#455 Susu Ibu adalah Suci

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah susu ibu itu suci atau tidak? Apakah hukumnya sekiranya ia terkena pada pakaian dan mendirikan solat dengan pakaian tersebut? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihan-Nya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan-haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya.  Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semula jadi. Adakah ada sesuatu yang secara tabiat semula jadinya boleh menukarkan kotoran yang dimakan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 443.)

Susu ibu

Susu ibu merujuk kepada susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamari ibu yang terletak di payudara. Susu yang dikeluarkan khusus untuk digunakan sebagai makanan kepada bayi. Susu ibu dilihat sebagai makanan awal dalam bentuk cecair yang mempunyai nilai gizi yang cukup baik berbanding susu-susu keluaran haiwan atau susu formula. Ia mudah dicernakan dengan baik walaupun diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 2 tahun. Dari segi keperluannya, bayi yang baru lahir amat diperlukan dan disarankan agar terus diberi makan hanya dengan susu ibu sehingga umur bayi menjangkau 6 bulan. Ibu yang telah melahirkan anak adalah amat bersesuaian untuk terus menggunakan susu yang keluar dari payu daranya untuk disusukan buat bayi kelahirannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu hanya dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya. Ini bemaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan kepada bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran. Pemberian makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan air minuman pun sudah cukup menyebabkan bayi akan mengalami masalah tumbesaran, masalah komplikasi penyakit dan tanda kemerahan atau alergi boleh berlaku. Namun selepas umur bayi melebihi 6 bulan, barulah makanan tambahan seperti bubur formula, susu skim, air minuman diberikan sebagai tambahan terhadap penyusuan terus susu ibu sehingga umur bayi sampai kepada 2 tahun. Namun keadaan berlarutan bagi susuan sehingga 2 tahun adalah bergantung kepada kehendak ibu dan bayi.[1]

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa susu ibu mengandungi kebaikan, bukan sahaja untuk bayi tetapi juga untuk ibu. Di antara kebaikan susu ibu untuk bayi ialah:

  • Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi dan kandungannya juga berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar.
  • Susu ibu, terutamanya kolostrum, menguatkan sistem imuniti bayi. Ia melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak anda.
  • Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu, ia tidak susah untuk disediakan.
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Manakala di antara kebaikan untuk ibu pula, penyusuan susu ibu:

  • membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya.[2]

Susu ibu adalah suci

Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa susu manusia adalah suci menurut mazhab Syafi‘i dan ia merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmati — yang merupakan salah seorang dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i — bahawa susu manusia adalah najis dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana adanya keperluan yang mendesak. Namun, pendapat ini tiada apa-apa nilai, bahkan sangat jelas akan kesilapannya. Beliau menukilkan pendapat seperti ini bertujuan agar berhati-hati daripada terpedaya dengan pendapat tersebut. Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum Muslimin telah ijma‘ akan kesucian susu manusia. Al-Ruyani juga ada menyebutkan, jika kita berpendapat dengan pendapat mazhab Syafi‘i bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus untuk diminum dan dijual. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/569.)

Begitu juga, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dan Habib Hasan al-Kaff turut menyebutkan bahawa susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai jinak dan seumpamanya adalah najis. Hal ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya dan dagingnya itu pula adalah dianggap najis — kerana tidak halal dimakan. Oleh itu, ia haram diminum kecuali susu manusia kerana sekalipun daging manusia haram dimakan tetapi susunya adalah bersih dan suci. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/40; 1/503 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 128.)

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyatakan bahawa susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Begitulah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk dikatakan ia berasal daripada najis. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)

Tambahan pula al-Mardawi turut menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama — tanpa perselisihan. (Lihat al-Insaf, 1/343.)

Solat dengan pakaian yang terkena susu badan

Apabila sudah sabit bahawa susu ibu itu adalah suci dan bukannya najis, maka solat yang didirikan dengan memakai pakaian yang terkenanya adalah dikira sah, sekalipun tidak mencucinya atau membersihkannya terlebih dahulu sebagaimana benda-benda suci yang lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa susu ibu adalah suci dan bukannya najis. Bahkan para ulama telah bersepakat dalam hal tersebut — yakni kesucian susu ibu. Justeru, tidak mengapa pakaian terkena dengannya dan solat yang didirikan dengan memakai pakaian itu juga adalah dikira sah sebagaimana benda-benda suci yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Susu_ibu. Diakses pada 3 Februari 2022.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/. Diakses pada 3 Februari 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *