam perkara-perkara dosa dan juga perkara yang melampaui batas yang telah Allah tetapkan termasuklah perbuatan membantu membersihkan rumah ibadat mereka yang terkesan dan kotor disebabkan oleh banjir dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa tidak ada masalah sekiranya bantuan yang diberikan kepada bukan Islam dalam bentuk bantuan kemanusiaan seperti membersihkan rumah-rumah mereka yang terkena banjir, memberikan bantuan makanan dan seumpamanya. Namun begitu, sekiranya bantuan tersebut melibatkan agama dan akidah seperti membersihkan rumah ibadat mereka adalah dilarang di dalam Islam sejajar dengan kaedah syarak yang mengharamkan segala bentuk kesyirikan dan menegah daripada apa jua bentuk kerjasama serta bantuan yang menjurus ke arah kesyirikan. Ia bertujuan untuk menutup ruang yang menampakkan seolah-olah orang Islam mengiktiraf agama mereka.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada terlibat dengan sebarang urusan kesyirikan.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *