#526 Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood)

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum penggunaan ibu tumpang bagi mendapatkan zuriat bagi pasangan yang mengalami masalah untuk mendapatkan zuriat? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.’

(Surah al-Furqan: 74)

Menurut Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat ini, itulah perasaan keimanan semula jadi yang mendalam, iaitu perasan ingin supaya bilangan orang yang berjalan kepad Allah sentiasa bertambah ramai terutama zuriat dan pasangan-pasangan hidup mereka, kerana golongan ini merupakan golongan di bawah tanggungjawab mereka yang paling dekat dan merupakan golongan amanah yang akan disoal kemudian hari, juga perasaan ingin agar seseorang Mukmin itu merasa bahawa dia adalah contoh teladan yang baik yang dapat diikuti oleh orang-orang yang cintakan Allah SWT. Ini bukanlah sikap mementingkan diri dan bukan pula berlagak angkuh kerana seluruh angkatan mereka berada di jalan menuju kepada Allah belaka. ( Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/2581.)

Selain itu juga, tidak dapat dinafikan bahawa di antara maqasid — yakni tujuan — perkahwinan itu adalah untuk mendapatkan zuriat demi meneruskan kelangsungan ahli keluarga serta nasab keturunan. Kini, terdapat pelbagai cara moden bagi menghasilkan zuriat bagi pasangan yang tidak mampu untuk mendapatkan zuriat disebabkan beberapa faktor kesihatan dan lain-lain lagi.

Salah satu caranya adalah dengan menggunakan kaedah ibu tumpang (surrogate motherhood) yang mana kaedah ini dilakukan dengan mengambil sperma dan juga ovum pasangan terlibat yang disenyawakan di luar dan kemudiannya dipindahkan ke rahim perempuan yang lain. Selalunya akan ada bayaran yang dikenakan bagi proses ‘penyewaan’ rahim tersebut. Penyewaan rahim wanita merujuk kepada persetujuan di antara wanita yang bersetuju untuk menyewakan rahim bagi menghamilkan kandungan orang lain dan menyerahkan bayi yang dikandung kepada individu yang yang dijanjikan. Persetujuan ini biasanya disokong melalui satu kontrak perjanjian di antara ibu tumpang yang hamil sama ada secara sukarela atau dibayar dengan kadar tertentu dengan individu yang dijanjikan.[1]

Hukum Menggunakan Khidmat Ibu Tumpang Bagi Mendapatkan Zuriat

Khidmat ibu tumpang ini adalah satu kaedah moden yang terhasil melalui kajian dan ia terbukti berkesan dalam menghasilkan zuriat. Namun, persoalan yang timbul, adakah ia benar-benar menepati kaedah syariah?

Berdasarkan kaedah ibu tumpang ini, terdapat beberapa gambaran bagaimana kaedah ini dilakukan. Ia diringkaskan seperti berikut:

  1. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar, kemudian dipindahkan ke rahim perempuan ajnabi yang lain.
  2. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar, kemudian dipindahkan ke rahim isteri lelaki yang lain (bagi yang berpoligami).
  3. Sperma dan ovum diambil daripada lelaki dan perempuan yang berlainan, lalu disenyawakan di luar dan kemudiannya dipindahkan ke rahim perempuan ajnabi yang lain dan apabila telah selamat melahirkan anak, maka diserahkan kepada mereka yang menginginkan zuriat.
  4. Sperma si suami disenyawakan dengan ovum perempuan ajnabi yang mana perempuan tersebut akan mengandungkan anak tersebut dan apabila selamat melahirkan anak itu, maka akan diserahkan anak itu kepada lelaki tersebut dan pasangannya. Manakala wang ganjaran pula akan diserahkan kepada perempuan ajnabi tersebut.
  5. Ovum si isteri akan diambil bersama sperma daripada lelaki ajnabi dan kemudian dipindahkan ke dalam rahim perempuan ajnabi yang lain dan selepas melahirkan anak tersebut maka diserahkan kepada pasangan yang menginginkan anak tersebut beserta bayaran kepada ibu tumpang tersebut.

Jumhur ulama dalam kalangan mu‘asirin (kontemporari) tidak membenarkan kelima-lima kaedah ini. Dalam erti kata lain, penggunaan kaedah ibu tumpang (surrogate motherhood) ini adalah haram bagi mendapatkan zuriat. Hal ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Badan Fatwa Dunia seperti Majma‘ al-Fiqh al-Islami (Arab Saudi) dan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah (Mesir).

Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah melalui fatwanya yang telah dikeluarkan melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebutkan bahawa penyewaan rahim hukumnya adalah haram menurut syarak. Keputusan tersebut telah dikeluarkan pada 29 Mac 2001. Para ulama fiqh kontemporari juga sepakat mengenai keharamannya. Salah satu sebabnya adalah kerana tidak dapat dipastikan siapa ibu yang sebenarnya bagi bayi itu disebabkan terdapat pihak ketiga (pemilik rahim yang disewa). Sehingga timbul permasalahan tentang siapakah yang lebih berhak menjadi ibu bayi itu. Adakah wanita pemilik sel telur (ovum) yang darinya tercipta janin itu dan yang membawa seluruh sifat, atau wanita yang di dalam rahimnya seluruh proses perkembangan bayi itu berlaku sehingga menjadi janin yang sempurna? Adanya perselisihan dan perdebatan yang besar  seperti ini bertentangan dengan tujuan dan maksud syariat Islam yang meraikan kestabilan, ketenteraman dan menghilangkan pertikaian atau membatasinya kadar yang selayaknya.

Di antara dalil yang menunjukkan kepada pengharaman kaedah ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5), kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6). Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Justeru, tidak ada beza antara kewajipan menjaga kemaluan antara lelaki dan perempuan. Kewajipan menjaga kemaluan itu pula bersifat mutlak merangkumi penjagaannya daripada kemaluan orang lain — yakni yang tidak halal baginya. Begitulah juga penjagaannya daripada air mani orang lain yang tidak halal baginya.

Selain itu, terdapat kaedah menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَبْضَاعِ التَحْرِيمُ، وَلَا يُبَاحُ مِنْهَا إِلَّا مَا نَصُّ عَلَيْهِ الشَّارِعُ

Maksudnya:Hukum asal bagi kemaluan adalah haram. Justeru, tidak dibolehkan apa-apa daripadanya (yakni tidak halal) melainkan terdapatnya nas yang menyebutkannya.”

Manakala rahim pula merupakan sebahagian daripada kemaluan perempuan. Oleh itu, sebagaimana faraj perempuan tidak dihalalkan melainkan dengan akad syar‘i yang sah (yakni melalui perkahwinan yang sah), maka begitulah juga hukumnya pada rahim, tidak halal menggunakannya kepada selain daripada suaminya yang sah. Justeru, hukumnya kekal sebagaimana asalnya iaitu haram.

Tambahan lagi, penggunaan ibu tumpang juga boleh membawa kepada kecelaruan nasab, identiti dan juga keturunan. Bahkan lebih besar lagi boleh membawa kepada pergaduhan serta permusuhan jika masing-masing mendakwa anak itu adalah anaknya. Atas dasar ini, kami mengambil pendekatan untuk tidak membenarkannya dengan mengambil jalan Sadd al-Zarai‘ yakni menutup pintu kemudaratan yang lebih besar. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

دَرْءُ الـمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الـمَصَالِحِ

Maksudnya:Menghindarkan kerosakan lebih didahulukan daripada mendatangkan kemaslahatan.”

Kerosakan yang nyata daripada praktikal ibu tumpang adalah percampuran nasab. Percampuran nasab ini sangatlah mungkin terjadi, jika ibu tumpang melakukan hubungan badan dengan suaminya setelah penanaman embrio ke rahim ibu tumpang muncul kecelaruan apakah janin ini berasal daripada kehamilan semula jadi ataupun disebabkan oleh praktikal ibu tumpang. Kes ini pernah terjadi di Jerman, setelah melalui proses pemeriksaan doktor didapati bahawa hasil persenyawaan daripada sperma dan ovum yang ditanamkan ke rahim ibu tumpang tidak melekat di rahim, akan tetapi ibu tumpang telah hamil semula jadi daripada suaminya. Ibu tumpang tersebut tidak dapat membatalkan kontrak yang telah dilakukan kerana ia sudah menerima wang 8000 dollar. Dalam erti kata lain, ini bermakna ibu tumpang telah menjual anak kandungnya sendiri.[2]

Badan fatwa tempatan juga turut mengeluarkan fatwa mengenai isu ini. Antara badan fatwa negeri di Malaysia yang mengharamkan penggunaan khidmat ibu tumpang ini adalah:

  • Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2008 yang bersidang pada 11-12 Jun 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Menggunakan Kaedah Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) untuk mendapatkan zuriat. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
  1. Menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang adalah haram walaupun sperma dan ovum atau selain daripada keduanya diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana berlaku kekeliruan dari sudut nasab anak.
  2. Sumbangan sperma, ovum, embrio, rahim, oleh pihak ketiga atau penggunaan lain-lain kaedah adalah haram di sisi syarak.[3]
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Bil. 2/2019 yang bersidang pada 28 Mac 2019 bersamaan 21 Rajab 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang (Surrogate Motherhood) untuk mendapatkan zuriat adalah haram dalam Islam kerana:
  1. Boleh menyebabkan kecelaruan dari segi nasab anak yang akan dilahirkan, walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah.
  2. Bagi kes perkahwinan poligami, menanam embrio kedalam rahim salah seorang isteri sebagai ibu tumpang sedangkan ovum diperolehi daripada isteri yang lain, misalnya embrio dihasilkan daripada percantuman sperma suami dengan isteri kedua tetapi ditumpangkan kepada isteri pertama, hukumnya haram berdasarkan kaedah “Sad al-Zari‘ah”.[4]
  • Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor telah mengeluarkan hukum bahawa penggunaan khidmat ibu tumpang adalah diharamkan. Ini dapat dilihat melalui keputusan tersebut yang menyebutkan bahawa menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah diharamkan oleh Islam walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana ia akan menyebabkan berlakunya kekeliruan nasab anak yang akan dilahirkan.[5]

Isu-isu berkaitan penyewaan rahim[6]

Penyewaan rahim wanita mula menjadi isu selepas kelahiran Baby M pada tahun 1985 di Amerika Syarikat. Mary Beth Whitehead yang juga merupakan ibu biologi dan ibu tumpang kepada Melissa Stern (Baby M) telah menuntut hak penjagaan bayi ini. Mahkamah memutuskan hak penjagaan bayi tersebut diberikan kepada bapa biologi iaitu William Stern dan Elizabeth Stern atas dasar kepentingan bayi tersebut. Kes ini telah menimbulkan isu berkaitan kontrak yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak, etika mengamalkan penyewaan rahim wanita yang dilihat sebagai tindakan penjualan bayi, dan pemerdagangan reproduktif wanita.

Selain daripada itu, Kelahiran Baby Manji di India pada tahun 2008 pula adalah salah satu contoh kes yang melibatkan hak penjagaan dan hak kewarganegaraan.  Pasangan warganegara Jepun iaitu Ikufumi dan Yuki Yamada telah pergi ke negara India dan mengupah wanita warganegara tersebut iaitu Pritiben Mehta untuk menjadi ibu tumpang. Embrio yang terbentuk daripada sperma Ikufumi dan ovum penderma yang tidak diketahui identiti telah dimasukkan ke rahim Mehta. Walau bagaimanapun, pasangan Jepun tersebut telah bercerai sebelum ibu tumpang tersebut melahirkan kandungannya. Isu berkaitan kewarganegaraan berlaku apabila negara Jepun tidak dapat memberikan status kewarganegaraan kepada bayi ini kerana kelahirannya tidak diiktiraf secara perundangan oleh negara tersebut.  Pengangkatan juga tidak dapat dilakukan kerana negara India tidak membenarkan lelaki bujang membuat pengangkatan bayi perempuan.

