#482 Doa Hidayah Kepada Orang Bukan Islam

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah kita mendoakan kepada orang bukan Islam seperti mendoakan kepadanya agar diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Doa

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: 60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 24/183)

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

MaksudnyaDan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

Riwayat Abu Daud (1479)

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah SWT buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah SWT turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Ibnu Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufyan al-Thauri:

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya:Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/366)

Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Definisi Hidayah

Al-Raghib al-Asfahani menyebut bahawa lafaz hidayah memiliki empat tingkatan, iaitu:

  • Hidayah umum, iaitu hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap mukallaf berupa kecerdasasan akal dan sejumlah pengetahuan asas.
  • Hidayah yang berupa seruan Allah SWT terhadap manusia melalui perantaraan Rasul-Nya.
  • Taufik, iaitu hidayah Allah SWT yang diberikan kepada semua manusia yang dapat membawanya kepada kebahagiaan.
  • Hidayah Allah SWT yang diberikan kepada para hamba-Nya sehingga di akhirat, dia dapat memperoleh syurga. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 536)

Manakala Ibn al-Qayyim membahagikan hidayah kepada empat bentuk, iaitu:

  • Hidayah umum yang diberikan kepada seluruh makhluk, sama ada haiwan atau manusia untuk suatu maslahat tertentu.
  • Hidayah dalam dilalah (petunjuk), bayan (penjelasan) dan ta’rif (pemberian pengertian).
  • Taufiq, iaitu kecenderungan hati terhadap sesuatu yang berharga, yang disertai dengan kemampuan fizikal untuk meraihnya.
  • Petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT di akhirat kepada orang-orang yang taat kepada-Nya. (Lihat Miftah Dar al-Sa‘adah, 1/85)

Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi pula membahagikan hidayah Allah SWT untuk manusia dalam empat bentuk, iaitu:

  • Hidayah al-Ilham (petunjuk ilham), iaitu dalam bentuk naluri yang dibawa oleh setiap manusia sejak kelahirannya, seperti bayi yang baru lahir, meskipun tanpa belajar, dia dapat menyusu pada ibunya.
  • Hidayah al-Hawas (petunjuk pancaindera), iaitu berupa pendengaran, penglihatan dan seumpamanya. Namun, hidayah dalam bentuk ini belum dapat membawa manusia kepada kebenaran, kerana kemampuannya sangat terbatas. Disebabkan itu, Allah SWT menyempurnakan hidayah ini dengan hidayah akal.
  • Hidayah al-‘Aql (petunjuk akal), iaitu berupa kemampuan akal untuk berfikir, memahami dan mengetahui sesuatu, yang akan dapat membawanya kepada kebenaran dan keselamatan hidup. Al-Quran menganjurkan manusia untuk memerhatikan segala sesuatu di sekitarnya, dan memikirkan dan memahami ciptaan Allah SWT untuk memantapkan keimanannya. Namun, ia tetap memerlukan kepada hidayah al-din yang merupakan kurniaan Allah yang terbesar.
  • Hidayah al-Din wa al-Syara’i’ (petunjuk agama dan syariat), iaitu berupa wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk disampaikan kepada umatnya atau kepada manusia seluruhnya, sebagai pedoman hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Di samping hidayah umum di atas, terdapat juga hidayah yang khusus, yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang tertentu, yang akan menjadikan keimanan dan ketakwaan lebih mantap. Hidayah seperti ini boleh wujud dalam bentuk taufiq, ma’unah (pertolongan Allah SWT terhadap orang beriman) dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/29)

Allah SWT berfirman:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

(Surah al-Qasas: 56)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)

Dalam mendefinisikan hidayah, maka perlu juga difahami tentang taufik, di mana kedua-duanya mempunyai pengertian yang hampir sama, namun terdapat sedikit perbezaan antara kedua-duanya.

Guru kami, Fadilatu al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti berkata: “Hidayatu al-Taufiq khusus untuk Allah, tidak diberikan kepada nabi yang diutuskan atau malaikat yang hampir. Justeru, Nabi Nuh sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim kepada bapanya – walaupun kepada anak atau ayahnya.”

Imam Ibn Rajab al-Hanbali membahagikan hidayah kepada dua:

  • Hidayah yang bersifat mujmal, iaitu hidayah kepada agama Islam dan iman, yang ini dianugerahkan-Nya kepada setiap muslim.
  • Hidayah yang bersifat khusus dan terperinci, iaitu hidayah untuk mengetahui perincian cabang-cabang iman dan islam, serta pertolongan-Nya untuk mengamalkan semua itu. Hidayah ini sangat diperlukan oleh setiap mukmin siang dan malam.” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 225)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT merakamkan kata-kata Nabi Syu’aib AS:

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ

Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.

(Surah Hud: 88)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3250)

Ibnu al-Qayyim menyebut, bahawa taufiq itu ialah iradat Allah yang datang dari-Nya sendiri terhadap hamba-Nya untuk melakukan yang baik, diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhai-Nya, didorong oleh kecintaan kepada-Nya.

