#470 Belanja Makan Kerana Dapat Tender

Soalan

Adakah dibolehkan syarikat kontraktor yang mendapat tender kerajaan yang didapati secara tender terbuka untuk belanja makan kepada semua staf pejabat tersebut yang memberikan tender tersebut kepada kontraktor sebagai tanda terima kasih? Adakah ianya dikira sebagai rasuah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Rasuah boleh ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:

  • Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  • Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  • Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
  • Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, rasuah ditakrifkan dengan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/220)

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.”  (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626)

Dalam sebuah hadith, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

Riwayat Abu Dawud (3580), al-Tirmizi (1337)  dan Ibn Majah (2313)

Berdasarkan persoalan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan tersebut seharusnya ditinggalkan kerana mengandungi unsur syubhah yang boleh menjerumuskan ke kancah rasuah. Antara perincian dan nasihat kami:

  • Isu seperti ini perlu dilihat kepada niat. Kaedah menyatakan:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Hukum bagi suatu perkara itu tertakluk kepada tujuannya.

  • Mengikut kepada sifat warak, alangkah baiknya seseorang itu menjarakkan dirinya daripada perkara yang syubhah.
  • Jauhilah pemberian yang boleh disalahtafsirkan sebagai rasuah.
  • Lihatlah kepada maksud terma rasuah menuruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih mengetahui terma dan perundangannya.
  • Kami berdoa supaya Allah SWT menyelamatkan kita dari sebarang bentuk rasuah dan juga syubhat di sekelilingnya. Renungilah hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan. 

Riwayat Al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Februari 2022 bersamaan 12 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=478

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *