Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, para sahabat juga melakukan qiyas dalam mengistinbatkan hukum?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu definisi dan takrif qiyas.

Dari sudut bahasa, Qiyas merupakan kata sandaran dari kata kerja (قَيَسَ) dan (قَاسَ). Dikatakan: (قَايَسَ – يُقَايِسُ – قِيَاسًا – مُقَايَسَةً), dan diqiyaskan sesuatu dengan yang lain, yakni mengumpamakan sesuatu dengan apa yang serupa dengannya. Dikatakan juga, kayu ini diqiyaskan dengan jari, yakni ukurannya sama dengan panjang jari. Dan dikatakan, diqiyaskan antara dua perkara, apabila disamakan antara keduanya. (Lihat Lisan al-Arab, 6/186)

Dari sudut istilah, Qiyas adalah menghubungkan satu-satu perkara yang tiada nas pada hukumnya mengikut syarak, dengan perkara yang dinaskan hukumnya kerana bersamaan kedua-duanya pada ‘illah hukum. (Lihat Syarh al-Waraqat fi al-Usul, hlm. 197-198)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, terdapat banyak qiyas yang dilakukan oleh para sahabat. Cukuplah sebagai asas ucapan Saidina ‘Umar R.A kepada salah seorang sahabatnya:

اعرِفِ اَلْأَشْبَاهَ وَالنَّظَائِرَ، وَقِسِ الْأُمُوْرَ بِرَأْيِكَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengembali kesamaan dan keserupaan dan Qiyaslah semua perkara tersebut dengan pendapatmu.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/256)

Antara contoh qiyas sahabat adalah sepertimana qiyas Abu Bakar berkenaan isu Kalalah yang terdapat dalam al-Quran diqiyaskan bapa terhadap anak untuk diwarisi saudara-saudara ketika ketiadaan kedua-duanya.

Amalan qiyas ini juga telah dilakukan oleh ramai sahabat lain, antaranya Saidina Ali, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Ibn Mas’ud, Ibn Umar dan ramai lagi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply