Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah musuh berasa takut kepada Nabi SAW sejarak sebulan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
سَنُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ بِمَا أَشْرَكُوا بِاللَّهِ
Maksudnya: “Kami akan masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah”
(Surah Ali ‘Imran: 151)
Sebahagian ahli tafsir menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan, maksudnya Allah SWT akan memenuhi hati mereka (orang kafir) dengan rasa takut dan risau. Hal ini kerana mereka menjadikan sembahan-sembahan untuk untuk mempersekutukan Allah dalam ibadah, padahal Allah tidak pernah menurunkan sesiapapun untuk menjadi sekutu-Nya sebagai hujah, penjelasan dan bukti. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 87).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, dicampakkan rasa takut ke dalam hati musuh terhadap Rasulullah SAW dalam jarak sebulan perjalanan.
Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ
Maksudnya: “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. (Pertama) Aku diberi pertolongan dengan dicampakkan perasaan takut dalam hati musuh sejauh sebulan perjalanan. (Kedua) Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya. (Ketiga) Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan buat aku. (Keempat) Seseorang nabi itu selalunya diutuskan untuk kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan untuk manusia seluruhnya. Dan (kelima) Aku diberi hak keistimewaan untuk memberi syafaat (kepada umatku).”
Riwayat al-Bukhari (438)
Bahkan Imam al-Bukhari telah menamakan salah satu bab dalam kitab sahihnya sebagai “بَابُ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ” iaitu Bab: Sabda Nabi SAW: “Aku ditolong dengan (Diberikan) Rasa Takut (Dalam Hati Musuh) Dalam Jarak Sebulan Perjalanan.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/54).
Kemudian Imam al-Bukhari membawakan pula dua hadith di bawah bab berkenaan. Di antaranya, riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الكَلِمِ، وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ، فَبَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِمَفَاتِيحِ خَزَائِنِ الأَرْضِ، فَوُضِعَتْ فِي يَدِي. قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: وَقَدْ ذَهَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنْتُمْ تَنْتَثِلُونَهَا
Maksudnya: “Aku diutus dengan ‘jawami’ al-kalim’ (kata-kata yang ringkas mempunyai makna yang mendalam) dan aku ditolong dengan didatangkan perasaan takut (di hati musuh). Ketika aku sedang tidur dikurniakan kepadaku kunci-kunci khazanah bumi (kemenangan) lalu diletakkan di kedua-dua tanganku.” Abu Hurairah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah pergi (wafat) dan (sekarang) kamulah yang mengeluarkan khazanah itu.”
Riwayat al-Bukhari (2977)
Begitu juga riwayat daripada Abu Sufyan, katanya:
أَنَّ هِرَقْلَ أَرْسَلَ إِلَيْهِ وَهُوَ بِإِيلِيَاءَ، ثُمَّ دَعَا بِكِتَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَةِ الكِتَابِ كَثُرَ عِنْدَهُ الصَّخَبُ، فَارْتَفَعَتِ الأَصْوَاتُ، وَأُخْرِجْنَا فَقُلْتُ لِأَصْحَابِي حِينَ أُخْرِجْنَا: لَقَدْ أَمِرَ أَمْرُ ابْنِ أَبِي كَبْشَةَ إِنَّهُ يَخَافُهُ مَلِكُ بَنِي الأَصْفَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Hercules mengirim utusan kepadanya untuk memanggilnya mengadap ketika berada di Iliya’, kemudian Hercules meminta untuk dibawakan surat dari Rasulullah SAW. Ketika selesai membaca surat tersebut, terjadi riuh rendah di sisinya (bunyi pekikan dan tempikan), dan suara-suara meninggi lalu kami dikeluarkan. Aku berkata kepada para sahabatku ketika kami dikeluarkan: ‘Sesungguhnya telah besarlah urusan Ibn Abi Kabsyah (yakni Rasulullah SAW). Sesungguhnya dia ditakuti oleh Raja Bani al-Asfar (bangsa berkulit kuning atau bangsa Rom).’”
Riwayat al-Bukhari (2978)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”