Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah ada di dalam Islam yang dibolehkan berdoa meminta sesuatu dengan cara mempertaruhkan pahala yang ada. Contoh, saya berdoa agar lulus cemerlang dalam final exam dengan mempertaruhkan pahala saya. Jika doa dimakbulkan maka tertolaklah pahala yang terkumpul.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(Surah al-Taubah: 105)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyebut beberapa noktah:
Pertama: Peri pentingnya doa.
Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)
Allah SWT berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Surah Ghafir (60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:
إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Surah Ghafir (60)
Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)
Kedua: Memahami adab doa.
Dalam doa mempunyai banyak adab-adab yang perlu dipatuhi serta mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Kami nyatakan sebahagian daripada adab-adab berdoa:
- Memilih waktu-waktu yang mustajab. Antara waktu-waktu yang dimustajabkan berdoa adalah:
- Ketika turunnya hujan.
- Waktu di antara azan dan iqamah setiap solat fardu.
- Ketika sujud dalam solat.
- Di penghujung setiap solat fardu.
- 1/3 malam yang terakhir.
- Selepas waktu Asar pada hari Jumaat.
- Menghadap kiblat dan mengangkat tangan ketika berdoa.
- Dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.
- Tidak mengkhususkan doanya untuk diri sendiri bahkan meng- umumkannya seperti tidak hanya mendoakan keampunan buat diri sendiri bahkan berdoa meminta keampunan buat sekalian muslimin dan muslimat.
- Bersangka baik dengan Allah SWT dan berharap akan dimakbulkan permintaan.
- Mengakui segala dosa yang telah kita lakukan.
- Merendahkan suara. Memohon dengan penuh rendah diri dan khusyu’. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 444)
Ketiga: Mempertaruhkan pahala
Apa-apa yang kita lakukan, yang membabitkan pahala dan dosa tidaklah boleh kita pertimbangkan berdasarkan logik akal kita. Apa yang dibuat dengan memotong pahala jika mendapat kejayaan sebagai contoh adalah tindakan yang amat meleset dan tidak berbetulan dengan kehendak Syariah. Siapa yang mengetahui hakikat pahala sudah tentu itulah yang didambakan, bukan hanya sedikit kejayaan di dunia yang akan dikecapi. Keduanya, kita tidaklah mengetahui pahala yang kita perolehi, kerana ia bergantung kepada kurniaan Allah semata-mata. Boleh jadi, tanpa keikhlasan dan tidak berbetulan dengan kehendak mengikut neraca Syarak, maka pahala tidak akan diperolehi.
Benarlah kata Sahib Jauharah al-Tauhid:
فَإِنْ يُثِبْنَا فَبِمَحْضِ الْفَضْلِ وَإِنْ يُعَـذِّب فَبِمَحْـصِ الْعَـدْلِ
Jika kami diberi pahala semata-mata kerana kurniaan-Nya
Jika diazab semata-mata kerana keadilan-Nya
Keempat: Isu tolak pahala atau dapat dosa
Ini adalah isu di akhirat dan bukan isu di dunia. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang terkait dengan muflis. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ . قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ . فَقَالَ ” إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (338)
Justeru, kami syorkan, belajarlah agama dan bergurulah dengan guru-guru yang mursyid lagi baik agar sebarang bentuk pendapat yang dikemukakan benar-benar selari dengan neraca Syariah. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”