Selain itu, amalan ini juga dipercayai boleh memberi kesan kepada ibu tumpang seperti mewujudkan kebimbangan ibu tumpang terhadap kesihatan kandungan, sokongan keluarga, masalah kewangan dan konflik pegangan agama.  Ikatan emosi dan psikologi ibu tumpang dengan bayi pula mewujudkan kebimbangan ibu bapa biologi terutamanya untuk penyerahan hak penjagaan bayi yang dilahirkan. Bayi yang dilahirkan oleh ibu tumpang juga mempunyai kecelaruan identiti dan diiktiraf sebagai anak tidak sah taraf. Dari sudut perundangan pula, kontrak yang dipersetujui oleh ibu tumpang dengan individu yang dijanjikan adalah dianggap sebagai penjualan manusia dan tidak sah disisi undang-undang, menyukarkan pemerolehan kewarganegaraan dan proses pengangkatan untuk bayi; terutamanya bayi yang dilahirkan di luar negara. Malah, penyewaan rahim wanita juga dianggap sebagai eksploitasi dan pemerdagangan manusia serta bercanggah dengan pegangan agama terutamanya agama Islam.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, melihat kepada isu ini, pengharaman bagi kaedah khidmat ibu tumpeng ini adalah bertitik tolak daripada maqasid syari‘ah iaitu prinsip hifz al-Nasl — yakni menjaga nasab keturunan. Penggunaan kaedah ibu tumpang boleh menyebabkan berlakunya percampuran nasab yang mana boleh menimbulkan keraguan dan juga kecelaruan. Dengan membenarkan penggunaan khidmat ibu tumpang, sudah tentu akan membawa kepada kecelaruan nasab, identiti dan juga keturunan dan lebih besar lagi boleh membawa kepada pergaduhan serta permusuhan jika masing-masing mendakwa anak itu adalah anaknya.

Justeru, kami dengan tegas mengatakan bahawa hukum menggunakan khidmat ibu tumpang adalah haram. Sungguh, anak itu adalah rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada siapa yang Dia kehendaki bahkan Allah SWT jugalah yang menahannya daripada dikurniakan kepada sesiapa juga yang dikehendaki. Mungkin ia sebagai ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya untuk melihat sejauh mana seseorang itu mampu untuk bersabar dan redha dengan ketentuan-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Lihat Jurnal bertajuk: Kepelbagaian Perspektif Dilema Dalam Sebuah Kes Ibu Tumpang: Isu Dan Cabaran oleh Mohamed Afiq Mohamed Fauzi, Fatimang Ladola, et. al, https://www.researchgate.net/publication/348176384_Kepelbagaian_Perspektif_Dilema_Dalam_Sebuah_Kes_Ibu_Tumpang_Isu_Dan_Cabaran. Diakses pada 17 Februari 2022.

[2] Lihat Jurnal bertajuk: Ibu Tumpang Menurut Sains dan Ulama Kontemporari oleh Khairina Gustia Usman & Normadiah Daud, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12126. Diakses pada 17 Februari 2022.

[4] Lihat https://muftins.gov.my/ufaqs/menggunakan-kaedah-khidmat-ibu-tumpang-surrogate-motherhood-untuk-mendapatkan-zuriat/. Diakses pada 17 Februari 2022.

[5] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/193-hukum-menggunakan-kaedah-khidmat-ibu-tumpang-surrogate-motherhood-untuk-mendapatkan-zuriat. Diakses pada 17 Februari 2022.

[6] Lihat Jurnal bertajuk: Kepelbagaian Perspektif Dilema Dalam Sebuah Kes Ibu Tumpang: Isu Dan Cabaran oleh Mohamed Afiq Mohamed Fauzi, Fatimang Ladola, et. al, https://www.researchgate.net/publication/348176384_Kepelbagaian_Perspektif_Dilema_Dalam_Sebuah_Kes_Ibu_Tumpang_Isu_Dan_Cabaran. Diakses pada 17 Februari 2022.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *