Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Islam melarang kita bercita-cita bertemu musuh dan jika bertemu bagaimana caranya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ

Maksudnya: “Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang.”

(Surah al-Anfal: 65)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, doronglah dan paculah mereka untuk berperang dengan apa yang boleh menguatkan keazaman mereka dan mencetuskan semangat mereka, dengan memberikan anjuran dan janji pahala jihad dan memerangi musuh, serta memberikan ancaman dan janji dosa terhadap sebaliknya, menjelaskan keutamaan sabar dan keberanian, serta apa yang dihasilkannya dalam bentuk kebaikan dunia dan akhirat, menjelaskan bahaya sifat pengecut, dan bahawa ia adalah akhlak tercela yang menodai agama dan muru’ah, dan orang beriman lebih berhak untuk berani daripada orang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/325).

Sayyid Sabiq menyebutkan bahawa peperangan itu bukanlah usul penyebaran agama Islam, akan tetapi peperangan ini hanyalah suatu pengecualian yang diberikan, dan ianya terkeluar dari kaedah asal. Kaedah asal dalam Islam adalah kesejahteraan, perdamaian dan juga perjanjian. Dan tidak dihalalkan peperangan itu melainkan pada  keadaan:

  • Mempertahankan diri, keluarga, harta, dan negara dari serangan.
  • Mempertahankan dakwah ke jalan Allah SWT dari orang yang menghalang jalan dakwah ini, sama ada orang itu menghalang dengan cara menyeksa mereka yang berdakwah itu, atau menyekat orang dari mendengar dakwahnya, atau dengan cara menghalang pendakwah dari menyebarkan dakwahnya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/613).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Islam melarang kita bercita-cita untuk bertemu musuh. Namun, apabila kita bertemu dengan musuh, kita diperintahkan untuk tetap teguh dan bersabar dalam menghadapi mereka.

Hal ini adalah jelas berdasarkan kepada riwayat daripada Musa bin ‘Uqbah, katanya: Salim Abu al-Nadhr – maula Umar bin ‘Ubaidullah – menyampaikan kepadaku: Dahulu aku adalah penulis baginya, dia berkata:

كَتَبَ إِلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أَوْفَى، حِينَ خَرَجَ إِلَى الحَرُورِيَّةِ، فَقَرَأْتُهُ، فَإِذَا فِيهِ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا العَدُوَّ، انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتِ الشَّمْسُ، ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ العَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Abdullah bin Abu Aufa menulis (surat) kepada Umar bin ‘Ubaidullah ketika keluar menuju ke (medan peperangan) al-Haruriyah, aku pun membacanya dan ternyata di dalam surat itu: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu peperangan, ketika memimpin tentera Muslimin menghadapi musuh, Baginda menunggu sehinggalah matahari condong (ke barat). Kemudian Baginda berdiri di hadapan manusia dan bersabda: Wahai manusia, janganlah kalian berharap bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah. Sekiranya kalian bertemu mereka maka bersabarlah. Ketahuilah sesungguhnya syurga (terletak) di bawah bayangan (hayunan) pedang.’ Setelah itu Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ” (Maksudnya: Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, dan yang mengalahkan pasukan ahzab (tentera bersekutu), hancurkanlah mereka dan bantulah kami menentang mereka).”

Riwayat al-Bukhari (3024)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لاَ تَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا

Maksudnya: “Janganlah kalian berharap (bercita-cita) untuk menghadapi musuh (berlaku peperangan), sekiranya kalian menghadapi mereka maka tetaplah teguh dan bersabar (dalam menghadapi mereka).

Riwayat al-Bukhari (3026)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *