Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum pemakaian pelitup muka (face mask) ketika menunaikan solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Maksud Pelitup Muka dan Jenisnya

Pelitup muka atau facemask merupakan satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19. Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

Terdapat 2 jenis pelitup muka (seperti gambar di atas) yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan tersebut iaitu pelitup muka perubatan (medical) dan pelitup muka bukan perubatan (non-medical). Pelitup muka perubatan seperti 3 ply surgical mask, pada kebiasaannya digunakan oleh petugas kesihatan. Namun ianya juga disarankan bagi orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan. Di kawasan di mana jangkitan COVID-19 berlaku dan penjarakan fizikal sukar diamalkan, pemakaian 3 ply surgical masks juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas) dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Penggunaan pelitup muka bukan perubatan adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti dalam pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis pelitup muka bukan perubatan di pasaran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik atau kain dengan 3 lapisan yang terdiri daripada:

  • Lapisan paling dalam yang hidrofilik iaitu bersifat menyerap air (misalnya kapas atau campuran kapas);
  • Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan hidrofobik iaitu bersifat menghindar penyerapan air (misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya) yang boleh menghadkan pencemaran dari luar dari menembusi masuk ke hidung dan mulut pemakai; dan
  • Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

Namun, terdapat pelbagai pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran yang mungkin tidak menepati ciri-ciri yang disarankan oleh WHO. Walaubagaimanapun, pelitup muka tersebut boleh dipakai untuk kegunaan orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan. Pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua (2) tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan. Pelitup muka tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Pelitup muka perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul.[1]

 

Hukum Penggunaan Pelitup Muka Ketika Solat

Dalam isu di atas, pada asalnya, hukum menutup mulut di dalam solat tanpa sebarang sebab adalah makruh. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ السَّدْلِ فِي الصَّلاَةِ وَأَنْ يُغَطِّيَ الرَّجُلُ فَاهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang meleretkan pakaian di dalam solat serta (melarang) seseorang lelaki itu menutup mulutnya (di dalam solat).”[2]

Dalam memahami hadith di atas, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa dimakruhkan bagi seorang lelaki solat dalam keadaan menutup mulut.[3] Antara sebab tegahan ini adalah kerana ia boleh menghalang kesempurnaan bacaan dalam solat serta menghalang kesempurnaan dalam sujud.[4]

Akan tetapi, sekiranya wujud hajat dan keperluan untuk melakukannya, maka hukum menutup mulut ketika solat tersebut adalah diharuskan. Ini sepertimana dinukilkan oleh Ibn Qudamah daripada kenyataan Ibn Abd al-Bar.[5]

Justeru, kami katakan, dalam suasana menularnya wabak COVID-19 ini, maka hukum solat dengan memakai face mask adalah diharuskan disebabkan hajat dan keperluan, iaitu bagi mengekang penyebaran wabak daripada menular. Hal ini kerana dengan memakai face mask, ia dapat menghalang air liur, kahak dan hingus si pemakai dari tersebar ke udara ketika batuk atau bersin, lalu mengelakkan daripada terjangkit kepada orang lain.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

لاَ يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Maksudnya: “Pesakit yang berpenyakit berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.”[6]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Padanya penguat kepada tegahan daripada membawa atau menyebarkan penyakit.” [7]

 

Fatwa Berkenaan Pemakaian Pelitup Muka Ketika Solat

Mengikut fatwa Dar al-Ifta’ Palestin, pada 25 Jun 2020, hukum memakai facemask ketika solat pada saat wabak Covid-19 untuk menghalang daripada jangkitan hukumnya harus, pandangan sebahagian yang menyatakan makruh itu ketika tiada keperluan atau ketika tiada sebab yang muktabar.[8]

Lajnah Fatwa Majma’ Buhuth Islamiyyah antara lain menyebut: Apa yang disangka oleh kebanyakan orang tentang makruh dengan menutup mulut dan hidung, ini jika sekiranya tanpa ada sebarang keperluan atau wujud sebab yang muktabar untuk memakainya. Dan makna makruh pada ibarat ulama feqah bahawa solatnya tetap sah. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut, hukumnya makruh tanzihi berdasarkan hadis Abu Hurairah R.A. (Fatwa pada 20 Mac 2020)

Syeikh Dr Shauqi Allam, Mufti Mesir menyatakan bahawa Syarak tidak menegah untuk memakai facemask dalam solat untuk menyelamatkan daripada wabak Covid-19. Ini termasuk dalam uzur Syarie yang diharuskan dan keadaan yang dikecualikan daripada makruh. (Lihat kenyataannya pada 10/12/2020)[9]

Imam dan Khatib Masjid Quba’, Syeikh Sulaiman al-Rahili memberi pandangan bahawa memakai facemask ketika melaksanakan solat di masjid adalah harus tanpa makruh ketikamana wabak virus corona yang sedang berlaku. (Lihat kenyataannya pada 28 Mei 2020) [10]

 

Kesimpulan

Justeru, hukum memakai pelitup muka dalam suasana COVID-19 ini ketika solat adalah diharuskan. Inilah pendapat yang muktamad dan termasuk dalam pengecualian apabila berlaku satu-satu wabak seperti COVID-19. Semoga Allah memberi kefahaman agama kepada kita semua. Amin. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

 

Nota Hujung:

[1] Lihat portal Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia, https://portal.mda.gov.my/ms/pengumuman/574-pemakaian-pelitup-muka-facemask.html

[2] Riwayat Abu Daud (643)

[3] Lihat al-Iqna’, 1/124

[4] Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/636

[5] Lihat al-Mughni, 1/432

[6] Riwayat al-Bukhari (5771)

[7] Lihat Fath al-Bari, 10/242

[8] qudsnet.com/post/489959/فتوى-حول-حكم-ارتداء-الكمامة-والقفازات-في-الصلاة-والتباعد-بين-مصلي-ال

[9] al-ain.com/article/mask-prayer-corona

[10] www.watan.com/2020/05/27/هل-يجوز-إرتداء-الكمامة-أثناء-الصلاة-وق/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *