Soalan

Apakah boleh mengambil air yang cuba dibeli di dalam mesin vending yang rosak. Hal ini kerana saya telah memasukkan duit di dalam mesin tersebut, dan mesin tersebut mengeluarkan air yang saya pilih dan mengembalikan balik duit saya yang masukkan tersebut. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Vending machine adalah mesin di mana proses pembelian dilakukan melalui mesin automatic layan diri. Ia mempunyai sejarah yang panjang. Mesin pertama yang direkodkan adalah berasal daripada Cendiakawan Matematik dari Greek di Iskandariah yang telah mencipta alat yang mampu mengeluarkan air dari kuil orang Mesir. Selain itu, antara contoh terawal termasuklah mesin kecil yang diperbuat daripada tembaga yang mengeluarkan tembakau yang telah dijumpai di suatu kawasan di England sekitar tahun 1615. Padan tahun 1822, seorang penerbit Inggeris dan pemilik kedai buku bernama Richard Carlile telah membina satu mesin yang mengluarkan surat khabar yang membenarkan rakyat membeli karya yang dilarang. Pada 1867, vending machine automatic pertama yang menjual stamps telah dibina.[1]

Vending Machine Minuman

Mesin yang mengeluarkan air minuman ini wujud ketika tahun 1890. Mesin yang pertama terletak di Paris, Perancis dan membenarkan orang ramai membeli beer, wain dan liquor. Di awal tahun 1920 an, mesin automatic yang mula mengeluarkan minuman soda di dalam cup telah tercipta. Hari ini, minuman ringan adalah item yang paling popular yang telah dijual melalui mesin layan diri.[2]

Hukum Ambil Air Daripada Mesin Vending yang rosak

Tuntutan kepada mencari dan bermuamalah dengan perkara-perkara yang halal amat jelas di dalam al-Quran. Sebagai seorang muslim, penekanan pada aspek mencari yang halal dan baik adalah sesuatu perkara yang wajib dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Imam al-Qurtubi menjelaskan perkataan (الْبَاطِل) batil juga boleh memberi maksud “Memakan atau mengambil sesuatu harta tanpa bayaran atau pampasan atau bukan atas jalan hibah dan hadiah. Batil juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/150)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Al-Nu`man bin Bashir, Nabi SAW bersabda:

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ، وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ

Maksudnya“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar).”

Riwayat al-Bukhari (2051) dan Muslim (1599)

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menukilkan kata Imam al-Ghazali dalam menyatakan bahawa pengharaman sesuatu barangan atau makanan boleh terjadi dalam dua keadaan:

  • Pertama: Pengharaman kerana zat atau ‘ain barangan itu sendiri seperti daging khinzir atau arak dan lain-lain.
  • Kedua: Pengharaman disebabkan perkara lain seperti barangan curi, riba atau lain-lain yang tidak mematuhi syarak dan sebagainya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, oleh Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 24)

Berdasarkan persoalan di atas, hukum mengambil atau memakan minuman daripada mesin minuman yang rosak adalah dilarang dan haram jika tanpa pembayaran.  HaI ini kerana, keredhaan daripada kedua-dua belah pihak (pembeli dan penjual) adalah wajib dalam muamalah jual beli. Setiap perniagaan yang dijalankan adalah bertujuan kepada keuntungan dan perkara ini tidak ternafi pada perniagaan air (vending machine) juga. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada pembeli untuk memaklumkan kepada pemilik mesin air (vending machine) tentang kerosakan tersebut untuk diselenggara.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa mengambil minuman atau makanan daripada mesin air (vending machine) yang rosak tanpa membuat pembayaran adalah haram dan dilarang. Dalam keadaan tersebut, pembeli yang telah mengambil air perlulah membayar semula harga air yang diambil dengan cara manual kepada pemilik mesin air itu. Ini kerana konsep yang diketengahkan dalam muamalah ini  (vending machine) adalah jual beli yang bermaksud kita sebagai pelanggan membeli dan dia sebagai penjual menjual. Kita telah mendapatkan hak kita sedangkan dia belum lagi mendapatkan haknya.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Februari 2022 bersamaan 15 Rejab 1443H

[1] Lihat http://vendingmachine.mykenshou.com/sejarah-mengenai-vending-machine/

[2] Ibid

0 thoughts on “#516 Ambil Air Daripada Mesin ‘Vending’ Yang Rosak

  1. mehmet says:

    Assalamualaikum ustaz, macam mana pula kalau, kita masukkan duit untuk nilai satu tin air, tapi mesin keluar 2 tin mesin… jadi, apa yang kita perlu buat dengan lagi 1 tin air tu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *