#483 Menulis Al-Quran dengan Abjad Roman/Latin

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum menulis al-Quran dengan abjad Roman atau Latin? Jika kita lihat, terdapat sebahagian orang pada zaman kini yang menulis, membaca dan ada juga menerbitkan tulisan al-Quran menggunakan tulisan Roman / Latin ini. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Huruf / Abjad Latin

Menurut Kamus Dewan, abjad adalah huruf-huruf dalam sesuatu bahasa yang disusun mengikut urutan tertentu seperti A, B, C hingga Z bagi tulisan Rumi.[1] Huruf pula ialah lambang dalam sistem bunyi (bahasa) yang daripadanya sesuatu perkataan dalam tulisan dibentuk. Huruf Rumi (Rumawi) pula ialah huruf seperti yang digunakan dalam tulisan Rumi bahasa Melayu (yakni A, B, C, D, dan seterusnya).[2]

Alfabet Latin, Aksara Latin, Huruf Latin, atau Aksara Romawi adalah alfabet yang pertama kali digunakan oleh orang Romawi untuk menuliskan bahasa Latin kira-kira sejak abad ke-7 Sebelum Masihi. Mereka belajar menulis dari orang-orang Etruria, manakala orang Etruria belajar daripada orang Yunani. Alfabet Etruska merupakan adaptasi dari alfabet Yunani. Menurut hipotesis, semua aksara alfabetis tersebut berasal dari abjad Fenisia, dan abjad Fenisia berasal dari hieroglif Mesir.Pada saat ini, alfabet Latin adalah aksara yang paling banyak dipakai di dunia untuk menuliskan pelbagai bahasa. Beberapa negara mengadopsi dan memodifikasi alfabet Latin sesuai dengan fonologi bahasa mereka, kerana tidak semua fonem dapat dilambangkan dengan huruf Latin.[3]

Definisi al-Quran

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49)) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Definisi Terjemahan

Kami mendapati bahawa isu ini termasuk di bawah isu menterjemahkan al-Quran. Kami merujuk definisi terjemahan daripada kitab Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran tulisan oleh al-Allamah Syeikh Muhammad Abdul Azim al-Zurqani:

التعبير عن معاني ألفاظه العربية ومقاصدها بألفاظ غير عربية مع الوفاء بجميع هذه المعاني والمقاصد

Maksudnya: “Pengungkapan akan makna-makna bagi lafaz-lafaz al-Quran yang berasal daripada bahasa Arab dan tujuan-tujuannya dengan lafaz-lafaz yang bukan bahasa Arab supaya bertepatan dengan semua makna-makna dan tujuan-tujuan al-Quran.” (Lihat Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran, 2/144)

Kita boleh dibahagikan kepada tiga jenis:

  1. Terjemahan secara harfiah
  2. Terjemahan secara makna
  3. Terjemahan secara fonetik

Kami akan huraikan pembahagian ini secara satu persatu supaya kefahaman boleh menjadi lebih jelas.

Pertama: Terjemahan secara harfiah

Syeikh al-Zurqani berkata selepas menyatakan definisi terjemahan al-Quran sebelum ini:

إن لاحظ في هذه الترجمة ترتيب ألفاظ القرآن فتلك ترجمة القرآن الحرفية أو اللفظية أو المساوية

Maksudnya:Jika terjemahan itu berlaku secara teliti mengikut tertib lafaz-lafaz al-Quran maka itu dianggap menterjemahkan al-Quran secara harfiah, literal dan persamaan.”

Terjemahan secara harfiah ini dilarang kerana kerana al-Quran itu bersifat bahasa Arab yang mu`jiz (mengalahkan) pada susunannya dan tidak mampu seseorang pun untuk mendatangkan semisal dengannya, sama ada dalam bahasa Arab juga atau pun dalam bahasa lain. Firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُواْ بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لاَ يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

(Surah al-Isra’: 88)

Firman Allah SWT:

وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ * نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ * عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ * بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

(Surah al-Syu`ara’: 192-195)

Firman Allah SWT:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Maksudnya: Dan sebagaimana (Kami tetapkan engkau hanya penyampai), Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab…

(Surah al-Syura: 7)

Firman Allah SWT:

لِسَانُ الَّذِي يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: “Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

(Surah al-Nahl: 103)

Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya pada jawapan terhadap orang musyrikin dalam ayat di atas: “Bagaimanakah mungkin seseorang (yakni Rasulullah SAW) yang membawakan al-Quran, sedangkan dalamnya terkandung kefasihan dan balaghah, dan makna-maknanya yang lengkap dan menyeluruh, dan memiliki makna yang paling sempurna melebihi kitab-kitab lain yang pernah diturunkan, dikatakan belajar daripada seorang lelaki yang ajam (bukan berbangsa) Arab. Hal ini tidak dituturkan oleh orang yang waras akalnya!” 

(Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 4/603)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa Allah SWT sengaja menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab kerana seni bahasa dan susunan yang terdapat dalamnya itu mampu mengalahkan pertuturan manusia. Jika ia diterjemahkan kepada bahasa lain, maka hilanglah mukjizat al-Quran, dan inilah yang berlaku kepada agama Yahudi dan Nasrani apabila para rahib mereka menukar ayat-ayat Allah mengikut hawa nafsu. Natijahnya, terhasillah pelbagai versi terjemahan Injil dan Taurat yang tidak selari antara satu sama lain setelah diterjemahkan daripada bahasa Ibrani.

Imam Jalaluddin al-Suyuti menukilkan dalam kitabnya al-Itqan fi Ulum al-Quran “(Imam) Malik pernah ditanya: Adakah boleh ditulis akan mushaf itu menggunakan abjad hija’iyyah seperti mana yang dibuat orang? Beliau menjawab: Tidak boleh, melainkan dengan cara penulisan yang pertama (yakni dengan gaya Rasm Uthmani). Kenyataan ini meriwayatkan akan dia oleh al-Dani dalam al-Muqni` kemudian dia berkata: Dan tiada ada sesiap yang menyelisihi pandangan Malik ini seorang pun daripada kalangan ulama umat Islam.” (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran (4/168):)

Perkara yang sama juga disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dan beliau menambah: Apabila sudah berlakunya ijma’, seperti mana yang kamu lihat, pada larangan ke atas orang yang menulis kalimah riba dengan huruf alif (yakni الربا , tetapi di dalam mushaf Rasm Uthmani ditulis الربوا) yang sesuai dengan kaedah abjad hija’iyyah, maka dalam kes penulisan menggunakan bahasa selain abjad tersebut lebih kuat lagi larangannya.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/38)

Beliau menyambung: “Dan juga pada penulisan dengan huruf-huruf ajam (bukan Arab) itu ialah suatu campur tangan dalam lafaz al-Quran yang mu’jiz (seni bahasa yang hebat tidak terkalah) menyebabkan tersebut ialah al-tahaddi – suatu cubaan mencabar al-Quran.”

Akan tetapi yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie seperti mana yang ditulis di dalam Fath al-Mui’n, adalah haram menulis al-Quran dengan huruf bukan Arab walaupun tanpa perubahan makna. ( Lihat I`anah al-Talibin (1/83).)

Kedua: Terjemahan secara makna

Berkata Syeikh al-Zurqani lagi:

وإن لم يلاحظ فيها هذا الترتيب فتلك ترجمة القرآن التفسيرية أو المعنوية

Maksudnya: “Dan jika penterjemahan itu tidak berlaku secara teliti pada tertib maka itu dinamakan penterjemahan al-Quran secara tafsir dan maknawi.”

Penterjemahan jenis ini diharuskan bahkan dituntut oleh syarak. Ini kerana pada hakikatnya ialah tafsir kepada al-Quran dalam bentuk yang bukan menggunakan bahasa Arab. Ini juga perlu berlaku dengan syarat tidak terkeluar daripada kaedah-kaedah tafsir yang muktabar sehingga makna-maknanya terpelihara.

Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Mandili (w.1385H) Rahimahullah: “Dan adalah ayat al-Quran yang di dalam syarah (matan Aqidah Tahawiyyah) ini tiadalah hamba terjemah akan dia,  bahkan hamba naqal akan tafsirnya.” Di dalam nota kaki disebut, ‘kerana haram diterjemahkan akan Quran’. (Lihat Perisai Bagi Sekalian Mukallaf, hlm. 4)

Ketiga: Terjemahan fonetik

Terjemahan jenis ini adalah penulisan teks-teks Arab bagi al-Quran dalam bahasa lain yang bertujuan untuk membantu pembaca yang bukan Arab untuk menyebut dengan sebutan Arab. Sebahagian ulama mengharuskannya. Imam Syihabuddin al-Ramli apabila ditanya adakah diharamkan menulis al-Quran dengan qalam (penulisan) India atau selainnya. Maka dijawab hukumnya adalah tidak diharamkan kerana penulisan itu menunjukkan kepada lafaznya yang berbahasa Arab dan tiada padanya sebarang perubahan bagi al-Quran. Akan tetapi menterjemah al-Quran adalah haram selain daripada bahasa Arab kerana hal itu menyebabkan perubahan bagi al-Quran. (Lihat Fatawa al-Ramli, 1/23)

Imam al-Syarwani juga menyebut dalam Hasyiah-nya ke atas kitab Tuhfah al-Muhtaj ketika menghuraikan hukum menyentuh mushaf: “Dan diharuskan untuk menulis al-Quran tanpa menggunakan bahasa Arab, tetapi ditegah untuk membacanya menggunakan bahasa selain Arab.” Yakni membaca dengan lisan, bukan dengan hati. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/154)

Dalam bahasa moden, kaedah ini bolehlah disebut sebagai kaedah transliterasi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘transliterasi’ bererti: “Penukaran huruf (perkataan dan sebagainya) daripada abjad sesuatu tulisan (misalnya tulisan Arab) kepada huruf yang selaras bunyinya dan sebagainya dalam abjad sistem tulisan lain (misalnya Rumi).”

Fatwa-Fatwa Badan Berautoriti

Kami nukilkan juga di sini beberapa fatwa badan berautoriti di sini, antaranya:

  1. Dar al-Ifta al-Misriyyah

Lajnah Fatwa al-Azhar ditanya adakah harus menulis al-Qran menggunakan huruf-huruf daripada bahasa selain Arab agar orang yang berbahasa asing boleh membacanya. Lajnah menjawab: “Tidak syak lagi bahawa huruf-huruf Latin yang dikenali memiliki kelemahan untuk bersesuaian dengan bahasa Arab, maka itu menyebabkan tulisan Latin ini tidak setanding untuk menerangkan tulisan Arab. Jika ditulis juga al-Quran al-Karim dengan huruf-huruf tersebut menggunakan sistem Arab (yakni transliterasi) nescaya akan berlakulah kekurangan dan penyelewengan pada maknanya, yang mana kedua akan diikuti dengan pengubahan makna dan kerosakannya.

Nas-nas Syarak juga telah menetapkan kewajipan untuk memelihara al-Quran al-Karim daripada segala apa yang menyerangnya untuk menukar dan menyeleweng. Telah berijmak para ulama Islam yang terdahulu dan terkemudian bahawa setiap perkara yang diubah daripada al-Quran al-karim itu membawa kepada penyelewengan lafaznya dan penukaran pada maknanya maka hukumnya dilarang dan diharamkan secara pasti.” ( Lihat al-Majallah al-Azhar, 7/45)

  1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan Penulisan Ayat-Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman. Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan Al-Quran.

  1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan

Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H yang bersidang pada 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 berkenaan Hukum Penulisan Ayat-Ayat al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin dengan sighah seperti berikut :

  1. Setiap orang Islam wajib mempelajari al-Quran dalam Bahasa Arab Rasm Uthmani.
  2. Haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran kecuali:
    1. Penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah yang standard.
    2. Untuk tujuan menarik orang membaca al-Quran dan tujuan pembelajaran (تعليم) dalam jangkamasa sementara. Teks/nas al-Quran hendaklah disertakan.
  3. Haram menerbit dan menjual tafsir dan terjemahan al-Quran tanpa disertakan teks asal.

Kesimpulan

Setelah meneliti keterangan-keterangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum menulis al-Quran menggunakan huruf Roman adalah haram pada asalnya. Ini kerana ulama sepanjang zaman, salaf dan khalaf, telah bersepakat bahawa al-Quran hendaklah ditulis dengan menggunakan kaedah Rasm Uthmani. Ini bagi mengelakkan pengurangan dan penyelengan lafaz yang membawa kepada perubahan dan kerosakan makna kerana sifat al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab memiliki mukjizat yang tersendiri.

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan apabila penulisan sebegini dibenarkan. Syeikh Muhammad Abdul Azim al-Zurqani berkata: “Para ulama kita telah mengecam perbuatan menulis al-Qran dengan huruf-huruf yang bukan daripada bahasa Arab. Atas ketetapan ini, maka adalah wajib bagi seseorang ketika menterjemahkan al-Quran kepada apa jenis bahasa pun hendaklah disertaka ayat-ayat al-Quran yang ditulis dengan bahasa Arab supaya tidak berlaku pengurangan dan penyelewengan lafaz yang membawa kepada perubahan dan kerosakan pada maknanya.” (Lihat Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran, 2/134)

Kami nyatakan dibawah beberapa dhawabit atau prinsip-prinsip tersebut:

  • Hendaklah dinyatakan teks atau nas asal a-Quran bersamaan dengan teks Roman
  • Hendaklah menggunakan kaedah transliterasi yang diterima oleh ahli akademik dan difahami oleh masyakat setempat.
  • Hendaklah diiktikadkan bahawa penulisan berkenaan hanyalah bersifat wasilah (sarana) bagi pembelajaran al-Quran, dan bukan tujuan utama.
  • Hendaklah sarana ini bersifat sementara dan bukan kekal. Maksudnya, hendaklah kaedah sebagai alat bantuan pembelajaran bagi mubtadi (orang yang baru belajar), dan bukan dikekalkan setelah dikuasai kaedah pembacaan al-Quran yang betul.
  • Buku, makalah atau terbitan yang mengandungi ayat transliterasi itu tidaklah dianggap sebagai mushaf al-Quran mengikut pendapat yang masyhur. 

Jika semua prinsip-prinsip di atas diambil kira, maka hukum menulis al-Quran dalam abjad Roman adalah diharuskan.

Semoga umat Islam mempelajari al-Quran dan menjaganya sebaik mungkin kerana dengan usaha ini akan menjadikan mereka umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=abjad

[2] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=huruf

[3] https://id.wikipedia.org/wiki/Alfabet_Latin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *