Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah hikmah di sebalik perjanjian Hudaibiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan daripada kitab kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW di mana perjanjian ini berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah. Antara hikmahnya ialah seperti kata guru kami, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti:

Sesungguhnya perjanjian Hudaibiyah ini merupakan salah satu bentuk tadbir Ilahi (perancangan Ilahi) untuk menzahirkan tindakan kenabian dan pengaruhnya. Kejayaan perjanjian ini merupakan rahsia yang berkait rapat dengan perkara ghaib yang tersimpan di dalam pengetahuan Allah semata-mata. Oleh sebab itu, sebagaimana yang dapat dilihat, kaum Muslimin merasa hairan dan terperanjat melihat peristiwa tersebut kerana mereka lebih banyak bergantung kepada pemikiran dan pertimbangan mereka. Dari sinilah kami menganggap masalah perjanjian perdamaian ini, dengan segala muqaddimah, isi dan hasil-hasilnya termasuk dasar-dasar yang penting dalam meluruskan akidah Islamiah dan mengukuhkannya.

Antara hikmah yang nampak secara jelas, bahawa perjanjian Hudaibiyah ini merupakan muqaddimah bagi pembukaan kota Makkah. Perjanjian ini seperti sebagaimana disebut oleh Ibn al-Qayyim merupakan pintu dan kunci bagi pembukaan kota Makkah. Sudah menjadi ‘kebiasaan’ Allah, apabila menghendaki berlakunya suatu perkara besar, sentiasa memperlihatkan beberapa muqaddimahnya terlebih dahulu sebagai isyarat kepadanya. Meskipun umat Islam pada ketika itu tidak memahami isyarat tersebut, kerana masalah ini termasuk masa depan yang ghaib bagi mereka. Bagaimana mungkin mereka dapat memahami hubungan antara kenyataan yang mereka lihat dengan masalah ghaib yang belum pernah mereka bayangkan sama sekali? Tetapi, tidak lama kemudian, umat Islam merasakan kepentingan perjanjian ini dan sejumlah kebaikan yang terkandung di dalamnya. Dengan perjanjian ini, setiap orang merasa aman daripada gangguan orang lain. Umat Islam dapat lebih bebas untuk bergaul dengan orang-orang kafir bagi menyampaikan dakwah Islam dan memperdengarkan ayat-ayat al-Quran kepada mereka. Bahkan orang-orang yang sebelumnya menyembunyikan keislamannya, dengan perjanjian ini mereka berani menzahirkannya. Ibn Hisyam meriwayatkan daripada Ibn Ishaq, daripada al-Zuhri, katanya: Belum pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah Islam penaklukan (futuh) yang lebih besar daripada perjanjian Hudaibiyah. Sebelum itu, ia selalu dicapai melalui peperangan. Tetapi perjanjian Hudaibiyah ini telah berjaya menghindarkan peperangan dan memberikan keamanan kepada manusia sehingga mereka dapat melakukan dialog dan perundingan. Selama tempoh perjanjian ini, tidak seorang pun yang berakal sihat, yang diajak bicara tentang Islam kecuali segera masuk Islam. Selama dua tahun tersebut, orang-orang yang masuk Islam sebanyak jumlah orang-orang Islam sebelum peristiwa tersebut atau lebih banyak. Oleh sebab itu, al-Quran menyebut peristiwa ini dengan istilah Fath (kemenangan).

Antara hikmah yang lain, adalah dengan perjanjian tersebut, Allah ingin menzahirkan perbezaan yang sangat jelas antara wahyu kenabian dan perancangan pemikiran manusia, antara bimbingan (taufiq) Nabi yang diutus dan tindakan seorang pemikir genius, antara ilham Ilahi yang datang dari luar alam sebab-akibat dan memperturutkan isyarat sebab-akibat. Allah ingin memenangkan nubuwwat Nabi-Nya, Muhammad SAW di hadapan penglihatan setiap orang yang cerdas dan berfikiran mendalam. Barang kali ini merupakan sebahagian daripada penafsiran firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 3 (yang bermaksud): “Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat.” Yakni pertolongan yang unik caranya sehingga akan menyentakkan akal-akal yang lalai dan fikiran yang tertutup.

Selain itu, termasuk hikmah yang lain adalah bahawa Allah hanyalah ingin menjadikan penaklukan kota Makkah dengan cara damai dan penuh rahmat, bukan penaklukan yang menimbulkan tragedi dan peperangan. Penaklukan yang menjadikan umat manusia berduyun-duyun memeluk agama Allah dan menerima taubat orang-orang yang pernah menganiaya serta mengusir Nabi-Nya. Kerana itu, sebelumnya, Allah SWT mengatur dahulu muqaddimah ini, sehingga orang Quraisy menyedari akan dirinya dan bersama-sama para sahabat Nabi SAW mengambil pelajaran daripada perjanjian ini, sehingga pemikiran mereka telah matang dan bersedia untuk menerima kebenaran yang mutlak. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Ramadhan al-Buti, hlm. 294)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply