Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika sekiranya seorang Mufti itu menjawab soalan yang diajukan kepadanya dengan jawapan berdasarkan Kitab, Sunnah, Ijma’ atau Qaul Sahabi, adakah boleh diterima jawapan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

 Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu takrif Mufti:

Dari sudut bahasa, oleh kerana perkataan mufti diambil dari perkataan afta yang memberi maksud penjelasan dan penerangan sesuatu hukum, maka maksud mufti tidak jauh berbeza dengan apa yang telah dikemukakan. Kecuali perkataan mufti adalah kata nama. Ia juga dikenali dalam bahasa arab sebagai isim fa’il yang bermaksud pembuat ataupun pelaku. Dengan kata lain, mufti bermaksud: Individu yang memberikan jawapan kepada persoalan atau perkara yang dikemukakan oleh seseorang.

Manakala dari sudut istilah, para Ulama telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan perkataan mufti. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Mufti ialah seorang mujtahid yang mampu menguasai hukum-hukum syarak tanpa terikat dengan taqlid kepada orang lain.
  • Mufti ialah individu yang mengkhabarkan hukum Allah SWT untuk mengetahui dalilnya. (Lihat al-Ghiyaathi, 81)
  • Mufti ialah orang yang mengkhabarkan apa-apa dari Allah SWT tentang hukum-Nya.
  • Mufti ialah orang yang mampu memahami hukum-hukum waqi’e (yang berlaku) mengikut syarak berdasarkan dalil.
  • Mufti ialah seseorang yang berada di kedudukan seorang Nabi dari kalangan umat ini. Ini kerana ulama adalah pewaris para Nabi. Dia adalah pengganti Nabi dalam menyampaikan hukum-hakam. (Lihat al-Fatawa al-Islamiyyah Min Dar al-Ifta al-Misriyyah, 1/9).

Dalam menjawab persoalan di atas, maka hukum tersebut adalah merupakan mazhabnya. Kerana beliau berpandangan apa yang disebutkan olehnya adalah satu dalil, lalu beliau menjawab persoalan dan beliau berfatwa dengan hukumnya. Sekiranya tidak, nescaya beliau akan jelaskan maksudnya secara kebiasaan. Kerana keseluruhannya itu merupakan hujah di sisi beliau. Sekiranya ia boleh ditakwil atau dibantah nescaya beliau akan tawaqquf padanya. (Lihat Tahzib al-Ajwibah, 1/320; al-Ri’ayah, 1/26; al-Hawi, 55; al-Musawwadah, 2/944; al-Furu’, 1/47; Hasyiah Ibn Qundus, 1/47; al-Insaf, 30/376 dan al-Ma’unah, 11/584).

Ketika Rasulullah SAW menghantar Saidina Muaz bin Jabal R.A ke negara Yaman, baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz berdasarkan sabdanya yang berikut:

كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ.

Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: ‘Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah’. Baginda bersabda: ‘Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah?’ Maka jawab Muaz: ‘Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW.’ Baginda bertanya lagi: ‘Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?’ Jawab Muaz: ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Tirmizi (1327)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply