Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang mengambil fatwa hanya di atas haiwan atau di atas kenderaan, atau di mana-mana?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Nahl: 43
Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).
Kami definisikan terlebih dahulu makna fatwa.
Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar (Lihat Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.). Kami juga mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:
- Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
- Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
- Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.
Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.
Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.
Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).
Ibn Manzur berkata: “Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.
Definisi Fatwa Dari Segi Istilah
Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:
- Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
- Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
- Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
- Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
- Kata al-Imam al-Buhuti[2] (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
- Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)
- Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h): Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian.
- Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
- Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad)
- Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah)
- Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)
Sementara itu ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:
- Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
- Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
- Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Malikiah.
- Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan boleh. Hal ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW. Dan Imam al-Bukhari meletakkan satu bab dengan tajuk:
بَابُ الفُتْيَا وَهُوَ وَاقِفٌ عَلَى ظَهْرِ الدَّابَّةِ وَغَيْرِهَا
Bab : Berfatwa Ketika Berada di Atas Belakang Haiwan Tunggangan atau Selainnya
Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ بِمِنًى لِلنَّاسِ يَسْأَلُونَهُ، فَجَاءهُ رَجُلٌ فَقَالَ: لَمْ أَشْعُرْ فَحَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَذْبَحَ؟ قَالَ: «اذْبَحْ وَلاَ حَرَجَ». فَجَاءَ آخَرُ فَقَالَ: لَمْ أَشْعُرْ فَنَحَرْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ؟ قَالَ: «ارْمِ وَلاَ حَرَجَ». فَمَا سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ قُدِّمَ وَلاَ أُخِّرَ إِلَّا قَالَ: «افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ».
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berhenti di Mina ketika haji Wada‘ untuk orang ramai bertanya kepadanya. Maka datanglah seorang lelaki lalu dia berkata: “Aku tidak menyedari yang aku telah bercukur sebelum menyembelih binatang qurban.” Nabi SAW bersabda: “Sembelihlah, tidak mengapa.” Kemudian datang orang lain lalu berkata: “Aku tidak menyedari yang aku telah menyembelih binatang qurban sebelum aku melontar jamrah.” Nabi SAW bersabda: “Melontarlah, tidak mengapa.” Kata perawi (Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma): Tidak ditanya Rasulullah SAW tentang sesuatu, sama ada didahulukan atau dikemudiankan melainkan Rasulullah SAW menjawab: “Lakukanlah dan tidak mengapa.”
Riwayat al-Bukhari (83)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”