#468 Beza Sedekah, Infaq dan Wakaf

Soalan

Apakah beza sedekah, infaq dan wakaf?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sedekah merangkumi maksud zakat wajib, dan sedekah sunat, seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah:60)

Surah al-Taubah: 60. Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265) Maka, difahami bahawa kalimah ‘الصَّدَقَاتُ ’ di sini adalah merujuk kepada zakat.

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ’, maksudnya zakat yang fardhu, yang diberikan kepada lapan golongan tersebut. Huruf ‘lam’ dalam lafaz ini menunjukkan kewajiban memberikan zakat kepada mereka, dan bahawa ia khusus untuk mereka, tidak boleh diberikan kepada selain mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/491)

Makna Sedeqah

Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT

Sedeqah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. (Lihat al-Ta`rifat, 1/132)

Manakala Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang apa yang engkau berikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Begitu juga keterangan hadith dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ

Maksudnya: Kefardhuan sedekah (zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin.

Riwayat al-Bukhari (1454)

Makna Infaq

Infaq menurut al-Jurjani bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. (Lihat al-Ta`rifat, 1/39)

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: (Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunakan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.

(Surah al-Baqarah: 3)

Imam al-Tobari menyatakan, perkataan ‘ينفقون’ dalam ayat ini merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung (Lihat Jami’ al-Bayan, 1/244). Justeru, sedeqah dan infaq itu ialah sinonim.

Makna Wakaf

Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359).

Wakaf  pada bahasa juga bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Wakaf dari segi istilah juga adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.” 

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Kesimpulan

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa pengertian infaq dan sedekah memiliki maksud zakat wajib, sedekah sunat, dan wakaf. Manakala wakaf ialah pengertian yang lebih khusus kepada amalan wakaf.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Februari 2022 bersamaan 12 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *