#475 Cara Menghalang Jin dan Syaitan daripada Melihat Aurat Manusia

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara paling mudah untuk menghalang jin dan syaitan itu daripada melihat aurat kita, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang memerlukan kita untuk membuka aurat kerana suatu keperluan seperti ingin buang air, menyalin pakaian dan seumpamanya?  Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah al-A‘raf: 27)

Secara umumnya, ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa jin dan syaitan itu dapat melihat aurat anak Adam. Begitu juga hal ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith yang mengandungi perintah agar membaca basmalah ketika membuka pakaian mahupun memasuki tandas, agar terhindar daripada pandangan mata syaitan. Hal ini kerana jika tidak, maka tiada faedah perintah yang terkandung dalam hadith tersebut. Perkara ini juga kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #472 Jin dan Syaitan Dapat Melihat Aurat Manusia.[1]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, pertamanya, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita untuk sentiasa mengiringi setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah. Perkara ini dapat dilihat melalui hadith-hadith, antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam ketika membuka pakaian adalah membaca bismillah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2504)

Selain itu, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam, ketika memasuki kanif — yakni tempat buang air — adalah membaca bismillah.”

Riwayat Ibn Majah (297); al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.

Mengenai hal ini, al-Mubarakfuri menukilkan pendapat al-Munawi yang menyatakan, sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184.)

Selain itu, Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani juga ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan suatu hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali R.A. Hikmahnya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103.)

Demikian juga dituntut oleh seorang suami itu untuk membaca basmalah meskipun dalam soal mengadakan hubungan intim dengan isterinya. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ

Maksudnya:Sekiranya salah seorang dari kamu mendatangi isterinya lalu dia membaca: ‘بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا’ (Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami), maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan memberi kemudaratan kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (141)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, antara faedah yang terdapat dalam  hadith ini adalah anjuran membaca basmalah, berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri. Selain itu, ia memberikan isyarat bahawa syaitan itu sentiasa melazimi anak-anak Adam dan tidak akan berpaling daripada mereka melainkan setelah dibaca zikrullah. Di samping itu, ia juga menunjukkan suatu tuntutan ke atas seseorang itu sentiasa memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada segala bentuk kejahatan dalam urusan dunianya dan juga urusan akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 9/136.)

Keduanya, sebagai seorang Muslim dan Muslimah, kita hendaklah sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Terdapat riwayat daripada Bahz bin Hakim, daripada bapanya, daripada datuknya, beliau berkata:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: «احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ»، فَقَالَ: الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ؟ قَالَ: «إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ»، قُلْتُ: وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا، قَالَ: فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ

Maksudnya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Baginda menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Lalu beliau bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Aku bertanya lagi: “Jika lelaki berada dalam keadaan sendirian?” Baginda menjawab: “Maka Allah lebih berhak untuk engkau bersikap malu terhadap-Nya.”

Riwayat al-Tirmizi (2769)

Hal ini adalah sebagaimana dinukilkan bahawa ulama mazhab Hanafi — mengikut pendapat yang sahih, — ulama mazhab Syafi‘i dan ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa wajib untuk menutup aurat sekalipun bersendirian (berada di tempat yang sunyi) dan jauh daripada pandangan manusia. Manakala menurut ulama mazhab Maliki, hukumnya adalah sunat untuk menutup aurat sendiri ketika bersendirian dan ia dituntut sebagai sikap malu kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya. Adapun jumhur ulama pula, mereka berhujahkan bahawa arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak dan juga kerana Allah SWT itu lebih layak seseorang itu untuk malu terhadap-Nya sebagaimana hadith Bahz bin Hakim yang telah dinyatakan di atas. Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapatnya keperluan seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/176.)

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa di antara cara yang terbaik bagi menghalang pandangan mata syaitan dan jin daripada melihat aurat kita adalah dengan basmalah dan memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada perkara tersebut. Hal ini kerana sekalipun syaitan dan jin itu boleh melihat kita dalam semua keadaan, sama ada kita sedang memakai pakaian atau menanggalkannya, ketika sedang menunaikan hajat di dalam tandas, mandi, makan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tertakluk dengan izin Allah SWT. Oleh sebab itu, jika Allah tidak mengizinkannya, maka mereka sama sekali tidak akan dapat melihat aurat anak Adam.

Atas dasar itu jugalah, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita doa-doa dan memerintahkan kita agar sentiasa mengiringi setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita dengan doa dan bacaan basmalah. Hal ini kerana bacaan basmalah itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. Oleh itu, mulakan terlebih dahulu setiap aktiviti atau apa-apa sahaja perkara — yang diharuskan — dengan basmalah sekalipun bukan kerana mahu masuk tandas atau menanggalkan pakaian kerana Nabi SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”

Riwayat Ahmad (8712)

Selain itu, kami juga ingin menasihatkan semua agar sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Seterusnya, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita merupakan hamba Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi kita dan hanya kepada-Nya sahajalah kita memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan menjaganya — yakni beramal dengannya — merangkumi setiap aktiviti siang malam.

Di sana terdapat doa-doa lain yang boleh di amalkan dalam kehidupan seharian, yang boleh menjadi pendinding atau penghalang daripada pandangan mata jin dan syaitan terhadap aurat kita serta perbuatan jahat mereka. Untuk itu, kami sarankan kepada sidang pembaca sekalian agar merujuk kepada kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim atau Perisai Muslim yang telah banyak diterjemahkan ataupun buku-buku himpunan doa lain seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/472-jin-dan-syaitan-dapat-melihat-aurat-manusia/. Diakses pada 15 Februari 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *