Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah syafaat Nabi SAW terpakai untuk orang bukan Islam di akhirat kelak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, syafaat ini mempunyai beberapa syarat sebelum dapat diberikan dan dirasai oleh sesiapa pun. Antara syarat tersebut adalah:

  • Redha Allah kepada pemberi syafaat tersebut.

Yakni, Allah SWT meredhainya dan memperakui bahawa syafaat itu boleh diperolehi menerusinya. Ini jelas sebagaimana dalam firman Allah SWT:

مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ

Maksudnya: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izin-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 255)

  • Redha Allah SWT kepada penerima syafaat.

Orang yang menerima syafaat itu hanyalah mereka yang Allah SWT perkenankan dan redhai ke atasnya sahaja. Adapun mereka yang tidak diredhai, seperti orang bukan Islam, maka mereka ini tidak termasuk dalam kalangan mereka yang layak menerima syafaat Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Najm:

وَكَم مِّن مَّلَكٍۢ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ لَا تُغْنِى شَفَـٰعَتُهُمْ شَيْـًٔا إِلَّا مِنۢ بَعْدِ أَن يَأْذَنَ ٱللَّهُ لِمَن يَشَآءُ وَيَرْضَىٰٓ

Maksudnya: “(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhai-Nya.”

(Surah al-Najm: 26)

  • Izin Allah SWT buat pemberi syafaat.

Tidak ada suatu perkara yang berlaku sama ada di dunia atau di akhirat ini melainkan dengan izin Allah SWT, termasuklah syafaat di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

يَوْمَئِذٍۢ لَّا تَنفَعُ ٱلشَّفَـٰعَةُ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَرَضِىَ لَهُۥ قَوْلًۭا

Maksudnya: “Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapa pun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.”

(Surah Taha: 109)

Rasulullah SAW diberikan keizinan oleh Allah SWT untuk memberikan syafaat kepada umatnya yang beriman kepada Allah SWT di akhirat kelak. Adapun mereka yang bukan beragama Islam, mereka ini tidak akan mendapat apa-apa melainkan azab seksa atas kemurkaan yang mereka lakukan semasa di dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ، فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ، وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللهُ مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا

Maksudnya: “Setiap nabi mempunyai satu doa yang akan diperkenankan, dan setiap nabi bersegera untuk berdoa dengannya. Dan sesungguhnya aku ingin menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku di akhirat nanti, dan ia diperolehi, dengan izin Allah, bagi sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan suatu apa pun.”

Riwayat al-Bukhari (6304) dan Muslim (199)

Dalam sebuah riwayat lain daripada Abu hurairah R.A, katanya:

قِيلَ يَا رَسُولَ اللهِ مَنْ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِكَ يَوْمَ القِيَامَةِ؟ قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لاَ يَسْأَلَنِي عَنْ هَذَا الحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ القِيَامَةِ، مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ، أَوْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Seseorang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling bertuah akan mendapat syafaatmu pada hari kiamat nanti?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Aku sudah menyangka wahai Abu Hurairah, bahawa tidak akan ada yang bertanyaku tentang hadith ini sesiapa pun lebih dahulu daripada kamu, kerana aku melihat minatmu sangat luar biasa terhadap hadith (ilmu hadith). Orang yang paling bertuah mendapat syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang mengucapkan ‘Tidak ada tuhan selain Allah’ dengan ikhlas daripada hatinya, atau daripada jiwanya.”

Riwayat al-Bukhari (99)

Orang bukan Islam tidak akan menerima sebarang syafaat di akhirat kelak, melainkan mereka kembali kepada agama yang benar, iaitu Islam. Dengan itu, Allah SWT akan mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan mereka semasa zaman kekufuran,

Firman Allah SWT:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَنتَهُوا۟ يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا۟ فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ ٱلْأَوَّلِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.”

(Surah al-Anfal: 38)

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/40) menjelaskan, maksud (يَنتَهُوا۟) adalah berhenti dari apa yang mereka lakukan berupa kekufuran dan penentangan. Hendaklah mereka masuk Islam, taat dan kembali kepada Allah. Jika demikian, nescaya Allah akan mengampuni mereka atas apa yang telah berlalu. Dan maksud kekufuran pula, dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya, sebagaimana disebutkan dalam hadith sahih daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ أُخِذَ بِالْأَوَّلِ وَالْآخِرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam, apa yang dilakukannya pada masa Jahiliyyah (sebelum memeluk Islam) tidak dihukum, dan siapa yang berbuat buruk dalam Islam, akan dihukum dari awal hingga akhir.”

Riwayat al-Bukhari (6921) dan Muslim (334)

Keimanan kepada Allah SWT sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang itu layak mendapat syafaat Rasulullah SAW, hatta pelaku dosa besar juga akan memperolehi syafaat, selama mana dia mengimani keesaan Allah SWT. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

شَفَاعَتِي لِأَهٍلِ الكَبَائِرِ مِْن أُمَّتِي

Maksudnya: “Syafaatku adalah untuk pelaku-pelaku dosa besar dalam kalangan umatku.”

Riwayat Ahmad(13222)

Akhirnya, syafaat ini akan kembali semula kepada Allah SWT yang berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang Dia ingini dari hamba-hamba-Nya yang beriman.

Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman, dan seterusnya menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply