Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah, ada orang berilmu menjadi sombong. Tidakkah orang yang ada ilmu makin tunduk dan warak kepada Allah SWT?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah al-Baqarah: 32)
Hakikat sebenar mereka yang mempunyai ilmu sudah pasti merasa takut kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana surah Fatir:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ
Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”.
(Surah Fathir:28)
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)
Benarlah kata Imam Malik: “Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengannya siapa yang dikehendakinya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah.” Hal ini berbetulan dengan kenyataan sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu anhu:-
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ
Maksudnya: “Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadith tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah.”
Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat al-‘Uqala’
Kata beliau lagi:
رَأْسُ الْحِكْمَةِ مَخَافَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla.”
Riwayat al-Baihaqi (729) dalam Syu‘ab al-Iman
Ini kerana ilmu yang dikurniakan kepada kita tidaklah banyak, tetapi amat sedikit. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
Surah al-Isra’ (85)
Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/159)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini boleh terjadi sepertimana kata al-Imam al-Sya’bi[1]:
الْعِلْمُ ثَلَاثَةُ أَشْبَارٍ فَمَنْ نَالَ مِنْهُ شِبْرًا شَمَخَ بِأَنْفِهِ وَظَنَّ أَنَّهُ نَالَهُ. وَمَنْ نَالَ الشِّبْرَ الثَّانِيَ صَغَرَتْ إلَيْهِ نَفْسُهُ وَعَلِمَ أَنَّهُ لَمْ يَنَلْهُ، وَأَمَّا الشِّبْرُ الثَّالِثُ فَهَيْهَاتَ لَا يَنَالُهُ أَحَدٌ أَبَدًا.
Maksudnya: Ilmu itu tiga jengkal sahaja. Siapa yang memperolehi jengkal yang pertama, nescaya tinggi hidungnya (bongkak) sedangkan sangkaannya dia telah mencapainya. Siapa yang mendapat jengkal yang kedua, nescaya dia merasa kerdil dan kecil dirinya dan dia tahu bahawa dia sebenarnya belum mencapai. Adapun jengkal yang ketiga sudah tentu amat jauh dan tiadalah seorang yang memperolehinya.
Kata-kata Imam al-Sya’bi ini mengiyakan bahawa manusia bila hanya memahami dan mengetahui sejuzuk kecil daripada ilmu, sudah tentu dia merasa betapa besar dan banyaknya ilmu yang dimiliki. Tetapi apabila dia telah memperolehi lebih banyak ilmu dan lebih makrifah, maka dia akan rasa betapa sedikitnya ilmu yang dimiliki berbanding dengan ilmu Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:
قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ﴿١٠٩﴾ قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
(Surah al-Kahfi: 109-110)
Justeru, sewajarnya kita sentiasa mempelajari ilmu tanpa noktah pengakhiran. Selagi hayat dikandung badan, teruskan mencari ilmu dan berusaha seupaya mungkin. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303), Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)
Nota kaki:
[1] Beliau ialah Amir bin Syarahil dan ada juga yang menyebutnya dengan Ibn Abdillah bin Syarahil bin Abd al-Sya’bi Abu ‘Amr al-Kufi. Menurut pendapat yang masyhur, beliau lahir enam tahun selepas berjalannya pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab R.A. Menurut satu pendapat lain, beliau dilahirkan pada tahun 21 H. Beliau lahir dan dibesarkan di Kufah. Akan tetapi, beliau sering berulang-alik ke Madinah untuk menuntut ilmu dengan para sahabat Rasulullah SAW. Beliau sempat bertemu dengan lebih 500 para sahabat. Beliau meriwayatkan daripada sahabat-sahabat yang utama seperti Ali bin Abi Talib, Sa’ad bin Abi Waqqas, Zaid bin Thabit, Ubadah bin al-Samit, Abu Musa al-Asy’ari, Abu Sa’id al-Khudir, Nu’man bin Basyir, Abdullah bin ‘Umar, Abdullah bin Abbas, Abu Hurairah, Ummul Mukminin Aisyah dan lain-lain.
Antara pujian terhadap beliau, seperti kata al-Zuhri, “Ulama itu ada empat: Sa’id bin al-Musayyib di Madinah, Amir al-Sya’bi di Kufah, al-Hasan al-Basri di Basrah dan Makhul di Syam.” Usamah berkata, “Umar bin al-Khattab pada zamannya adalah pemimpin kaum Muslimin. Setelah itu, Ibn ‘Abbas sebagai pemimpin kaum pada zamannya. Setelah itu, al-Sya’bi pada zamannya. Dan kemudian, Sufyan al-Thauri.” Abu Bakar al-Huzali berkata, “Muhammad bin Sirin berkata, “Wahai Abu Bakar, jika kamu datang ke Kufah, perbanyakkanlah belajar hadith kepada al-Sya’bi.” Abu Mujalliz berkata, “Aku belum pernah melihat seorang pun yang lebih tahu tentang feqah daripada al-Sya’bi.” Makhul berkata, “Aku belum pernah melihat orang yang lebih tahu tentang sunnah Rasulullah SAW daripada al-Sya’bi.” Abd al-Malik bin Umar berkata, “Ibn Umar pernah melalui di hadapan al-Sya’bi yang ketika itu dia (al-Sya’bi) sedang membaca kitab tentang perang. Dia (Ibn Umar) berkata, “Seolah-olah dia ikut bersama kami, dan mungkin dia lebih tahu dan lebih hafal daripadaku.”
Beliau meninggal dunia pada tahun 103 H, iaitu pada usia 79 tahun seperti yang disebut oleh Al-Haitham bin ‘Adi dan Yahya bin Bukair. Manakala Yahya bin Ma’in dan selainnya menyatakan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 103 H atau 104 H. (Lihat Min A’lam al-Salaf oleh Syeikh Ahmad Farid, hlm. 85-98) Ketika berita tentang kematiannya sampai kepada al-Hasan al-Basri, dia berkata, “Semoga Allah merahmati beliau. Sesungguhnya beliau memiliki ilmu yang luas, lapang dada dan memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam.” (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi’in oleh Dr Abd al-Rahman Ra’fat al-Basya)