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Dalam bahasa yang lain, hidayah al-taufiq dengan maksud Allah jadikan petunjuk dalam hatinya yang akhirnya dapat dilaksanakan sebarang bentuk kebaikan dan kesolehan. Justeru, kami katakan, hidayah bersifat umum sedangkan taufiq bersifat khusus berdasarkan kepada nas Ilahi bahawa taufiq dan hidayah adalah milik Allah. Justeru, kami dapati hakikat hidayah taufik merupakan milik Allah yang wajib kita mohon kepada-Nya.

Mendoakan Orang Bukan Islam dengan Doa Hidayah

Berdoa kepada orang bukan Islam dengan mendoakan mereka agar diberi petunjuk dan hidayah adalah dibolehkan. Antara dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya. Tufail berkata:

إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya“Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”

Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Maksudnya“Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”

Riwayat al-Bukhari (2937) dan Muslim (2524)

Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk bab untuk hadis ini dalam kitab sahihnya dengan: “بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ” (Bab mendoakan kebaikan untuk orang musyrik dalam bentuk permohonan hidayah supaya dapat melembutkan hati mereka).

Imam Nawawi berkata: “Jika seseorang memberi ucapan penghormatan kepada kafir zimmi dengan ucapan selain ucapan salam, maka al-Mutawalli dan al-Rafi’i membolehkan perkara ini. Misalnya, seseorang mengucapkan kepada non Muslim ‘semoga Allah memberi hidayah untukmu’ dan ‘semoga Allah memberi nikmat kepadamu di pagi ini’, maka itu tidak ada masalah.” (Lihat al-Majmu’, 4/607-608)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, katanya:

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

MaksudnyaDahulu orang-orang Yahudi bersin berhampiran Nabi SAW dengan harapan Nabi SAW berdoa kepada mereka: يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ” (Semoga Allah merahmati kamu). Namun doa yang diucapkan Nabi SAW ialah: “يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi hidayah/petunjuk kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu).

Riwayat Ahmad (15986), al-Tirmizi (2739), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (940) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (8908).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Adapun dari sudut syarak, maka hadis Abi Musa menunjukkan bahawa mereka termasuk dalam mutlaq perintah untuk menjawab bagi orang bersin. Tetapi bagi mereka (orang bukan Islam), dikhususkan doa untuk mereka hidayah dan baik keadaan mereka. Maka keadaan itu tidaklah ditegah. Berlainan dengan menjawab bersin orang Islam. Ini kerana mereka berhak mendapat doa dan rahmat. (Lihat Fath al-Bari, 10/604)

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dan menyebut pada akhirnya: “Dan janganlah seseorang dari kalangan orang Islam berkata kepada mereka ‘يرحمكم الله’. Ini kerana rahmah dikhususkan kepada orang yang beriman. Tetapi hendaklah dia berdoa untuk mereka dengan apa yang membawa kebaikan seperti hidayah, taufik dan iman.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/10)

Al-Imam al-Qarafi berkata: “Adapun perintah untuk berbuat baik kepada mereka (non Muslim) dengan dasar tanpa ada rasa cinta di dalam hati, menyayangi mereka yang lemah, menyantuni orang fakir mereka, memberi makan mereka yang lapar, memberikan pakaian kepada mereka yang tidak berpakaian, berkata santun kepada mereka atas dasar kelembutan dan kasih sayang, bukan dengan jalan ketakutan dan penghinaan, bersabar atas gangguan dari mereka dalam bertetangga, dan berusaha untuk menghilangkannya, sebagai bentuk kelembutan kita kepada mereka, bukan kerana takut dan bentuk pengagungan, mendoakan mereka agar mendapat hidayah, menjadikan mereka termasuk yang berbahagia, menasihati mereka pada semua urusan mereka sama ada pada urusan agama mahupun urusan dunia, menjaga harta, keluarga, kehormatan mereka pada semua hak dan kemaslahatan mereka, berusaha untuk mencegah kezaliman menimpa mereka, menyampaikan hak-hak mereka, semua kebaikan yang baik dilakukan dari atas ke bawah maka lakukanlah, semua itu termasuk akhlak yang mulia.

Semua yang kita lakukan kepada mereka sebaiknya dilakukan dari sisi ini, bukan dalam bentuk kemuliaan dan pengagungan dari kita. Juga bukan mengagungkan mereka dan menghinakan diri kita sendiri dengan semua amalan yang dilakukan di atas.” (Lihat al-Furuq, 3/15)

Kesimpulan

Berdasarkan nas di atas, berdoa untuk orang bukan Islam adalah dibolehkan tetapi mempunyai dawabit dan asbab yang telah kita nyatakan.

Kami juga pernah mengemukakan pandangan kami berkaitan isu yang hampir sama dalam beberapa siri tulisan kami sebelum ini, yang berkaitan dengan Fiqh al-Ta‘ayush. Hal ini supaya kehidupan bermasyarakat yang dibina antara orang Islam dan non Muslim terzahir keharmonian dan suasana yang aman damai tanpa prasangka yang boleh mengakibatkan dan memarakkan api permusuhan sesama Islam dan non Muslim. Ini merugikan sesebuah bangsa dan negara yang akhirnya kehidupan menjadi kucar-kacir dan tiada lagi cahaya keamanan serta keharmonian.

Kami berdoa kepada Allah, semoga kita dapat hidup dalam keadaan penuh ketenangan dan keharmonian, yang akhirnya boleh membawa kepada sinar kebahagiaan. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *