#51 Cukur Kepala Selepas Kelahiran

Soalan

Apakah hukum mencukur kepala bayi yang baru lahir? kerana saya dapati terdapat dalam kalangan masyarakat kita yang mencukur rambut bayi keseluruhannya, manakala terdapat juga yang tidak melakukannya. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Setiap bayi yang lahir sama ada lelaki ataupun perempuan, disunnahkan untuk diakikahkan dan dicukurkan kepala mereka sepenuhnya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Samarah bin Jundub RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ غُلاَمٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ ، تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ ، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ ، وَيُسَمَّى

Maksudnya: Setiap bayi itu melalui aqiqah, sembelihan perlu dilakukan pada hari ketujuh, kepalanya perlu dicukur dan diberikan nama.

Riwayat Ibn Majah (3165)[1]

Disunnahkan  juga untuk ditimbang rambut yang dicukur itu dengan emas atau perak, kemudian disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Rasulullah SAW mengarahkan kepada anaknya, Saidatina Fatimah R.anha:

زِنِي شَعْرَ الْحُسَيْنِ وَتَصَدَّقِي بِوَزْنِهِ فِضَّةً، وَأَعْطِي الْقَابِلَةَ رِجْلَ الْعَقِيقَةِ

Maksudnya: “Timbanglah rambut Hussein, dan sedekahkanlah dengan kadar timbangan itu dengan perak dan hadiahkan kepada bidan kaki binatang akikah itu.”

Riwayat Hakim (4828) dan al-Baihaqi (19776).[2]

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam al-Majmu’: Disunatkan untuk mencukur kepala bayi yang dilahirkan pada hari ketujuh. Mazhab kami menyatakan bahawa disunatkan juga untuk bersedeqah berat emas bersamaan dengan timbangan berat rambut bayi yang dicukur. Jika tidak mampu, maka disunatkan untuk bersedeqah dengan berat daripada perak. Hal ini untuk lelaki dan juga perempuan. (Lihat al-Majmu’, 8/432).

Kami juga menasihatkan agar jangan dicukur separuh-separuh kerana hal itu namanya qaza` yang dilarang oleh Syarak. Daripada Abdullah bin Dinar RA bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ القَزَعِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada perbuatan qaza`.

Riwayat al-Bukhari (5921)

Dan sunat juga hukumnya untuk dilumuri kepada bayi itu dengan Za`faran, Khaluq (sejenis wangian yang lebih kuat daripada Za`faran) atau wangian lain, kerana mengganti tradisi Jahiliyyah yang melumurkan kepala bayi dengan darah aqiqah.

Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Orang-orang pada zaman Jahiliyah (apabila menyembelih aqiqah) mereka mencelup kapas ke dalam darah binatang aqiqah dan melumurkan ke kepala bayi yang lahir (setelah dicukur kepalanya). Lalu (selepas datangnya Islam) Nabi SAW mengarahkan dengan bersabda.

اجْعَلُوا مَكَانَ الدَّمِ خَلُوقًا

Maksudnya: Jadikan (iaitu gantikan) tempat lumur darah itu dengan Khaluq (sejenis wangian/bauan campuran dari za’faran dan bahan-bahan wangian yang lain, warnanya merah bercampur putih).

Riwayat Ibn Hibban (5308)

Wallahua`lam.

Bertarikh 1 November 2021 M bersamaan  26 Rabi’ al-Awwal 1443 H

[1] Syeikh Syuaib al-Arna’ut menyatakan dalam tahqiqnya bagi Sunan Ibn Majah (4/336) bahawa sanad hadith ini sahih.

[2] Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (4/1500), dan Imam al-Syaukani di dalam Nail al-Autar (5/230) menyatakan hadith ini diriwayatkan secara mursal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *