Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat untuk melakukan qasar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:

  1. Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
  2. Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
  3. Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
  4. Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  5. Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur asar; maghrib isyak)
  6. Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
  7. Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Leave a Reply